Al-Imam Ahmad bin Hanbal

Al-Imam Ahmad bin Hanbal – Sejarah Hidup dan Mutiara Peninggalannya

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Al-Ahzab 33:23)

Pendahuluan

Al-Imam Ahmad bin Hanbal merupakan seorang tokoh Islam yang agung, yang amat besar sumbangannya terhadap bidang hadith dan fiqh. Riwayat dan perjalanan hidupnya yang penuh ujian juga mencerminkan kekuatannya berjuang membersihkan aqidah umat Islam di zamannya. Kecintaannya terhadap ilmu dan terhadap al-sunnah sentiasa terpancar di dalam dirinya, sehinggalah beliau pergi bertemu Allah.

Kajian ini bertujuan menceritakan dengan ringkas riwayat hidup al-Imam Ahmad bin Hanbal. Kajian ini dibahagikan kepada empat bahagian ringkas – Sejarah Hidupnya, Keperibadiannya, Mereka Bersamanya dan Mutiara Peninggalannya.

A. Sejarah Hidupnya

Nama dan Keturunannya

Nama beliau adalah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin `Abdillah bin Hayyan, al-Dhuhli, al-Shaybani, al-Marzi, al-Baghdadi. Kunyah beliau adalah Abu `Abdillah.

Beliau dan Rasulullah (s) mempunyai moyang yang sama bernama Nizar. Nizar mempunyai empat orang anak lelaki – Mudhar bin Nizar (yang keturunannya adalah Bani Quraish termasuk Rasulullah (s) sendiri), Rabi`ah bin Nizar (yang mana Ahmad bin Hanbal adalah daripada keturunannya), Iyad bin Nizar dan Anmar bin Nizar.

Datuknya Hanbal yang berasal dari Basrah merupakan gabenor di Sarkhas, Khurasan dan merupakan seorang penyokong `Abbasiyah. Ayahnya Muhammad bin Hanbal merupakan seorang pejuang (askar sepenuh masa menurut satu riwayat dan pemimpin menurut satu riwayat yang lain).

Ibunya adalah Safiyyah bint Maimunah bint `Abd al-Malik al-Shaibani, daripada kaum Shaibani. Datuk kepada Safiyyah adalah `Abd al-Malik bin Sawadah bin Hind al-Shaibani, yang selalu memberikan perlindungan kepada kabilah-kabilah Arab yang datang kepadanya.[1]

Kelahiran

Ahmad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad (setelah ibunya berpindah dari Merv[2] di mana bapanya ditempatkan bertugas) pada bulan Rabi` al-Awwal tahun 164H.

Semasa Kecil

Ibunya yang membesarkan beliau sejak kecil kerana ayahnya, Muhammad, meninggal dunia pada umur yang muda. Beliau tidak pernah berjumpa ayah mahupun datuknya.

Pada usia yang muda beliau telah menunjukkan sifat-sifat kelebihannya dengan menjadi pencatat sejak kecil. Pada umur itu juga beliau dikenali dengan ketinggian adab dan keluhuran budi. Dia menulis dengan baik dan tidak sekali-kali menulis sesuatu yang mungkin menjadi pertikaian. Di dalam karya Manaqib Al-Imam Ahmad, Abu `Afif pernah diriwayatkan berkata: “Dia adalah tukang tulis di antara kami ketika beliau masih kecil dan kami mengakui kebolehannya. Khalifah di al-Riqqah dan orang-orang lainnya akan menulis surat ke rumah-rumah mereka – mereka akan menghantar wanita ke tuannya dengan mesej: ‘Hantarkan Ahmad kepada kami,’ untuk dia menuliskan surat-surat mereka. Beliau (Ahmad) akan datang dengan menundukkan kepalanya dan menuliskan jawapan-jawapan kepada surat mereka. Kadangkala mereka akan menyebutkan sesuatu yang tidak sesuai atau yang mungkin menjadi pertikaian, dan beliau tidak akan menuliskannya untuk mereka.”

Ketika kecil beliau juga dikenali dengan wara’nya, kesabarannya, ketabahannya, dan ketelitian di dalam usaha kerjanya. Di dalam karya Tarikh al-Islam, al-Haitham bin Jamil pernah diriwayatkan berkata mengenainya: “Sekiranya budak ini hidup, dia akan disebut sebagai saksi untuk orang-orang di zamannya.”[3]

Usahanya Mencari Ilmu

Ahmad bin Hanbal telah menunjukakn minatnya yang mendalam terhadap ilmu ketika muda. Beliau memilih untuk mendampingi ulama’ hadith dan mengambil kaedah mereka, walaupun beliau juga belajar daripada ulama’ fiqh. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khallal (disebut di dalam Tarikh al-Islam): “Beliau menulis dan menghafal daripada kitab-kitab pandangan fiqh, kemudiannya beliau tidak menghiraukannya.”

Belaiu mula mempelajari hadith di tempat lahirnya Baghdad. Antara guru-gurunya yang awal termasuk Abu Yusuf dan Hushaim bin Bashir (yang mana Ahmad hanya belajar daripadanya secara eksklusif daripada 179 H sehingga 183 H). Beliau amat tekun dan bersungguh-sungguh di dalam pendidikan hadith, beliau pernah diriwayatkan berkata: “Aku kadangkala ingin keluar sangat awal untuk mempelajari hadith tetapi ibuku akan memegang pakaianku dan berkata: Tunggu sehingga kebenaran diberikan kepada orang-orang lain, ataupun sehingga waktu siang.”

Pada 186 H beliau mula mengembara untuk mempelajar hadith. Sebagaimana yang beliau nyatakan di dalam kitabnya al-Musnad, beliau ke Hijaz, Sham, Basrah dan Kuufah untuk tujuan ini.

Beliau mengembara ke Basrah sebanyak lima kali dan kadangkala tinggal di sana selama enam bulan atau lebih.

Beliau ke Hijaz sebanyak lima kali, di mana beliau berjumpa dan belajar daripada al-Imam al-Shafi`i serta al-Imam Sufyan bin `Uyainah.

Pada 198 H beliau bersama rakan belajarnya Yahya bin Ma`in mengerjakan haji dan tinggal sementara di sekitar Masjid al-Haram, dengan niat untuk ke San’a` (di Yaman) untuk mendapatkan hadith daripada `Abd al-Razzaq bin Hammam. Ketika melakukan tawaf qudum mereka ternampak `Abd al-Razzaq, lantas Yahya berjumpa dengannya dan berkata setelah mengucapkan salam: “Ini adalah saudaramu, Ahmad bin Hanbal.” Dan `Abd al-Razzaq menjawab: “Semoga Allah memanjangkan umurnya dan menjadikannya tabah, kerana aku tidak mendengar melainkan kebaikan mengenainya.” Berkata Yahya: “Kami ingin berjumpa denganmu esok, insha Allah, untuk mendengar dan menulis daripadamu.” Setelah `Abd al-Razzaq meninggalkan mereka Ahmad bertanya kepada rakannya: “Kenapa engkau membuat temujanji dengannya?” Jawab Yahya: “Untuk mendengar daripadanya. Allah telah menyelamatkan kamu sebulan perjalanan pergi dan sebulan perjalanan balik, dan menyelamatkan kamu perbelanjaannya.” Kata Ahmad: “Aku tidak mahu Allah melihatku meninggalkan niatku untuk ke Yaman dengan apa yang engkau katakan, (dan tidak mahu) kita tinggal di sini dan dengar daripadanya. Lalu setelah selesai mengerjakan haji, beliau ke San’a` untuk bertemu `Abd al-Razzaq dan mendengar daripadanya.

Dalam perjalanan ke Yaman ini beliau menghadapi kesukaran – ditimpa kesakitan, bekalannya kehabisan (sehingga bekerja sebagai pengangkut barang sebelum sampai ke San’a`. Beliau tinggal di San’a` selama dua tahun dalam keadaan serba kekurangan, walaupun setelah ditawarkan bantuan `Abd al-Razzaq.

Setelah itu beliau kembali ke Makkah. Walaupun tanda-tanda keletihan jelas di wajahnya beliau amat gembira dengan apa yang didapatinya. Diriwayatkan di dalam Manaqib al-Imam Ahmad bahawa Ibrahim al-Duruqi pernah berkata: “Apabila Ahmad bin Hanbal kembali ke Makkah daripada `Abd al-Razzaq, aku nampak beliau pucat, kurus, dan tanda-tanda sakit dan keletihan jelas padanya, lalu aku katakan: ‘Wahai Abu `Abdullah! Engkau telah menimpakan kepayahan besar pada dirimu dalam perjalananmu kepada `Abd al-Razzaq’. Tetapi beliau berkata: ‘Betapa sedikit kepayahan ini berbading dengan manfaat yang aku dapat daripada `Abd al-Razzaq. Kami meriwayatkan daripadanya hadith daripada al-Zuhri daripada Salim bin `Abdullah daripada ayahnya, dan hadith daripada al-Zuhri daripada Sa`id bin Musayyib daripada Abu Hurairah.’ ”

Ahmad bin Hanbal dikenali sebagai seorang yang tidak pernah putus hasratnya untuk menimba ilmu. Apabila berkata kepadanya seseorang daripada kalangannya yang melihatnya mendengar dan menulis dengan bekas dakwat: “Wahai Abu `Abdullah! Engkau telah mencapai pangkat ini dan engkau adalah Imam kepada para Muslimin!” Beliau menjawab: “(Aku akan tetap) bersama bekas dakwat ini sehingga ke liang lahad.” Dan di dalam riwayat lain beliau berkata: “Aku akan mencari ilmu sehingga aku ke liang lahad.”

Beliau tidak segan untuk mencari ilmu walaupun daripada orang yang kurang ilmu daripadanya. Apabila Ahmad bin Hanbal pergi ke Wasit, bertanya Yahya bin Sa`id al-Qattan: “Apakah yang akan dilakukannya di Wasit?” Orang menjawab: “Dia akan menemui Yazid bin Harun.” Dan bertanya lagi oleh Yahya: “Apakah yang akan dilakukan olehnya bersama Yazid bin Harun?” Ini menunjukkan beliau lebih berilmu daripada Yazid bin Harun.

Keutamaannya kepada pencarian ilmu jauh menandingi keperluannya kepada kesenangan dunia, dan beliau tidak disibukkan dengan pencarian harta atau perkahwinan. Beliau hanya berkahwin setelah umurnya 40 tahun.[4]

Ujian Terhadapnya

Permulaan mihnah (ujian) terhadap al-Imam Ahmad bin Hanbal adalah apabila Khalifah al-Ma’mun menyuruh para `ulama’ hadith dan fiqh menyokong kepercayaannya bahawa al-Qur’an itu dicipta, yang merupakan kepercayaan golongan Mu`tazilah. Khalifah mengambil golongan ini sebagai para penasihatnya, menterinya dan sahabatnya, lalu membenarkan mereka mengembangkan kepercayaan mereka sehingga dirinya sendiri dipengaruhi.

Perbincangan mengenai ‘penciptaan’ al-Qur’an oleh golongan Mu`tazilah ini telah berlaku sejak zaman Khalifah al-Rashid lagi, tetapi Khalifah pada ketika itu tidak menggalakkan perbincangannya secara meluas. Apabila anak al-Rashid mengambil tampuk pemerintahan, pengaruh golongan ini meluas sehingga ke istana, sehingga Khalifah sendiri menjadi sebahagian daripada mereka. Atas desakan golongan Mu`tazilah, Khalifah mengisytiharkan pandangannya terhadap perkara ini (yakni ‘penciptaan’ al-Qur’an) pada tahun 212 H, tetapi baginda membiarkan orang ramai menerima atau menolaknya. Namun pada 218 H baginda mula menggunakan kuasanya sebagai pemerintah untuk menyuruh orang ramai menerima pandangannya itu.

Lalu dihantarnya surat kepada naibnya di Baghdad, Ishaq bin Ibrahim. Surat itu mengandungi ujian untuk para `ulama’ fiqh dan hadith, memaksa mereka mengisytiharkan bahawa al-Qur’an itu dicipta. Ishaq lalu mengumpulkan para `ulama’ dan mengancam mereka dengan hukuman yang berat sekiranya mereka tidak membuat perisytiharan itu. Kebanyakan mereka lalu membuatnya, melainkan empat orang – al-Imam Ahmad bin Hanbal, Muhamad bin Nuh, al-Qawariri dan al-Hassan bin Hammad Sajjadah (kemudian mereka berdua yang terakhir juga membuat perisytiharan itu)[5].

Anak al-Imam, Salih bin Ahmad bin Hanbal menceritakan bagaimana bapanya beserta Muhammad bin Nuuh dibawa – dalam keadaan dirantai – ke Tartus, al-Riqqah dan ke `Anat untuk bertemu Khalifah. Di dalam perjalanan tiba berita bahawa Khalifah Ma’mun telah meninggal dunia (seterusnya diganti oleh Khalifah al-Mu`tasim), dan di dalam perjalanan itu juga Muhammad bin Nuh meninggal dunia (dan disalatkan oleh al-Imam Ahmad sendiri).

Dalam keadaan dirantai al-Imam Ahmad dibawa kepada Khalifah Mu`tasim, yang menyuruh `ulama’nya berdebat dengan al-Imam, seorang demi seorang. Ishaq bin Ibrahim berkata kepadanya: “Wahai Ahmad! Demi Allah, ini adalah nyawa kamu. Baginda tidak akan membunuh kamu dengan pedang. Baginda telah bersumpah, sekiranya engkau tidak menjawab kepadanya (yakni menerima kepercayaannya) bagidan akan pukul kamu berulang-kali dan dia akan membunuh kamu di tempat yang engkau tidak dapat melihat matahari ataupun bulan.”

Beliau (Ishaq) berkata lagi: “Bukankah Allah telah berfirman (al-Zukhruf 43:3 yang maksudnya):

Sesungguhnya kami menjadikannya al-Qur’an dalam bahasa Arab…”)

“Tidakkah Dia ‘menciptakan’ apabila Dia ‘menjadikan’?”

Al-Imam Ahmad lalu berkata kepadanya (al-Fil 105:5 yang maksudnya):

Maka kami jadikan mereka seperti daun yang dimakan.”)

“Jika begitu adakah Dia menciptakan mereka begitu (yakni seperti daun yang dimakan)?”

Mendengarkan ini Ishaq lalu terdiam.

Apabila Khalifah Al-Mu`tasim gagal membuat al-Imam Ahmad mengubah pandangannya, baginda akan menyuruh dua orang tukang sebatnya menyeksa al-Imam. Mereka bergilir-gilir mengenakannya dua kali sebatan, sambil Khalifah berkata: “Kuatlah kamu, semoga Allah membinasakan kedua tangan kamu!”

Begitulah keadaannya, disebat berulang kali serta dicucuk dengan pedang, sehingga al-Imam jatuh pengsan dengan darah beraliran dari badannya. Setelah beliau sedar maka diulangi seksaan ke atasnya itu.

Keadaan ini, berserta pengurungannya, berterusan selama 28 bulan, sehinggalah mereka yang menyeksanya berasa kecewa dan timbul sedikit perasaan belas kasihan, lalu mereka melepaskannya dan membenarkannya kembali ke rumah beliau.

Dengan keadaannya yang penuh dengan luka, lemah dan kesakitan, al-Imam Ahmad dirawat di rumahnya untuk beberapa ketika. Sebelum beliau pulih, beliau teramat lemah untuk berjalan dan segala pengajian ilmunya ditangguhkan. Walaupun kemudiannya kekuatan beliau kembali, namun parut-parut di tubuhnya menjadi saksi kezaliman manusia ke atasnya. Beliau lalu kembali mengadakan kelas-kelas pengajiannya di masjid seperti dulu, sehingga Khalifah al-Mu`tasim meninggal dunia dan diganti oleh Khalifah al-Wathiq.

Khalifah al-Wathiq memperbaharui ujian ke atas al-Imam Ahmad. Namun baginda tidak menggunakan kekerasan seperti di zaman al-Mu`tasim kerana baginda melihat hukuman itu malah lebih menaikkan namanya di kalangan orang ramai. Lalu baginda mengeluarkan larangan untuknya berurusan dengan orang ramai. Larangan ini disampaian melalui surat yang ditulis oleh Ishaq bin Ibraahim:

“Gabenor memberitahu kamu bahawa Amir al-Mu’minin telah memerintahkan bahawa tiada sesiapa pun dibenarkan berkumpul menemui kamu, dan kamu tidak dibenarkan tinggal di tanah di mana baginda berada, ataupun di bandar di mana baginda menetap. Maka pergilah ke tanah mana yang kamu suka.”

Al-Imam Ahmad lalu menyembunyikan dirinya di rumahnya dan di rumah-rumah berhampiran dengan rumahnya selama lebih lima tahun, sehingga Khalifah al-Wathiq meninggal dunia. Al-Imam Ahmad kembali meneruskan pengajarannya dan pembacaan hadith pada tahun 232 H, dalam keadaan lebih disanjungi dan dimuliakan daripada sebelumnya.

Menurut Abu Zur`ah: “Aku selalu mendengar orang ramai menyanjung tinggi al-Imam Ahmad bin Hanbal, menyanjunginya lebih daripada Yahya bin Ma`in dan Abu Khaithamah. Tetapi sanjungan mereka lebih tinggi lagi setelah beliau mengalami ujian. Setelah itu beliau disanjung tinggi hingga ke langit.”[6]

Kematiannya

Al-Imam Ahmad mula diserang demam panas pada malam 1 Rabi` al-Awal tahun 241 H, dan apabila berita mengenai sakitnya tersebar semakin ramai orang datang menziarahinya. Apabila berita ini tiba kepada Sultan, baginda menghantar pula tentera dan perisik baginda, yang kemudiannya menghalang orang ramai daripada memasuki rumah al-Imam Ahmad bin Hanbal. Walaubagaimanapun orang ramai masih tidak berputus asa dan ada di antara mereka yang dapat memasuki rumah al-Imam melalui pintu-pintu rumah lain ataupun dengan cara memanjat.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal menghembuskan nafasnya terakhir pada hari Jumaat, 12 Rabi` al-Awal 241 Hijriah.

Peristiwa hari kematian al-Imam Ahmad bin Hanbal menjadi saksi di dalam sejarah bagaimana besarnya penghormatan yang diberikan kepada jiwa mulia ini. Adalah dianggarkan seramai 800 000 orang lelaki (menurut satu laporan lain sejuta orang) dan 60 000 orang wanita menghadiri hari kematiannya. Berkata Abu Salih al-Qantari mengenai perhimpunan orang ramai di hari kematian al-Imam Ahmad bin Hanbal: “Aku telah menunaikan haji selama 40 tahun, dan aku tidak menyaksikan perhimpunan seperti ini.”

B. Keperibadiannya

Rupa dan Peribadi

Ketika hidupnya al-Imam Ahmad bin Hanbal sederhana tinggi tubuh badannya, tampan wajahnya dan perang warna kulitnya. Beliau amat memberatkan kebersihan tubuh badannya dan pakaiannya.

Al-Imam juga mempunyai keperibadian yang mengagumkan mereka yang melihatnya. Gabenor al-Jisr, al-Hasan bin Ahmad pernah menceritakan, “Aku pernah berjumpa dengan Ishaq bin Ibrahim dan pemerintah-pemerintah yang lainnya, tetapi aku belum pernah berjumpa orang yang lebih mengagumkan daripada Ahmad bin Hanbal. Aku pernah pergi kepadanya untuk bercakap mengenai sesuatu, tetapi sebaik sahaja aku melihat kepadanya aku menggigil kerana perasaan takjub kepadanya.”

`Abdus juga dilaporkan berkata: “Abu `Abdullah nampak aku pada suatu hari dalam keadaan aku sedang ketawa, dan sehingga ke hari ini aku merasa amat malu di hadapannya.”[7]

Ketaqwaannya

Ahmad bin Hanbal juga dikenali dengan ketaqwaannya, baik pada waktu siang atau malam, baik di dalam kata mahupun diamnya, baik di rumah mahupun di jalanan. Beliau jarang dilihat melainkan di dalam keadaan berpuasa, membaca kitab Allah, mencari ilmu, mengajarkan ilmu kepada yang lain, ataupun berhijrah di atas jalan Allah. Anaknya Salih pernah menceritakan, “Ayahku tidak pernah membenarkan sesiapa mengambilkan air untuk wuduknya kecuali dirinya, dan apabila baldi air itu keluar dalam keadaan penuh dia akan berkata: ‘Segala puji bagi Allah!’ Aku bertanya, ‘Wahai ayahku, apakah kebaikan berbuat ini?’ Dan dia menjawab: ‘Anakku, tidakkah engkau pernah mendengar Allah berfirman: ‘Katakanlah, sekiranya segala air kamu akan dihilangkan, maka siapakah yang dapat mengurniakanmu dengan air yang mengalir?’[8]

Ilmu Pengetahuannya

Ahmad bin Hanbal merupakan seorang `alim dan ketinggiannya diakui oleh oleh `ulama’ lain yang sezaman dengannya.

Ahmad bin Salamah al-Naisaburi pernah diriwayatkan berkata: “Aku menyebutkan nama Yahya bin Yahya, Ishaq bin Rahawaih dan Ahmad bin Hanbal kepada Qutaibah bin Sa`id dan beliau berkata: ‘Ahmad bin Hanbal adalah yang paling hebat di antara yang kamu sebutkan.’ ”

Muhammad bin Muslim bin Warah pernah ditanya mengenai `Ali bin al-Madini dan Yahya bin Ma`in, siapa di antara mereka yang lebih banyak menghafal hadith, lalu dijawabnya: “`Ali lebih banyak meriwayatkan dan lebih luas pengetahuannya, manakala Yahya mempunyai lebih pengetahuan dan kefahaman mengenai kesahihan dan kelemahan hadith. Tetapi orang yang merangkumi kedua-duanya adalah Abuu `Abdullah Ahmad bin Hanbal, dia adalah seorang `alim dalam bidang fiqh, beliau banyak menghafal hadith serta beliau mempunyai pengetahuan dan kefahaman.”

Pengetahuan Ahmad bin Hanbal telah diakui semenjak umurnya muda (yakni sebelum kepalanya beruban). Diriwayatkan di dalam Tarikh al-Islam bahawa Ahmad bin Sa`id al-Razi pernah berkata: “Aku belum pernah melihat seorang yang rambutnya lebih hitam (yakni masih muda), yang leibh menghafal hadith Rasulullah (s), yang lebih mempunyai pengetahuan mengenai hukum-hukum fiqh yang didapati daripadanya dan memahami maksudnya daripada Ahmad bin Hanbal.”

Begitu juga yang diriwayatkan oleh al-Muzani: “Al-Shafi`i pernah berkata: ‘Aku melihat seorang muda di Baghdad yang apabila dia berkata haddathana (kami telah diberitahu) dan orang ramainya akan berkata: Dia telah menyatakan sesuatu yang benar.’ Aku bertanya kepadanya (al-Shafi`i): ‘Dan siapakah dia?’ Beliau menjawab: ‘Ahmad bin Hanbal.’ ”

Dan begitulah juga puji-pujian yang diberikan kepadanya oleh `ulama’ lain termasuk Ibrahiim al-Harbi, Abu Bakr al-Athram, Abu Ja`far al-Nufaili dan Muhammad bin Nasr al-Mirwizi, Ishaq bin Rahawaih, Waki`, Yahya al-Qattan, `Abd al-Rahman bin Mahdi, Nuh bin Habib al-Qumasi, Ahmad bin Sinan al-Qattan, `Abd al-Razzaq, Qutaybah bin Sa`id, `Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma`in dan Hajjaz bin al-Sha’ir .

Kearifan al-Imam Ahmad bin Hanbal bukan hanya mengenai banyaknya hadith yang diriwayatkan olehnya, tetapi juga mengenai pengetahuannya mengenai kesahihan sesuatu hadith. `Amr al-Naqid diriwayatkan berkata: “Jika Ahmad telah bersetuju denganku mengenai (kesahihan) sesuatu hadith, aku tidak kisah siapa yang tidak bersetuju denganku.”

Al-Imam Ahmad bin Hanbal juga mempunyai pengetahuan yang tinggi di dalam Bahasa Arab, yang diakui sendiri oleh seorang yang merupakan `alim di dalam Bahasa Arab, dan mengetahui selok-belok dan rahsianya, yakni al-Imam al-Shafi`i. Di dalam Tabaqat al-Hanabilah beliau pernah diriwayatkan berkata: “Ahmad adalah seorang imam di dalam lapan bidang: hadith, fiqh, bahasa (Arab), Qur’an, tawaddu`, zuhud, taqwa dan al-Sunnah.”

Al-Imam Ahmad pernah diriwayatkan berkata: “Aku menulis Bahasa Arab lebih banyak daripada Abu `Amr bin al-A`la.” Begitu juga al-Mirwazi pernah berkata: “Abu `Abdullah (Ahmad bin Hanbal) tidak pernah menggunakan dialek di dalam ucapannya.”

C. Mereka Bersamanya

Isteri-isteri dan Anak-anaknya

Al-Imam Ahmad berkahwin pada umurnya 40 tahun kerana kecintaannya kepada ilmu. Isterinya yang pertama bernama Ummu Abi `Abasah bint al-Fadl, yang melahirkan seorang anak bernama Salih. Kemudian Ummu Abi `Abasah meninggal dunia. Isterinya yang kedua bernama Raihanah, yang melahirkan untuknya `Abdullah. Setelah kematian Raihanah beliau mempunyai seorang hamba wanita bernama Husn.

Anaknya yang pertama adalah Salih bin Ahmad bin Hanbal, yang memainkan peranan besar mengembangkan ajaran bapanya. Salih dilantik menjadi hakim di Asfahan dan meninggal pada tahun 265 H. Beliau mempunyai seorang anak bernama Zuhair bin Salih, seorang perawi hadith yang thiqah.

Anaknya yang kedua adalah `Abdullah bin Ahmad bin Hanbal, yang banyak meriwayatkan pandngan dan fatwa bapanya. `Abdullah dikurniakan daya ingatan yang kuat dan banyak mengingati hadith. Beliau meninggal dunia padatahun 290 H.

Al-Imam Ahmad juga mempunyai anak-anak bernama Zainab, al-Hasan, al-Husain dan Sa`id daripada hamba perempuannya Husn.

Guru-gurunya

Di dalam citanya mengejar ilmu, al-Imam Ahmad bin Hanbal telah bertemu ramai orang guru, diriwayatkan di dalam Al-Manaqib oleh Ibn al-Jawzi berjumlah lebih 100 orang. Namun dua daripadanya telah memainkan peranan yang paling besar dalam usaha pencarian ilmunya, mereka adalah Hushaim bin Bashir dan al-Imam al-Shafi`i.

Hushaim bin Bashir dilahirkan pada tahun 104 H, juga merupakan guru kepada al-imam al-Shafi`i. Al-Imam Ahmad telah mula berjumpa Hushaim pada umurnya yang muda yakni 16 tahun. Hushaim pula berguru dengan ramai tabi`in terpelajar seperti `Amr bin Diinar dan Al-Zuhri. Hushaim berasal dari Bukhara, tetapi telah mengembara ke banyak tempat untuk mencari ilmu, seperti Makkah, al-Basrah, Kufah dan kemudiannya kembali ke Baghdad untuk mengajarkan ilmu. Hushaim merupakan guru yang paling banyak mempengaruhi keilmuan al-Imam Ahmad bin Hanbal, yang pernah berkata: “Aku menghafal semua daripada Hushaim sebelum kematiannya.”

Al-Imam Muhammad bin Idris al-Shafi`i merupakan seorang lagi guru kepada Ahmad bin Hanbal. Al-Imam Ahmad berjumpa Al-Imam al-Shafi`i di Makkah setelah kematian gurunya Hushaim. Berasal dari Gaza, al-Imam al-Shafi`i dikenali dengan kefasihannya, kepandaiannya di dalam Bahasa Arab, daya ingatannya yang kuat, suara percakapannya yang merdu dan kecintaannya kepada ilmu. Beliau juga belajar daripada ramai guru yang masyhur seperti al-Imam Malik, Sufyan bin `Uyainah dan Muslim bin Khalid al-Zinji. Beliau amat dikagumi oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal yang pernah berkata kepada anaknya: “Wahai anakku! Al-Shafi`i adalah seperti matahari kepada bumi dan kesihatan kepada manusia. Tanyalah dirimu, adakah benda lain yang lebih penting daripada dua benda ini?”

Selain daripada al-Imam al-Shafi`i, Ahmad bin Hanbal juga berguru mengenai hadith dan fiqh dengan al-Imam Abu Yusuf, seorang murid al-Imam Abu Hanifah yang terkenal.

Anak-anak Muridnya

Ramai anak-anak muridnya yang meriwayatkan hadith dan ajaran-ajaran daripada al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antaranya adalah kedua anaknya `Abdullah dan Salih, dua imam besar hadith yakni al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim[9], juga Ibrahim al-Harbi, Ibrahim bin Hani’, Abu Bakr al-Marruzi, Abu Bakr al-Athram, Abu al-Harith Ahmad, Abu al-Muzfir Isma`il, Bishir bin Musa, Bakr bin Muhammad, Abu Daud al-Sijistani, `Abdullah bin Fawran[10] dan ramai lagi.

D. Mutiara Peninggalan Ahmad bin Hanbal

Karya-karya dan Ajarannya

Banyak mutiara ajaran al-Imam Ahmad ditinggalkan dalam bentuk pengajaran, pandangan dan fatwa-fatwanya, yang disampaikan melalui kelas-kelas pengajiannya. Beliau dikatakan mengadakan dua bentuk kelas pengajian – satu di rumahnya untuk anak-anak dan murid-muridnya, dan satu lagi di masjid untuk masyarakat umum serta murid-muridnya juga. Kelas pengajiannya di masjid diadakan selepas salat `Asar.

Al-Imam Ahmad tidak akan berkata melainkan setelah ditanya, melainkan ketika beliau sedang mengajarkan daripada karyanya al-Musnad. Apabila beliau memberikan fatwa dan pandangannya, beliau melarang murid-muridnya mencatat atau melaporkannya daripadanya, kerana beliau menganggap ilmu agama adalah hanya apa yang tertulis di dalam Kitab Allah dan al-Sunnah.

Karya al-Imam yang dikenali sebagai al-Musnad dianggap karya hadith terbesar pada zamannya dan zaman selepasnya. Ia mengandungi banyak hadith Rasulullah (s), kata-kata sahabat serta tabi`in. Di dalamnya terdapat matan dan sanad hadith yang setanding dengan hadith-hadith riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim tetapi mereka berdua tidak meriwayatkannya, malah tidak juga oleh empat imam hadith yang lain (Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibn Majah)[11].

Al-Musnad mengandungi lebih kurang 30 000 hadith, yang dipilihnya daripada lebih 700 000 hadith yang didengarinya sepanjang kembaranya.

Al-Imam pernah berkata kepada anaknya `Abdullah: “Jagalah al-Musnad ini, kerana ia akan menjadi ikutan untuk orang ramai.”

Ajaran al-Imam Ahmad bin Hanbal mengenai ciri-ciri aqidah Islam ada diriwayatkan di dalam karya Tabaqat al-Hanabilah oleh Qadi Muhammad bin Abi Ya`la, dan mutiara-mutiara ini pernah diterbitkan, antaranya oleh majalah al-Mujahid dan buku Usul al-Sunnah li al-Imam Ahl al-Sunnah Ahmad bin Hanbal yang disusun oleh Abu `Abd al-Rahman Fawwaz Ahmad Zumarli (terjemahan Inggeris terbitan al-Maktabah al-Salafiyyah, UK, 1997). Karya kedua juga memuatkan huraian mengenai ciri-ciri mu’min daripada kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah, yang juga diambil dari karya Tabaqat al-Hanabilah.

Kata-kata Hikmahnya

Banyak kata-kata hikmah telah diriwayatkan daripada al-Imam Ahmad bin Hanbal. Ia menyentuh tentang pelbagai aspek kehidupan, mencerminkan ketajaman fikiran dan keindahan berkata-kata yang dipunyai oleh al-Imam.

Di antara kata-kata hikmahnya[12]:

Sedikit daripadanya adalah mencukupi, sedangkan banyak daripadanya tidak mencukupi.”

Apa yang kurang daripada kehidupan di dunia ini bererti kurang hisab untuknya.”

Apabila ditanya mengenai kemuliaan al-Imam berkata: “Ia adalah meninggalkan apa yang disukai demi apa yang ditakuti.”

Dan pesannya kepada anaknya `Abdullah: “Wahai anakku! Berniat baiklah, kerana sesungguhnya engkau di dalam keadaan terpuji selagi engkau berniat baik.”

Sibukkanlah dirimu dengan perbuatan baik dan bersegeralah melakukan kebaikan sebelum sesuatu menghalang kamu melakukannya.”

Keteguhannya Berpegang Pada Al-Sunnah

Al-Imam Ahmad amat teguh pegangannya terhadap al-sunnah. Telah berkata `Abdul Malik al-Maimuni: “Mataku tidak pernah menemui seseorang yang lebih baik daripada Ahmad bin Hanbal, dan aku tidak pernah menjumpai seorang ahli hadith yang meletakkan kepentingan terhadap larangan Allah dan sunnah Rasulullah (s) yang lebih daripada beliau. Sekiranya sesuatu riwayat itu sahih, maka tiada orang yang memegang teguh kepadanya lebih daripada beliau.”

Abu Bakar al-Athram pula berkata: “Mengenai perkara agama yang kami dengar daripada Abu `Abdullah (al-Imam Ahmad), sekiranya terdapat hadith daripada Rasulullah (s) mengenai perkara itu, beliau tidak akan menerima kata-kata sahabat atau yang selepas mereka, sekiranya ia bercanggah dengan hadith itu.”

Dan diriwayatkan pula oleh al-Marruzi: “Ahmad berkata kepadaku, ‘Aku tidak meriwayatkan sesuatu hadith daripada al-Rasul (s) melainkan setelah aku beramal dengannya. Maka, apabila aku mengetahui al-Rasul (s) melakukan bekam dan memberi upah satu dirham kepada Abu Tibah, aku pun melakukan bekam dan memberi upah tukang bekam itu satu dinar.’”

Dan al-Imam amat memandang tinggi akan ahl al-sunnah. Kata beliau (diriwayatkan oleh al-Fadl bin Ahmad al-Zubaidi): “Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata apabila datang ulama’ hadith dengan bekas dakwat mereka: ‘Ini (bekas dakwat) adalah cahaya-cahaya Islam.’”

Beliau pernah ditanya (diriwayatkan oleh Muhammad bin Ahmad bin Abi al-Thalj) mengenai siapakah yang lebih baik, adakah orang yang menulis hadith, ataupun orang yang berpuasa dan salat, dan dijawab olehnya: “Orang yang menulis hadith.” Apabila ditanya lagi beliau menjelaskan: “Agar tidak dikatakan oleh seseorang: ‘Aku melihat orang melakukan sesuatu, maka aku pun mengikutnya.’”

Ketegasannya Terhadap Ahli Bida`ah

Kecintaannya yang amat mendalam terhadap al-sunnah melahirkan kebenciannya terhadap bid`ah dan orang-orang yang melakukannya. Beliau bukan sahaja menempelak dan menjauhi ahli-ahli bid`ah, malah berhati-hati dengan sesiapa yang mempunyai hubungan dengan ahli-ahli bid`ah. Abu Daud al-Sijistani pernah bertanya kepada al-Imam Ahmad: “Sekiranya aku melihat seorang di kalangan ahl al-sunnah bersama dengan seorang di kalangan ahl al-bid`ah, perlukah aku berhenti bercakap dengannya?” Al-Imam menjawab: “Tidak, malah sebaliknya engkau hendaklah memberitahunya bahawa orang yang dijumpainya itu seorang ahl al-bid`ah. Sekiranya dia berhenti berjumpa dengannya, maka baiklah. Sekiranya tidak, anggaplah dia bersama-sama dengannya (yakni juga ahl al-bid`ah). Kerana Ibn Mas`ud pernah berkata: Seseorang itu adalah menurut teman yang disimpan olehnya.”

Zaman di mana al-Imam hidup merupakan zaman yang penuh cabaran, di mana perkara-perkara bid`ah dipegang dan disebarkan, sehingga al-Imam berkata: “Aku tidak tahu zaman yang mana orang ramai perlu mempelajari ilmu hadith lebih daripada zaman ini.” Apabila ditanya mengapa beliau menjawab: “Bid`ah telah muncul, dan sesiapa yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai hadith akan jatuh ke dalamnya.”

Pengaruh al-Imam Ahmad bin Hanbal Di Dalam Bidang Fiqh

Di dalam bidang fiqh, ajaran Al-Imam Ahmad berkembang dengan para pengamalnya ke serata dunia, terutama di negeri Palestin dan Arab Saudi. Di Arab Saudi, setelah `Abd al-`Aziz bin al-Sa`ud berjaya menawan seluruh semenanjung Arab dan menubuhkan dinasti Saudi, beliau menjadikan Mazhab Hanbali sebagai asas undang-undang kerajaan negara itu[13]

Sumber rujukan paling utama di dalam Mazhab Hanbali – sebagaimana tiga mazhab besar yang lain – adalah al-Qur’an dan al-Sunnah. Walaubagaimanapun al-Imam Ahmad meletakkan syarat bahawa sesuatu hadith itu perlulah di dalam kategori marfu` (yakni disandarkan terus kepada al-Nabi).

Beliau juga menerima ijma` oleh para sahabat mengenai sesuatu perkara sebagai satu sumber hukum. Walaubagaimanapun pada pandangan beliau ijma` di kalangan generasi selepas sahabat adalah tidak tepat kerana besarnya bilangan ulama dan meluasnya penyebaran mereka di seluruh empayar Islam.

Apabila berlaku perbezaan pandangan di kalangan para sahabat, beliau akan menerima pelbagai pandangan yang berbeza itu. Apabila sesuatu hukum masih belum dapat diputuskan melaliu sumber-sumber hukum ini, beliau akan mengutamakan hadith da`if daripada pandangan beliau sendiri (yakni qias), dengan syarat keda`ifan hadith itu bukan disebabkan oleh perawinya seorang fasiq atau pembohong. Dan sebagai langkah terakhir, apabila tiada sumber lain dapat digunakan, barulah al-Imam Ahmad terpaksa menggunakan prinsip al-qiyas untuk mengeluarkan hukum.[14]

Penutup

Begitulah serba ringkas riwayat hidup seorang imam tersanjung, seorang `alim, seorang yang mengangkat martabat sunnah dan seorang yang menundukkan bid`ah. Betapa besar sumbangannya di dalam bidang ilmu hadith dan fiqh, dan betapa mulia peribadinya sebagai seorang hamba Allah.

Sebagai penutup, pengkaji ingin menukilkan kata-kata Abu al-Hasan al-Ash`ari mengenai al-Imam Ahmad bin Hanbal:

“Kata-kata kami yang kami pegang dan menganggapnya sebagai agama ini adalah: Berpegang teguh dengan Kitab Allah, dan dengan Sunnah Rasul (s), dan apa yang diriwayatkan daripada para sahabat, para tabi`in dan imam-imam hadith. Inilah yang menjadi pegangan kami, dan pegangan Abu `Abdullah Ahmad bin Hanbal – semoga Allah memuliakan wajahnya, mengangkat darjatnya dan memberikannya sebesar-besar ganjaran – dan kami menjauhkan diri daripada orang-orang yang menyalahi kata-katanya. Beliau adalah seorang imam yang mulia lagi sempurna, dan dengannya Allah telah menjelaskan kebenaran, membuang kesesatan dan menjelaskan manhaj ini, dan dengannya Allah telah menghancurkan bid`ah mereka yang melakukan bid`ah, kesesatan mereka yang sesat, dan kesangsian mereka yang sangsi. Semoga Allah merahmati beliau, imam yang paling utama.”[15]


Rujukan

Abū Amīnah Bilāl Philips, The Evolution of Fiqh, Tawheed Publications (UK), 1990.

Ahmad bin Hanbal, Foundations of The Sunnah, terjemahan Inggeris Usul al-Sunnah oleh Amjad ibn Muhammad Rafiq, Salafi Publications (UK), 1997.

Muhammad Abū Zahrah, Ushul Fiqh, terjemahan Melayu Usūl al-Fiqh oleh Saefullah Ma`shum, Pustaka Firdaus (Indonesia), 2002.

Salahuddīn Āli Abdul Mawjud, The Biography of Imam Ahmad bin Hanbal, terjemahan Inggeris oleh Sameh Strauch, Maktabah Darus Salam (Riyadh), 2006.

Nota Akhir

[1] The Biography of Imam Ahmad bin Hanbal, Salahudin Ali Abdul Mawjud, pp. 9-10.

[2] Satu bandar di Turkmenistan.

[3] Salahuddin Ali Abdul Mawjud, p. 13.

[4] Salahuddin Ali Abdul Mawjud, pp. 21-25.

[5] Foundations of The Sunnah, Ahmad bin Hanbal, p. 75.

[6] Salahuddin Ali Abdul Mawjud, p. 59.

[7] Salahuddin Ali Abdul Mawjud, p. 15.

[8] Surah al-Mulk 67:30.

[9] The Evolution of Fiqh, Abu Aminah Bilal Philips, p. 86.

[10] Salahuddin Ali Abdul Mawjud pp. 101-112.

[11] Salahuddin Ali Abdul Mawjud pp. 37-38.

[12] Salahuddin Ali Abdul Mawjud, pp. 123-126.

[13] Abu Aminah Bilal Philips, pp 86-87.

[14] Di dalam Biography of Imam Ahmad bin Hanbal, disebutkan bahawa al-Imam dan murid-muridnya juga menggunakan kaedah al-Maslahah al-Mursalah dan al-Isthishab dalam mengeluarkan hukum, Salahuddin Ali Abdul Mawjud pp. 62-66.

[15] Daripada al-Ibanah `an Usul al-Diyanah, dinukilkan dalam Usul al-Sunnah.

2 thoughts on “Al-Imam Ahmad bin Hanbal

    1. ukashah Post author

      Pengajarannya Cik Fazliyana Athira:
      Kenali dan hormati para ulama’ kerana mereka adalah pewaris para Nabi. :)

      Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s