End of Fall 1999

[1]

Menemui ikhwah seperjuangan dan ikhwah seIslam, semoga kita dalam perlindungan. Sedikit pesanan untuk kita renungkan bersama, carilah kebenaran di dalamnya, keikhlasan kelak akan membuahkan keredhaanNya, insha Allah.

Janganlah mensyirikkan Allah, kerana tiada keampunan Allah dan balasan baik pada Hari Penentuan untuk dosa ini [1]. Ketahuilah bahawa mungkin shaitan telah gagal menyesatkan kita kepada syirik yang besar, tetapi lubang kepada syirik kecil dan tersembunyi masih besar untuk kita jatuh ke dalamnya. Janganlah menerima sebarang ilah (tuhan yang berhak disembah) melainkan Allah. Janganlah menerima sebarang sistem susunan hidup melainkan deen Allah. Janganlah takut kepada manusia atau sebarang ciptaan dalam menegakkan deen Allah, kerana semua itu adalah ciptaanNya al-Khaliq. Janganlah berbuat sesuatu atau menahan dari berbuat sesuatu, kerana sebab selain dari Allah. Janganlah melihat, mendengar, bertutur, memukul dan melangkah kerana ri`a al-nas [2], maka di manakah Allah? Janganlah lupa kepada reda dan syukur atas ni`matNya, reda dan sabar atas ujianNya.

Sertakanlah itqan [3] dan ihsan [4] dalam amalan. Dalam ibadah khususiah, lakukanlah sehampir mungkin kepada sunnah. Ibadah adalah untuk Allah. Di antara yang halal dan yang haram terdapat perkara-perkara shubuhat [5], dan orang yang lebih bertaqwa adalah yang menjauhi perkara-perkara ini. Janganlah sekali-kali mengutamakan nawafil kepada wajibat, kerana wajibat itu yang akan ditanya dahulu pada Hari Penentuan kelak.

Adalah menjadi kewajipan kita untuk menerima al-deen (cara hidup) Islam, kerana sesungguhnya al-deen itu seluruhnya adalah untuk Allah [6]. Menerima Islam bukan hanya punya keluarga Islam, punya nama Islam dan melakukan ibadah khusus, malah tuntutannya jauh lebih luas dari ini. Pelajari dan amalkanlah tuntutan-tuntutan ini, ketahuilah perkara yang membezakan antara seorang Muslim dan seorang yang bukan. Nabi Muhammad (s) adalah Utusan Allah terakhir, dan kita adalah penyambung risalah. Kita tiada pilihan untuk menerima tanggungjawab ini atau tidak. Zahirnya ini adalah suatu tijarah [7], tetapi kalau kita tahu natijah jualbeli ini kita tiada pilihan selain menerimanya. Kita perlu sambung perjuangan al-Rasul (s), kita perlu pikul tanggungjawabnya. Dan tanggungjawab ini adalah untuk menyebarkan kalimah ‘Laa ilaaha illa Allah'[8].

Fahamilah hikmah [9]. Da`wah perlu kepada pengetahuan mengenai Islam, mengenai waqi` (suasana) dan mengenai manhaj (metodologi) da`wah. Shakhsiah dan ilmu seorang al-akh mujahid perlu pada sistem pentarbiyyahan yang lengkap, dan usrah melengkapkan sistem ini. Usrah bukan semata-mata liqa` sosial, bukan semata-mata perbincangan ilmiah, tetapi juga pengikat ukhuwwah. Juga pemelihara iman. Juga muhasabah amal. Janganlah sekali-kali  perkecil-kecilkan kepentingan usrah. Hidupkanlah semula madrasah tarbiyyah Rasulullah (s), lahirkanlah semula jil al-Qur’ani, generasi pendokong da`wah yang semakin diperlukan saat ini.

Fahamilah waqi`. Da`wah memerlukan kepada penyusunan, strategi dan organisasi. Fitnah akan menimpa dengan izin Allah kalau Muslim tidak membantu antara satu sama lain [10]. Musuh Islam bersama dalam memusuhi kita, kenapa kita tidak bersama dalam keadaan ini? Maka ketika ini da`wah perlukan jama`ah. Jama`ah dari golongan muslimin yang bermujahadah untuk memenangkan deen Allah atas sistem-sistem yang lainnya. Jama`ah untuk menegakkan daulah. Jama`ah untuk berpayung di bawahnya sementara menantikan kehadiran khilafah Islamiyyah.

Jauhkanlah dari perbalahan dan pertengkaran. Janganlah menghabiskan tenaga membeza-bezakan jama`ah ini dengan jama`ah-jama`ah yang lain, menganggap jama`ahnya sahaja yang sempurna dan benar, dan jangan sekali-kali memperkecil-kecilkan usaha mereka yang lain [11]. Biarkanlah kejahilan walaupun ia menyakiti hati kita, jangan terikut-ikut dalam mujadalah yang merugikan. Kerana jama`ah Islamiyyah punya prinsip yang tidak akan sekali-kali berubah, yakni bekerja di atas dasar ukhuwwah menuju wahdatul ummah. Ummah ini adalah ummah yang satu, bersatu di bawah suatu kalimah aqidah, bersatu sebagai firqah al-najiah al-mansurah (golongan yang berjaya dan mendapat pertolongan). Kalau ummah berpecah di dalam bagaimana kan dapat bersatu menghadapi yang di luar?

Ikhwah seperjuangan,

Kita punya kelemahan dan kekangan. Tanggungjawab kita punya bahagian terhadap yang lain – terhadap ibu bapa kita, terhadap isteri dan anak-anak kita, terhadap akademik dan kerja kita, terhadap jiran dan masyarakat kita, terhadap jagaan, rakan dan atasan kita. Da`wah tidak menuntut kita untuk meninggalkan semua ini, malah semua ini adalah da`wah. Lakukanlah semampu kita, takutlah kepada Allah semampu kita [12]. Apa yang akan dipersoalkan di hadapanNya kelak adalah usaha kita, bukan natijah.

Ikhwah yang ana kasihi,

Kita akan mati. Yang memutuskan segala apa yang kita kejarkan di dunia. Kita akan mati. Jika ada sesuatu yang kita ingin capai ketika hidup ini, maka lakukanlah ia sebelum saat ini tiba. Kita akan mati. HikmahNya al-Hakim al-`Alim yang merahsiakan saat ini dari kita sebagai satu daripada mafatih al-ghaib [13]. Maka kalau ada yang kita ingin lakukan sebelum saat ini, maka lakukanlah ia sekarang.

Kita akan mati.

Dan kita punya pilihan. Samaada mati di dalam kejahilan atau keengganan untuk menurut tuntutan-tuntutan deenNya, lantas disertakan sebagai golongan khasirin. Ataupun mati di dalam keadaan sentiasa mengangkat kalimahNya, menjaga hududNya dan mengimaniNya. Lantas disertakan sebagai golongan muflihin.

Ikhwah,

Ambillah pengajaran di mana boleh. Dan peringatilah sesama kita di dalam suasana ukhuwwah jika kita terlupa atau terlalai. Bermujahadahlah wahai ikhwah, insha Allah, mati atau hidup kita di atas jalan ini, kedua-duanya membawa keuntungan. Inilah hasil keuntungan menerima tijarah Allah.

Muhammad Akram  (Ramadan 1419)

[1] al-An`am:22, al-Nisa’:48
[2] al-Anfal:47
[3] Sabda Rasulullah (s): “Sesungguhnya Allah menyukai seseorang dari kamu yang melakukan sesuatu kerja dengan memperelokkan (itqan) kerjanya” [Muslim]
[4] Sabda Rasulullah (s): “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan atas setiap sesuatu…” [Muslim]
[5] Sabda Rasulullah (s): “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan sesungguhnya yang haram itu jelas, dan di antara keduanya adalah perkara-perkara mushtabihat (kesamaran)…” [Al-Bukhari, Muslim]
[6] al-Anfal:39  [7] al-Taubah:111, al-Saff:10
[8] Sabda Rasulullah (s): “Aku telah diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka berkata ‘Laa ilaaha illa Allah’ ” [Al-Bukhari]
[9] al-Nahl:125
[10] al-Anfal:73
[11] Mustafa Masyhur, ‘Jama`ah Islam Qudwah’, Al-Qudwah `Ala Tariq Al-Da`wah
[12] al-Taghabun:16
[13] al-An`am:59

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s