Keruntuhan Akhlak Remaja

Keruntuhan Akhlak Di Kalangan Remaja Dan Cara-cara Mengatasinya

Pendahuluan

Keruntuhan akhlak di kalangan remaja sering dijadikan topik perbincangan di pelbagai wadah – di dada akhbar dan majalah, rencana, wawancara dan drama televisyen dan radio, sehingga ke ceramah dan forum semasa. Masalah ini telah lama mendapat tempat di dalam keprihatinan masyarakat khususnya di Malaysia, tetapi sehingga kini masih belum tampak jelas jalan penyelesaiannya.

Bermula dari isu ini, kaitan sering pula dibuat terhadap masalah-masalah lain, seperti peningkatan kadar jenayah, peningkatan masalah penagihan dadah, kurangnya graduan berkualiti dan pelbagai lagi permasalahan yang menghantui masyarakat. Selalu dilihat adalah pelbagai pihak yang menuding jari ke pihak-pihak tertentu, namun sebenarnya apa yang diperlukan adalah pemahaman yang mendalam dan menyeluruh (holistik) terhadap punca masalah ini, dan seterusnya usaha menangani yang juga perlu menyeluruh dan bersepadu, bukannya yang datang dari sudut-sudut tertentu dan usaha yang terpancar-pancar.


Definisi

Menurut Oxford Dictionary Edisi ke-9, remaja (youth) didefinisikan sebagai: “the state of being young; the period between childhood and adult age.” Yakni “peringkat muda, atau peringkat umur di antara kanak-kanak dan dewasa.”

Di dalam bahasa Arab remaja disebut sebagai shabb ﺷﺎﺏ atau kata majmuknya shabaab ﺷﺒﺎﺏ.

Keruntuhan Akhlak Di Kalangan Remaja

Apa yang tidak kena dengan remaja?

Ramai remaja hari ini dilihat tidak mempunyai keutuhan moral. Pergaulan bebas, pakaian yang tidak menutup aurat, seks bebas, budaya menyukai hiburan (hedonisma), dadah, mat rempit dan seumpamanya bukan lagi merupakan sesuatu yang jarang berlaku, malah telah menjadi kebiasaan.

Kajian yang telah dijalankan oleh pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Dr Khaidzir Ismail daripada UKM melalui ‘Kajian Profail Remaja Perempuan Berisiko Tinggi’ pada Disember 2006 telah mendapati, seramai 886 (99.9%) daripada 887 remaja perempuan yang dijalankan kajian, mendakwa pernah terlibat dengan aktiviti seks ketika di sekolah menengah. Ini sudah tentu merupakan satu penemuan yang mengejutkan semua pihak, terutamanya pihak ibubapa, betapa teruknya kedudukan akhlak remaja di tanahair.

Remaja telah kurang menunjukkan nilai-nilai murni yang suatu waktu dulu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, yakni budaya menghormati orang tua, etika berpakaian, etika bergaul dengan orang lain. Pergilah sahaja ke bandaraya metropolitan Kuala Lumpur, amat sukar untuk menjumpai remaja yang baik budi bicaranya, tinggi akhlaknya, yang akan memberikan tempat duduknya di dalam bas atau LRT kepada orang lain yang lebih memerlukan.

Tidak kurang juga kita dikejutkan dengan berita remaja yang tersasar aqidah mereka dengan penglibatan mereka dalam pelbagai pengaruh dari Barat. Terdapat di antara pengikut black metal yang melampau yang memuja-muja syaitan dan mengagung-agungkan nama-nama syaitan seperti Mephisto, Lucifer, Baphomet dan sebagainya. Mereka ini jelas terpengaruh dengan kumpulan-kumpulan muzik itu yang menempatkan mesej-mesej serong di dalam lirik lagu-lagu mereka. Sesetengah daripada mereka juga bersifat anti-agama, sehingga mempengaruhi berlakunya kejadian pembakaran lebih 10 buah gereja di Norway pada tahun 90-an.

Lebih baru lagi pula kemunculan pengikut Punk Anarchy yang mula bertapak di Malaysia, mereka dilaporkan mendakwa boleh mengawal keempat-empal unsur alam iaitu api, air, tanah dan angin dengan kuasa mereka. Jelas sekali kemurnian aqidah Islamiah di dalam diri mereka telah tercemar.

Seterusnya negara menyaksikan kurangnya generasi muda yang cemerlang, yang pada mereka boleh diletakkan harapan untuk menggerakkan jentera-jentera negara dan menyambut tampuk pemerintahan pada masa hadapan. Sekarang dilihat semakin kurangnya bilangan graduan-graduan yang berkualiti, baik dari segi kualiti akademik mahupun skil-skil kemanusiaan (seperti kebolehan memimpin, bekerja dalam kumpulan dan seumpamanya).

Amatlah jauh keadaan remaja sekarang jika mahu dibandingkan dengan generasi-generasi muda pada zaman Rasulullah (s) mahupun zaman sahabat. Kita ketandusan remaja seperti Ibn `Abbas yang dikurniakan kebijaksanaan dan dijadikan tempat rujukan ilmu mahupun ketika usianya yang muda. Kita kekurangan remaja-remaja yang cepat tampil kehadapan apabila panggilan jihad dilaungkan.

Punca-punca Masalah Remaja

Tidak dinafikan bahawa banyak faktor memainkan peranan dalam membentuk pembangunan remaja, tetapi adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa ibubapa adalah sebenarnya faktor paling utama dalam menentukan kejayaan pendidikan anak-anak. Mereka tidak dapat lari daripada hakikat ini dan tidak sepatutnya menuding jari ke arah orang lain apabila pendidikan ini tidak berjaya. Ibu sebenarnya bukan hanya seorang yang menyediakan makanan dan keperluan lain di rumah. Bapa sebenarnya bukan hanya seorang yang bertugas mencari nafkah keluarga. Peranan mereka adalah lebih daripada itu. Ibubapa sebenarnya bukan sahaja punya tanggungjawab fizikal, tetapi juga spiritual, emosional dan pendidikan sesuatu keluarga[1].

Ramai ibubapa gagal memberi penekanan yang sewajarnya kepada pembinaan shakhsiah di dalam diri anak-anak, terutamanya mereka yang sibuk dengan urusan kerja. Sedikit masa yang diluangkan di rumah menyebabkan berkurangnya waktu kualiti (‘quality time’) bersama anak-anak. Ibubapa ini seterusnya lebih banyak bergantung kepada institusi-institusi luar seperti sekolah, kelab dan persatuan untuk membentuk peribadi anak-anak, lebih daripada memainkan peranan diri mereka sebagai ‘role model’ untuk anak-anak.

Sebenarnya langkah pertama pembentukan diri anak-anak itu bermula daripada langkah pemilihan pasangan hidup itu sendiri, dan seterusnya pasangan ini hendaklah meletakkan pembentukan keluarga solehah sebagai gagasan terbesar perkahwinan mereka. Kemudian apabila suatu persetujuan telah terbentuk, maka masing-masing hendaklah memainkan peranan dalam memberikan pendidikan aqidah, ibadah dan akhlak di dalam diri anak-anak.

Suasana atau bi’ah yang dibentuk di rumah sebenarnya juga menjadi faktor yang menggalakkan (atau merencatkan) pembinaan anak-anak. Apabila rumah itu dipenuhi dengan suasana yang hingar-bingar dengan nyanyian dan hiburan, maka begitulah kecenderungan jiwa anak-anak yang dibesarkan di dalamnya.

Selain daripada ibubapa sistem pendidikan berperanan membentuk peribadi dan akhlak remaja. Sistem pendidikan seharusnya mampu membentuk peribadi yang baik melalui pendekatan yang holistik dan praktikal, bukan hanya memaparkan pengajian moral dan sivik sebagai suatu subjek akademik dan teoretikal.

Begitu juga sistem pendidikan seharusnya berbentuk memahami, menghayati dan membudayai, lebih daripada bersifat mengingat dan menghafal. Tetapi inilah yang dilihat berlaku melalui sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, yang memaksa indoktrinasi segala maklumat daripada buku-buku teks yang tebal, dan pelajar kurang diberi ruang untuk menilai sendiri dan mengadaptasi maklumat yang diajarkan.

Kepincangan seterusnya dapat dilihat di dalam bidang media dan perhubungan. Demi melakukan jualan bahan-bahan bacaan (ataupun mungkin dengan agenda lain), kebanyakan media tempatan lebih memberikan prioriti terhadap isu-isu yang sensasi lebih daripada maklumat yang membina. Kerapkali bidang hiburan dan seni mendapat tempat yang eksklusif dan liputan yang meluas, berbanding dengan bidang ilmu, akademik dan agama.

Sebagai suatu saluran yang mendalam dan meluas capaiannya, pengusaha media sepatutnya merasakan mereka mempunyai tanggungjawab sosial untuk membentuk masyarakat yang baik, daripada bermotifkan melindungi kepentingan tertentu. Media cetak misalnya, seharusnya menghasilkan bahan ‘apa yang pembaca perlu baca’ lebih daripada ‘apa yang pembaca suka baca’.

Sebahagian daripada punca masalah akhlak remaja boleh diletakkan kepada prioriti yang salah dalam sistem politik dan ekonomi. Di sebalik pelbagai slogan dan inisiatif yang dilaungkan, apa yang nyata adalah insentif kerjaya adalah menyebelahi mereka yang unggul di dalam bidang politik dan ekonomi, berbanding untk mereka yang unggul di dalam bidang akademik dan agama. Hasilnya remaja mempunyai lebih motivasi untuk cemerlang di dalam politik dan ekonomi – kerana di sana letaknya imbuhan material yang lebih untuk mereka – sehingga ada di antara mereka yang mengenepikan integriti dan akhlak demi merealisasikan impian mereka.

Cara-cara Penyelesaian

Sebagaimana punca-punca masalah ini bukannya dipunyai oleh satu atau dua pihak, begitulah juga cara-cara penyelesaiannya perlu holistik dan menyeluruh. Tiada satu atau dua pihak sahaja yang bertanggungjawab tetapi ramai orang yang perlu sedar dan terlibat untuk menangani masalah akhlak remaja.

Yang paling utama adalah peranan ibubapa, dan ia harus dimulakan dengan mereka memberikan prioriti untuk pembentukan anak-anak lebih daripada prioriti-prioriti lain seperti ekonomi dan status keluarga. Ibubapa perlu menyedari bahawa mereka perlulah menjadi role-model yang paling unggul untuk anak-anak mereka, sebagaimana firman Allah Ta`ala (maksudnya):

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Al-Anfal 8:28)

Semua ibubapa hendaklah masing-masing sentiasa mempertingkat ilmu dan kemahiran pembinaan keluarga cemerlang, dan kaedah pendidikan di rumah juga perlulah juga bersifat menyeluruh. Abdullah Nasih al-`Ulwan mencadangkan lima bentuk kaedah pengikatan di dalam pendidikan anak-anak:

  1. Ikatan aqidah
  2. Ikatan kerohanian (ibadah khusus, nawafil, muraqabah)
  3. Ikatan pemikiran
  4. Ikatan kemasyarakatan (guru, sahabat)
  5. Ikatan riyadah

Seboleh-bolehnya perlulah disediakan suasana-suasana yang sesuai ke arah pembentukan keluarga cemerlang di rumah, seperti dengan membudaya dan melazimi aktiviti-aktiviti keilmuan, mewujudkan perpustakaan mini sebagai tempat rujukan dan pembelajaran, dan membenarkan hiburan hanya di dalam keadaan terkawal.

Ibubapa seharusnya juga memastikan bahawa hanya sumber rezeki yang halal untuk anak-anak mereka, dan menjauhi hasil pendapatan mereka daripada sumber-sumber haram dan shubhat. Kerana setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka buruklah ia dan api neraka sahaja yang layak baginya.

Orang manakah yang lebih mampu untuk mengubah diri remaja jika bukan remaja itu sendiri? Remaja seharusnya merenungi dan menghayati peranan diri serta tanggungjawab-tanggungjawab mereka. Mereka mempunyai tanggungjawab terhadap Allah, terhadap ibubapa dan keluarga, terhadap diri mereka sendiri, dan mereka tidak sepatutnya sekali-kali lari prioriti akan tanggungjawab mereka, sebagaimana yang pernah ditegur oleh Salman al-Farisi kepada sahabatnya Abu Darda’ apabila dia dilihat meninggalkan prioriti hidupnya yang lain.

Remaja seharusnya sentiasa mendalami agama kerana agama berfungsi sebagai pengawal untuk diri, kerana melalui agamalah segala batas-batas Allah diajarkan.

Semangat, keberanian dan tenaga yang ada di dalam diri remaja seharusnya disalurkan kepada pembinaan diri dan masyarakat. Dan di dalam mencari suasana yang baik untuk pembentukan diri mereka, remaja hendaklah memilih dan mencari teman-teman yang baik, dan menjauhi segala suasana yang boleh merosakkan diri dan pemikiran mereka.

Begitu juga para pendidik mempunyai tugas besar – profesyen guru atau pendidik bukan hanya laksana arahan untuk mendapatkan gaji, tetapi ia adalah tanggungjawab yang besar untuk membentuk generasi remaja.

Para pendidik perlu merenungi kata-kata `Uqbah bin Abi Sufyan ketika menyerahkan anaknya kepada seorang pendidik:

Sebelum memperbaiki anakku, hendaklah engkau memperbaiki dirimu sendiri, kerana matanya melihat kepadamu. Yang baik padanya adalah apa yang engkau pandang baik, dan yang buruk padanya adalah apa yang engkau pandang buruk. Ajarkanlah kepadanya perjalanan para ulama, dan akhlak para budiman. Ancamlah dia dengan diriku, dan didiklah mereka tanpa membanding diriku. Jadikanlah dia laksana seorang doktor yang tidak tergopoh-gapah memberikan ubat sebelum dia tahu penyakitnya…”

Dan seterusnya peranan juga perlu dimainkan oleh institusi pemerintah dan parti-parti politik. Mereka sepatutnya berhijrah dari polemik pemerintah-pembangkang kepada tumpuan untuk membina masyarakat dan remaja – yakni dengan bersepakat dan bekerja dengan parti-parti politik untuk suatu ‘common interest’ iaitu memperbaiki masyarakat.

Institusi-institusi yang sedia ada (seperti media, ulama’, Rumahku Syurgaku, kelab-kelab belia) sepatutnya diberi mandat dan kuasa (empowered) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti membina remaja, dengan belanjawan yang dipantau penggunaannya. Inilah seharusnya yang diberi keutamaan lebih daripada ke arah hiburan dan political interest. Sebagai contoh, pada tahun 2006 sahaja sebanyak RM 17.8 juta telah disalurkan ke arah memperbaiki persatuan-persatuan belia – ke arah mana segala wang dan usaha ini?

Kerajaan seharusnya membuat penilaian semula terhadap keberkesanan sistem pendidikan ke arah yanglebih efektif dalam membentuk, meraikan kebolehan berfikir manusia. Polemik politik hendaklah dijauhkan daripada institusi-institusi akademik kerana ia hanya menyekat kebebasan berfikir dan bersuara, yang sebenarnya lebih banyak memberi mudarat kepada remaja yang mahu suara mereka didengari.

Dan seterusnya kerajaan perlulah memberi insentif dan sokongan kepada institusi-institusi swasta dan NGO yang membantu merealisasikan agenda membentuk masyarakat.

Dan akhir sekali, institusi swasta dan NGO perlu mengubah pemikiran (‘mindset’) mereka daripada melakukan sesuatu berdasar pulangan ekonomi semata kepada melakukannya atas dasar rasa tanggungjawab sosial (‘corporate social responsibility’). Tiada pulangan yang lebih baik daripada membentuk seorang remaja yang cemerlang dan baik akhlaknya.

Penutup

Usaha memperbaiki akhlak remaja bukanlah suatu usaha jangka pendek yang boleh dilakukan oleh sesuatu individu khusus, tetapi ia adalah usaha berterusan yang memerlukan kesedaran dan tindakan semua pihak, daripada ibubapa, sekolah, institusi-institusi kerajaan dan bukan kerajaan, dan diri remaja itu sendiri. Gejala-gejala keruntuhan akhlak yang semakin meluas pada hari ini adalah sebahagian daripada simtom-simtom meninggalkan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Maka setiap orang dan pihak perlu melakukan tanggungjawabnya di dalam pembinaan akhlak remaja. Seseorang remaja perlu mencari persekitaran (yakni guru, rakan, kumpulan atau persatuan dan sebagainya) bagi memastikan dirinya mendapat pengaruh yang baik. Seseorang ibu atau bapa perlu menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pendidikan anak-anak remajanya di rumah. Seorang guru perlu menyediakan persekitaran di kelas yang menyokong peningkatan akhlak anak muridnya. Dan sesebuah kerajaan perlu menggerakkan institusi-institusinya ke arah menjana generasi remaja cemerlang yang bakal menggantikannya suatu hari nanti.

Rujukan

Abū `Urwah, Risalah Usrah 4: Wanita dan Kekeluargaan Dalam Islām, Focus Approach, 2004.

Abdullāh Nāsih Ulwān, Pendidikan Anak-anak Dalam Islām (terjemahan Bahasa Melayu Tarbiyyah al-Awlād fi al-Islām), terjemahan Syed Ahmad Semait, Pustaka Nasional (Singapura), 2002.

Khurshid Ahmad, Family Life in Islām, The Islāmic Foundation (UK), 1974.

Muhammad Akram bin Mohd Safian, Peranan Faktor Persekitaran Di Dalam Pembangunan Insan, kerja kursus untuk Kursus Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin (subjek Pembangunan Insan), UM, 2007.

Nasir al-Omar, The Ingredients for a Happy Marriage, terjemahan Inggeris oleh Mohammed Amin, Al-Firdous Ltd (UK), 1997.

Oxford University Press, The Concise Oxford Dictionary Eighth Edition, Oxford University Press (UK), 1990.

Suhaib Hasan, Raising Children in Islām, Al-Quran Society (London), 1998.

Yūsuf al-Qaradāwī, Fatwa Masa Kini Jilid 3 dan 4 (terjemahan Melayu Fatāwā Mu`āsirah), terjemahan oleh Rosmawati Ali, Siti Zubaidah Ismail, Pustaka Salam, 1995.

Yūsuf al-Qaradāwī, Fatwa Masa Kini Jilid 5 dan 6 (terjemahan Melayu Fatāwā Mu`āsirah), terjemahan oleh Zaidi Jamil, Engku Muhammad Tajudin, Norman, Pustaka Salam, 1995.

Wikipedia (halaman web di: http://en.wikipedia.org)

Nota Akhir

[1] Suhaib Hasan, p. 7.

One thought on “Keruntuhan Akhlak Remaja

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s