Faktor Persekitaran Dalam Pembangunan Insan

Peranan Faktor Persekitaran Di Dalam Pembangunan Insan

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada ketaqwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan dirinya. Dan sesungguhnya hampalah orang yang membersihkan dirinya.” (Al-Shams 91:7-10)

Pendahuluan

Di dalam diri setiap insan telah terilham dua pilihan untuknya – samaada untuk menyucikan jiwanya dengan menuruti jalan ketaatan kepada Penciptanya, ataupun mengotori jiwanya dengan menuruti jalan keingkaran kepadaNya. Kurnia kebebasan untuk memilih adalah di antara keistimewaan manusia, yang bukan sahaja telah dikurniakan akal untuk membuat pertimbangan yang wajar tetapi juga telah diutuskan para Rasul untuk menceritakan tentang Allah, Pencipta mereka dan tujuan mereka diciptakan.

Dan Allah telah menceritakan melalui wahyuNya bahawa walaupun kuasa membuat pilihan adalah wewenang manusia, tetapi mereka adalah juga bertanggungjawab penuh kepada pilihan yang mereka buat. Maka sesiapa yang memilih jalan taqwa, kejayaan hakiki adalah untuknya. Begitu juga sesiapa yang memilih jalan kejahatan, kerugian besar pula menantinya.

Maka seorang mu’min sudah tentu seharusnya berusaha mencari jalan-jalan yang mendekatkan dirinya kepada Allah, membangunkan dirinya selaras dengan kehendak Allah. Dia sudah tentu perlu memahami apakah faktor-faktor yang mempengaruhi ke arah mana dirinya dibangunkan. Dan seterusnya dia perlulah mencari dan menyalurkan seluruh faktor-faktor ini ke arah pembinaan dirinya, sehampir mungkin dengan hasil celupan agama, celupan Allah.

Firman Allah (maksudnya):

Celupan Allah, dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan kepadaNyalah kami beribadat“. (al-Baqarah 2:138)

Salah satu faktor terpenting yang mempengaruhi pembinaan diri manusia adalah faktor persekitaran. Walaupun secara hakikatnya yang membuat sesuatu keputusan itu adalah hati manusia itu sendiri yang bersifat dalaman, tetapi pengaruh input dari luaran banyak memberi kesan kepada hati itu sendiri, kerana kedua-duanya saling berhubung melalui pancaindera yang pelbagai. Hati membuat keputusan berdasarkan nilai-nilai tertentu, dan nilai-nilai ini dibentuk melalui pengamatannya terhadap kejadian-kejadian dan contoh-contoh dari luar.

Kajian ini bertujuan membincangkan pengaruh persekitaran kepada pembinaan diri manusia. Ia dimulai dengan definisi bahasa dan saintifik mengenai persekitaran,  kemudian perbincangan mengenai contoh-contoh pengaruh persekitaran terhadap pembangunan insan, kepentingan persekitaran melalui peristiwa hijrah, konsep amar ma`ruf nahi munkar dan konsep hidup berjamaah, serta akhir sekali peranan kerajaan di dalam membentuk persekitaran.

A. Definisi

Bahasa

Persekitaran didefinisikan oleh Kamus Dewan sebagai ‘kawasan di sekeliling sesuatu tempat’ atau ‘kawasan sekitar’[1]. Ungkapan yang seerti di dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai ‘environment’ diertikan sebagai ‘physical surroundings and conditions, especially as affecting people’s lives’[2], yang bermaksud ‘persekitaran dan keadaan fizikal, terutamanya yang mempengaruhi kehidupan manusia’. Di dalam bahasa Arab ia disebut bi’ah (البيئة  ) atau muhitah (المحيطة).

Bidang Saintifik

Di dalam bidang ilmu psikologi dan pendidikan, faktor persekitaran seringkali didebatkan sebagai satu lagi faktor yang mempengaruhi sifat fizikal dan sikap sesuatu individu, selain daripada faktor dalaman yang semulajadi atau faktor genealogi[3]. Suatu teori yang dikenali sebagai ‘tabula rasa’[4] malah berpendapat bahawa seseorang individu manusia tidak dilahirkan dengan ciri-ciri atau sifat-sifat dalaman semulajadi, malah keseluruhannya bergantung kepada pengalaman dan input yang diperolehinya daripada dunia luar.

B. Pengaruh Persekitaran Terhadap Pembinaan Insan

Keluarga: Persekitaran Terawal dan Terpenting

Pengaruh persekitaran terhadap pembinaan insan adalah sesuatu yang tidak dinafikan lagi, hanya teori-teori moden tidak sependapat mengenai sejauh mana kekuatan pengaruh ini berbanding dengan pengaruh semulajadi (atau genealogi di dalam istilah saintifiknya).

Bagi manusia, sudah tentu persekitaran pertama yang dialami dan dirasainya adalah persekitaran bersama keluarganya. Ini adalah benar bagi semua individu melainkan sebahagian kecil mereka yang tidak mendapat kelebihan tinggal dan membesar bersama keluarga.

Sebagai suasana pertama yang dialaminya sejak seorang manusia itu dilahirkan, juga suasana yang di dalamnya dia paling banyak hidup dan berinteraksi bersama, sudah tentu suasana kekeluargaan amat besar memainkan peranan di dalam membentuk peribadinya. Sebarang nilai yang didedahkan di dalam suasana kekeluargaan itu, maka individu itu berkembang sejajar dengannya, baik ia positif mahupun negatif. Jadi tidak keterlaluanlah jika dikatakan kejayaan membentuk keperibadian anak-anak banyak bergantung kepada suasana yang diwujudkan di dalam keluarganya, dan tidak lain tidak bukan ibubapalah yang bertanggungjawab memainkan peranan membentuk suasana di dalam keluarga.

Tidak mengejutkan apabila Suhaib Hasan[5] meletakkan kegagalan ibubapa sebagai faktor terbesar yang membawa kepada kerosakan generasi anak-anak hari ini. Kerana peribadi mereka, akhlak dan moral mereka, nilai dan prinsip yang mereka bawa, pemikiran dan pandangan mereka terhadap peranan mereka, semuanya bergantung besar kepada input-input awal yang mereka terima di rumah.

Di dalam konteks yang lebih besar, kejayaan sesuatu bangsa bergantung kepada kejayaan setiap unit keluarga. Manakala kejayaan institusi keluarga pula terletak pada suasana di dalamnya.

“Kita amat terdesak memerlukan pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi bertaqwa yang dibesarkan di dalam persekitaran harmoni, bukan persekitaran kucar-kacir dan porak-peranda. Kanak-kanak kemudiannya boleh membesar di dalam suasana  yang sihat dan menyenangkan, bukan dalam keadaan terpaksa menangani pergeseran keluarga. (Maka) rumahtangga beginilah yang akan menghasilkan para pendakwah dan para mujaddid.”[6]

Pengaruh Guru dan Rakan

Selain daripada keluarga, seseorang itu akan dipengaruhi juga oleh suasana di luar rumah, dan dua pihak luar yang banyak memainkan peranan ini adalah guru dan rakannya.

Guru adalah seorang yang bertanggungjawab menyampaikan, membimbing, memberi tunjuk ajar, menjadi contoh teladan dan membetulkan kesalahan. Maka sudah tentu bentuk ilmu dan nilai yang diterapkan dan diterima oleh seseorang bergantung kepada jenis guru yang ditemuinya.

Para sarjana banyak menekankan kepentingan memilih guru yang baik, dan ibubapa tidak terlepas tanggungjawab mereka daripada memilihkan guru untuk anak-anak mereka. `Abdullah Nasih al-`Ulwan di dalam karyanya Tarbiyyah al-Awlad fi al-Islam banyak menyebut tentang aspek pemilihan guru untuk seorang anak, malah menceritakan tentang kewaspadaan yang wajar diberikan terhadap ‘pembimbing-pembimbing palsu’[7].

Menurut al-Imam al-Zarnuji, di dalam pemilihan guru, keutamaan haruslah diberikan terhadap mereka yang paling berilmu, paling bertaqwa dan paling berpengalaman. Malah seseorang itu haruslah mengambil masa untuk mencari dan membuat penilaian dari kalangan guru-guru yang dijumpainya. Berkata al-Hakim al-Samarqandi: “Jika engkau datang ke Bukhara, jangan terburu-buru dengan pelbagai guru-guru yang terpelajar. Sebaliknya bersabarlah untuk beberapa bulan sehingga engkau membuat penilaian mengenai pemilihan seseorang guru itu.”[8]

Begitu juga pentingnya pengaruh daripada rakan-rakan[9], yang menjadi teman dampingannya di dalam pelbagai keadaan. Seorang rakan akan mempengaruhi seseorang melalui interaksi perkataannya dan perbuatannya, juga corak pemikirannya dan tabiat-tabiatnya.

Rasulullah (s) banyak memberikan panduan dan nasihat di dalam memilih rakan. Sabda baginda (s) daripada riwayat Abu Musa al-Ash`ari:

” مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ ، وَالسَّوْءِ ، كَحَامِلِ الْمِسْكِ ، وَنَافِخِ الْكِيرِ ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً ، وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً “

Di dalam hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim ini, al-Rasul (s) mengumpamakan rakan yang baik dan yang jahat seumpama pembawa minyak wangi dan tukang besi. Sekurang-kurangnya kita tidak terlepas daripada mendapat bau baik/busuk daripadanya.

Manakala Anas bin Malik pernah meriwayatkan Rasulullah (s) bersabda:

إِيَّاكَ ، وَقَرِينَ السُّوءِ ، فَإِنَّكَ بِهِ تُعْرَفُ

Maksudnya: “Berwaspadalah kamu terhadap rakan yang jahat, kerana dengannya kamu dikenali.” (Riwayat Ibn `Asakir)

Betapa besarnya peranan rakan terhadap diri seseorang, sehingga ia dianggap sebagai salah satu daripada empat ‘racun’ hati di dalam karya Tazkiyyah al-Nufus[10]. Ini adalah tentunya tepat sekali apabila seorang rakan membawa pengaruh negatif terhadap diri seseorang sehingga hatinya rosak dan ‘sakit’.

Pengaruh Masyarakat

Selain daripada suasana di rumah dan di tempat ia belajar atau bekerja, seseorang seterusnya bertemu dan berinteraksi dengan orang awam lainnya, yakni dengan masyarakat di sekitarnya. Mereka adalah jirannya, orang-orang setempat mahupun yang dijumpai di jalanannya, dan di dalam konteks yang lebih besar adalah mereka di daerah, negeri atau negaranya. Suasana yang dijumpai apabila dia bersama mereka adalah jua suatu pengaruh yang besar kepada pembentukan dirinya.

Atas sebab itu seseorang yang mengini kebaikan dinasihatkan mencari suasana persekitaran yang baik – atau bi’ah solehah – yang dapat membantunya meningkatkan nilai positif di dalam dirinya. Ini juga bermaksud meninggalkan suasana persekitaran yang buruk dan dipenuhi dengan budaya-budaya negatif. Kita diingatkan kepada sebuah kisah yang diceritakan oleh Rasulullah (s), sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa`id al-Khudri:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” كَانَ مِمَّنْ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا ، فَسَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَاهِبٍ ، فَأَتَاهُ ، فَقَالَ : إِنَّهُ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا ، فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ ؟ فَقَالَ : لا فَقَتَلَهُ ، فَكَمَّلَ بِهِ الْمِائَةَ ، ثُمَّ سَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الأَرْضِ ، فَدُلَّ عَلَى رَجُلٍ عَالِمٍ فَأَتَاهُ ، فَقَالَ : قَتَلَ مِائَةَ نَفْسٍ ، فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ ؟ فَقَالَ : نَعَمْ ، وَمَنْ يَحُولُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ التَّوْبَةِ ، انْطَلِقْ إِلَى أَرْضِ كَذَا وَكَذَا ، فَإِنَّ بِهَا نَاسًا يَعْبُدُونَ اللَّهَ تَعَالَى فَاعْبُدْ مَعَهُمْ وَلا تَرْجِعْ إِلَى أَرْضِكَ فَإِنَّهَا أَرْضُ سُوءٍ فَانْطَلَقَ حَتَّى إِذَا أَتَى نِصْفَ الطَّرِيقِ فَأَتَاهُ الْمَوْتُ ، فَاخْتَصَمَتْ فِيهِ مَلائِكَةُ الرَّحْمَةِ وَمَلائِكَةُ الْعَذَابِ ، فَقَالَتْ مَلائِكَةُ الرَّحْمَةِ : جَاءَ تَائِبًا مُقْبِلا إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَقَالَتْ مَلائِكَةُ الْعَذَابِ : إِنَّهُ لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ ، فَأَتَاهُمْ مَلَكٌ فِي صُورَةِ آدَمِيٍّ فَجَعَلُوهُ بَيْنَهُمْ ، فَقَالَ : قِيسُوا مَا بَيْنَ الأَرْضَيْنِ ، فَإِلَى أَيِّهِمَا كَانَ أَدْنَى فَهُوَ لَهُ ، فَقَاسُوا فَوَجَدُوهُ أَدْنَى إِلَى الأَرْضِ الَّتِي أَرَادَ ، فَقَبَضْتُهُ مَلائِكَةُ الرَّحْمَةِ ” قَالَ قَتَادَةُ : فَقَالَ الْحَسَنُ : ذُكِرَ لَنَا أَنَّهُ نَاءَ بِصَدْرِهِ رَوَاهُ مُسْلِمٌ فِي الصَّحِيحِ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ الْمُثَنَّى ، وَقَوْلُهُ : نَاءَ بِصَدْرِهِ ، يَحْتَمِلُ أَنْ يَكُونَ الْمُرَادُ بِهِ عَنْ مَعَاصِيهِ وَتَكْرَهَ عَلَيْهَا

Hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Baihaqi[11] ini menceritakan perihal seorang daripada kalangan Bani Isra’il yang telah membunuh ramai orang lalu dia mengkehendaki untuk bertaubat dan memperbaiki dirinya. Lalu orang alim yang ditemuinya menasihatinya untuk pergi ke suatu masyarakat yang baik dan mengabdikan diri kepada Allah, serta menjauhi masyarakat asalnya yang banyak melakukan kejahatan. Kisah ini memberi pengajaran akan peri pentingnya menyertakan diri ke dalam masyarakat yang baik dalam usaha untuk mengislahkan atau memperbaiki diri.

Begitu juga perihal dengan kisah ashab al-kahf (atau sahabat-sahabat gua) yang diceritakan di dalam Surah al-Kahf, yang mana lima[12] orang sahabat yang menguzlahkan diri mereka ke dalam gua semata-mata untuk menjauhkan diri daripada pemerintah dan suasana yang zalim.

Firman Allah Azza wa Jall (maksudnya):

(Ingatlah) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: ‘Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami’ ”. (al-Kahf 18:10)

Inilah yang dilakukan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman, apabila kejahatan telah melata dan mereka beriltizam untuk menyelamatkan agama mereka. Maka mereka menjauhi persekitaran yang mendatangkan pengaruh buruk ke atas keimanan mereka.

Firman Allah Ta`ala (maksudnya):

“… Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (al-Kahf 18:13)

Pembentukan masyarakat yang baik bukan sahaja menjadi pemangkin ke arah membantu individu-individu meningkatkan pembinaan diri mereka, malah ia menjadi batu lompatan ke arah pembinaan sebuah negara dan khilafah Islamiyah. Kerana itulah al-Imam al-Shahid Hasan al-Banna meletakkan pembinaan sebuah masyarakat Islam sebagai langkah ketiga di dalam peringkat-peringkat amal[13].

Peneladanan Daripada Hijrah

Peristiwa Hijrah yang berlaku lebih 14 abad yang lalu memberi implikasi yang besar ke atas pembinaan masyarakat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah (s). Ia bukan sahaja mempunyai implikasi kedaerahan, ideologi dan politik, malah konsep Dar al-Islam yang terbentuk melalui Negara al-Madinah mempunyai peranan memberikan perlindungan dan keselamatan, sehingga terbentuk satu suasana yang kondusif di mana seseorang Muslim dapat mempertingkatkan dirinya dan merealisasikan cita-citanya[14].

Tuntutan Berjamaah

Islam menuntut penganutnya sentiasa beriltizam di dalam sebuah jama`ah, dan tidak mengasingkan dirinya. Hidup berkumpulan bermaksud menerima kekuatan dan sokongan, dan individu yang bersama jama`ah akan mendapati usaha-usahanya lebih mudah dilaksana, lebih tersusun dan natijahnya lebih baik.

Firman Allah Ta`ala (maksudnya):

“… Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (al-Ma’idah 5:2)

Abu Hurairah (r) pernah meriwayatkan bahawa al-Rasul (s) pernah bersabda:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang mu’min itu kepada seorang mu’min yang lain adalah seperti binaan. yang satu menguatkan yang lainnya.” (al-Bukhari, Muslim, al-Nasa’i, Ahmad dan lainnya)

Sabda baginda (s) lagi (daripada riwayat al-Nu`man bin Bashir):

الْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ ، وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ

Maksudnya: “Jamaah itu adalah rahmat, dan perpecahan itu adalah azab.” (Ibnu Abi `Asim, Ibnu Battah, dengan sanad hasan)

Dengan berjamaah akan wujudnya suasana ingat-memperingati, nasihat-menasihati, amar ma`ruf dan nahi munkar. Hasilnya satu suasana yang amat kondusif dan menggalakkan pembinaan diri individu yang berada di dalamnya.

Peranan Kerajaan Di Dalam Pembinaan Persekitaran

Perbincangan seterusnya adalah mengenai suasana yang dibentuk oleh kerajaan, sebagai suatu entiti yang paling berkuasa dan berupaya menjalankan satu-satu usaha dalam skala yang besar dan menyeluruh.

Kerajaan di dalam sesebuah negara adalah pihak yang telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah, mentadbir, menguatkuasakan undang-undang dan menggerakkan jentera-jentera atau institusi-institusinya bagi mencapai matlamat negara. Selain daripada aspek-aspek fizikal seperti pembinaan ekonomi, kekuatan ketenteraan, kelengkapan infrastruktur dan seumpamanya, kerajaan juga menggerakkan dan mengawal institusi-institusi bukan fizikal seperti pendidikan, penerangan dan pembangunan sumber manusia. Institusi-institusi ini, apabila digerakkan dengan perancangan dan usaha yang menyeluruh, akan membentuk suasana negara dan masyarakat dalam acuan tertentu, bergantung kepada matlamat dan agenda pihak yang menggerakkannya.

Maka apabila sistem pendidikan sesebuah negara digerakkan atas fokus pembinaan iman dan akhlak, begitulah juga generasi yang dihasilkan oleh sistem ini. Begitu juga apabila institusi penerangan mengutamakan mesej-mesej ilmu dan moral di dalam penyiarannya, begitulah juga masyarakat yang didedahkan kepada sistem ini.

Dan begitu juga sebaliknya. Apabila sesebuah negara gagal menghasilkan generasi yang mempunyai amanah dan kekuatan, maka kerajaan perlu menerima sebahagian daripada ‘tuduhan bersalah’ melalui kegagalannya menggerakkan institusi-institusi ini dalam membentuk masyarakat dan suasana yang positif.

Apabila keamanan rakyat tidak dapat dijamin (dengan pelbagai jenayah yang menzalimi diri, harta dan agama menjadi berleluasa), apabila remaja dan pemuda rosak dengan pelbagai gejala-gejala spiritual dan sosial, maka lihatlah kepada intipati dan pendekatan usaha institusi-institusi penting kerajaan. Di sana selalunya akan mudah dapat dilihat sama padannya usaha dan natijah, agenda dan hasil.

Begitulah pentingnya suasana di dalam negara yang perlu dibentuk oleh kerajaan. Apa yang mereka agendakan, itulah hasilnya yang akan diperolehi.

Penutup

Kajian ini diharapkan secara ringkas dapat menerangkan akan besarnya pengaruh suasana persekitaran terhadap pembangunan insan. Di sana terdapat teori-teori yang mengatakan aspek semulajadi (‘nature’) yang membentuk sesuatu peribadi, namun tidak dapat disangkal lagi akan kemampuan aspek-aspek luar memberikan satu didikan (‘nurture’) dan seterusnya mempengaruhi pembinaan sifatnya.

Maka setiap orang dan pihak perlu melakukan tanggungjawabnya di dalam pembinaan insan. Seseorang individu perlu mencari persekitaran (yakni tempat tinggal, kejiranan, guru, rakan, kumpulan atau persatuan dan sebagainya) bagi memastikan dirinya mendapat pengaruh yang baik. Seseorang ibu atau bapa perlu menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pendidikan anak-anaknya di rumah. Seorang majikan perlu menyediakan persekitaran yang menyokong peningkatan kualiti diri para pekerjanya. Dan sesebuah kerajaan perlu menggerakkan institusi-institusinya ke arah menyediakan persekitaran yang baik bagi menjana generasi yang bakal menggerakkannya suatu hari nanti.

ﻭﺍﷲ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﺃﻋﻠﻢ


Rujukan

Abdullāh Nāsih Ulwān, Pendidikan Anak-anak Dalam Islām (terjemahan Bahasa Melayu Tarbiyyah al-Awlād fi al-Islām), terjemahan Syed Ahmad Semait, Pustaka Nasional (Singapura), 2002.

Burhan al-Din al-Zarnuji, Instruction of the Student: The Method of Learning (terjemahan Bahasa InggerisTa`lim al-Muta`allim Tariq al-Ta`allum), terjemahan G. E. Von Grunebaum, The Starlatch Press (Chicago), 2001.

Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi Ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.

Khurshid Ahmad, Family Life in Islām, The Islāmic Foundation (UK), 1974.

Muhammad `Abdullah al-Khatib, Pandangan Semula Kepada Risalah Ta`alim (terjemahan Melayu kepada Nadharat fi Risalah al-Ta`alim), terjemahan Annuar Salleh, Pustaka Media Budi, 1993.

Muhyiddīn Abū Zakariyyā Yahyā bin Sharaf al-Nawāwī, Riyād al-Sālihīn Vol. 1 (terjemahan Inggeris dan syarah kepada Riyād al-Sālihīn), terjemahan dan syarah oleh Hāfiz Salāhuddīn Yūsuf, Darussalam (Arab Saudi), 1998.

Nasir al-Omar, The Ingredients for a Happy Marriage, terjemahan Inggeris oleh Mohammed Amin, Al-Firdous Ltd (UK), 1997.

Oxford University Press, The Concise Oxford Dictionary Eighth Edition, Oxford University Press (UK), 1990.

Suhaib Hasan, Raising Children in Islām, Al-Quran Society (London), 1998.

Wikipedia (halaman web di: http://en.wikipedia.org)

Zakaria Bashier, Hijra: Story and Significance, The Islāmic Foundation (UK), 1983.

Nota Akhir

[1] Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi Ketiga.

[2] Oxford University Press, The Concise Oxford Dictionary Eighth Edition.

[3] Lihat perbincangan lanjut mengenai ‘The Nature Theory vs The Nurture Theory’ (yakni Teori Semulajadi dan Teori Didikan) di halaman web http://en.wikipedia.org/wiki/Nature_versus_nurture.

[4] Daripada perkataan Latin yang bermaksud ‘clean slate’ atau ‘helaian kosong’.

[5] Suhaib Hasan, Raising Children In Islam, p. 7.

[6] Nasir al-Omar, The Ingredients for a Happy Marriage, p. 6.

[7] `Abdullah Nasih al-`Ulwan, Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, Jilid 2, pp 418-419.

[8] Burhan al-Din al-Zarnuji, Instruction of the Student: The Method of Learning, p. 10.

[9] `Abdullah Nasih al-`Ulwan membahagikan rakan-rakan ini kepada empat: (i) Rakan di rumah  (ii) Rakan di kampung  (iii) Rakan di masjid  (iv) Rakan di sekolah atau tempat kerja.

[10] Tajuk asalnya Tazkiyyah al-Nufus wa Tarbiyyatuha kama Yuqarrarahu `Ulama al-Salaf (diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris sebagai Purification of the Souls), suatu karya Ahmad Farid yang menghimpunkan mutiara-mutiara hikmah oleh Ibnu Rajab al-Hanbali, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dan Abu Hamid al-Ghazzali.

[11] Juga diriwayatkan dengan maksud matan yang serupa oleh al-Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibnu Hibban dan lainnya.

[12] Juga dikatakan tiga dan tujuh orang.

[13] Dikenali sebagai maratib al-`amal, ia adalah sebahagian daripada Rukun-rukun Bay`ah (Arkan al-Bay`ah) yang 10, yang menjadi tunjang ajaran al-Ikhwan al-Muslimun. Rujuk Muhammad `Abdullah al-Khatib, Pandangan Semula Kepada Risalah Ta`alim, pp. 208-222.

[14] Lihat perbincangan mengenai Dar al-Islam dan Dar al-Harb, Zakaria Bashier, Hijra: Story and Significance, pp. 90-94.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s