Tiada Paksaan Dalam Agama: Satu Huraian Al-Qur’an

Tiada Paksaan Dalam Agama: Satu Huraian Al-Qur’an

Tiada paksaan dalam agama’ adalah satu bahagian daripada ayat al-Qur’an di dalam Surah Al-Baqarah, yakni ayat ke-256. Ia sering diungkapkan dalam kata-kata dan hasil-hasil penulisan, yang sebahagiannya mempunyai dimaksudkan dalam konteks yang berbeza daripada yang lain. Kajian ringkas ini ingin melihat huraian ungkapan ini menurut kacamata beberapa karya tafsir Al-Qur’an, daripada kategori klasikal mahupun kontemporari.

Pendahuluan: Antara Pelbagai Tafsiran

Kegagalan dalam memahami penafsiran sebenar ayat Al-Qur’an kerap melahirkan beberapa tanggapan dan pemikiran yang salah di dalam minda ramai orang, apatah lagi apabila ia disampaikan melalui penulisan-penulisan, sesi-sesi pembelajaran, media sebaran umum dan seumpamanya. Dalam keadaan kebanyakan orang Islam mengakui autoritatif dan sahihnya Al-Qur’an, dan semakin ramai antara mereka yang inginkan suatu pengembalian kepada Al-Qur’an (dan Al-Sunnah), sebarang ungkapan yang berkait dengan Al-Qur’an dianggap benar dan putus. Sedangkan ia mungkin tidak menepati penafsiran ayat yang muktabar.

Kerapkali ayat Al-Qur’an diambil maksudnya dalam skop yang sempit, sedangkan maksudnya adalah lain dalam skop yang lebih luas. Oleh itu sebarang pemahaman Al-Qur’an hendaklah diambil dalam konteks yang lebih bersepadu dan bukan berpisahan[1].

Begitu juga dengan ayat 256 surah Al-Baqarah ini, ia tidak lari daripada pelbagai tafsiran. Adakah ia bermaksud, tiada paksaan untuk seseorang memeluk Islam? Adakah ia bermaksud, tiada paksaan untuk seorang Muslim melaksanakan tuntutan-tuntutan ke atasnya oleh agama Islam? Adakah ini memungkinkan, bahawa pihak yang berkuasa (atau kerajaan) tidak boleh mengenakan penguatkuasaan sesuatu hukum, undang-undang atau enakmen Islam ke atas seorang rakyat Islam, berdasarkan ayat ini?

Adalah menjadi objektif kajian ini untuk melihat tafsiran kepada ungkapan ‘tiada paksaan dalam agama’ menurut karya-karya tafsir muktabar dan masyhur. Karya-karya yang dikaji mempunyai metodologi tafsir serta latarbelakang sejarah penulisan yang berbeza sengaja dipilih sebagai perbandingan, baik daripada sudut maksud tafsiran mahupun pendekatan.

Sampel Tafsir Al-Qur’an

Sebanyak empat karya tafsir telah dijadikan rujukan utama untuk kajian ini:

1. Tafsir al-Qur’an al-`Adhim oleh Ibnu Kathir

Tafsir ini merupakan tafsir daripada kategori tafsir bi al-ma’thur. Dikarang oleh Al-Hafiz Isma`il bin `Amr bin Kathir (m. 774 H) – atau Ibnu Kathir – ia adalah antara karya tafsir klasikal yang paling masyhur dan kerap dijadikan rujukan. Rujukan yang digunakan adalah versi mukhtasar yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu bertajuk ‘Ringkasan Tafsir Ibnu Katsier’ (Mukhtasar Ibnu Kathir).

2. Tafsir al-Jalalayn oleh Jalal al-Din al-Mahalli dan Jalal al-Din al-Suyuti

Tafsir al-Jalalain dikategorikan sebagai kategori tafsir bi al-ra’y[2] [3]. Tafsir ini dikarang sebahagiannya oleh al-Imam Jalal al-Din al-Mahalli (m. 864 H) dan dilengkapkan oleh al-Imam Jalal al-Din al-Suyuti (m. 910 H). Versi yang digunakan adalah terjemahan Bahasa Melayu.

3. Fi Zilal al-Qur’an oleh Sayyid Qutb

Tafsir Fi Zilal merupakan antara tafsir yang banyak mempengaruhi golongan-golongan muda Islam akhir-akhir ini terutamanya yang terlibat di dalam gerakan Islam. Ditulis oleh Sayyid Qutb  (m. 1386 H) ia mempersembahkan suatu tafsir al-Qur’an yang kontemporari pendekatannya dan pada masa yang sama menekankan tajuk penegakan Islam di dalam individu mahupun di dalam masyarakat. Terjemahan Bahasa Melayu terbitan Pustaka Aman digunakan untuk kajian ini.

4. Tafhim al-Qur’an oleh Abu al-A`la Mawdudi

Seperti Fi Zilal, Tafhim al-Qur’an dianggap antara tafsir al-Qur’an kontemporari abad ke-20 yang terkemuka[4]. Ia adalah karya pemikir dan arkitek gerakan Islam di benua Indo-Pakistan abad ke-20, Sayyid Abu al-A`la Mawdudi  (m. 1400 H). Tafhim al-Qur’an asalnya diterbitkan di dalam Bahasa Urdu di dalam jurnal Tarjuman al-Qur’an, sebahagian daripada karya ini telah diterjemah ke Bahasa Inggeris (yang menjadi rujukan kajian ini).

Ayat al-Baqarah 2: 256

Tiada paksaan dalam agama’ adalah sebahagian daripada ayat ke-256 surah al-Baqarah:

Tidak ada paksaan dalam agama, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dan kesesatan. Oleh itu sesiapa yang tidak percayakan taghut dan ia pula beriman kpeada Allah maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan yang teguh, yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [al-Baqarah 2: 256][5]

‘Tiada Paksaan Dalam Agama’: Menurut Karya Tafsir

1. Tafsir Ibnu Kathir

Ibnu Kathir mentafsirkan ayat 256 surah al-Baqarah ini sebagai suatu arahan daripada Allah kepada umat Islam tidak memaksa sesiapa pun untuk memeluk Islam. Ini adalah kerana agama Islam telah jelas akan ajaran dan bukti ajarannya, jadi ia perlu dibukakan kepada umat manusia dengan kerelaan hati dan bukan paksaan. Maka orang yang mendapat hidayah akan dibukakan hatinya untuk menerima Islam, dan sebaliknya orang yang ditutup hati, mata dan pendengaran tidak akan menerima Islam walaupun bukti kebenarannya telah nyata[6].

Seterusnya Al-Hafiz menyebut beberapa riwayat yang boleh dijadikan asbab al-nuzul kepada ayat ini. Suatu riwayat daripada Ibnu `Abbas (r) menyebut tentang keadaan wanita yang bernazar untuk menjadikan anaknya Yahudi kerana selalu kematian anak ketika kelahiran. Kemudiannya apabila Yahudi Bani Nadir diusir daripada Madinah, di kalangan mereka terdapat anak-anak dari kalangan sahabat Ansar, dan ayahnya berkata bahawa dia tidak akan melepaskan anaknya untuk mengikuti Yahudi. Dan seterusnya turunlah ayat ini. Athar ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Nasa’i.

Dalam riwayat lain yang juga diceritakan oleh Ibnu `Abbas (r), ayat ini diturunkan setelah seorang sahabat bernama Husain, cuba memaksa anak-anaknya memeluk Islam sedangkan mereka adalah Nasrani. Kisah ini diriwayatkan oleh oleh Ibnu Jarir dan Al-Suddi. Disebut juga di dalam tafsir Ibnu Kathir berkenaan kisah Asbaq yang pernah diajak kepada Islam oleh Umar (r), dan ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim.

Dinukilkan oleh Ibnu Kathir juga pandangan ulama yang menyebut bahawa ayat ini telah dinasakhkan oleh hukum pembayaran cukai oleh orang-orang bukan Islam. Manakala satu pandangan yang lain pula menyebut akan nasakh[7] ke atas ayat ini oleh ayat yang mewajibkan perang, seperti al-Taubah 7: 73[8] dan al-Taubah: 123[9].

2. Tafsir al-Jalalayn

Tafsir Jalalain dengan ringkas turut menafsirkan ‘Tiada paksaan dalam agama’ sebagai tiada paksaan untuk memasuki agama Islam. Bahagian seterus ayat ini (‘Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat.’) ditafsirkan sebagai ‘keimanan itu kebenaran dan kekafiran itu kesesatan’. Seterusnya dikaitkan penurunan ayat ini dengan kisah Ansar yang ingin memaksa anak-anaknya untuk memeluk Islam[10].

Pada bahagian ‘Asbabun Nuzul’ surah al-Baqarah tafsir ini disebut kedua-dua athar riwayat Ibnu `Abbas (r) yang sama yang telah disebutkan di dalam tafsir Ibnu Kathir.

3. Fi Zilal al-Qur’an

Di dalam Fi Zilal al-Qur’an Sayyid Qutb menghuraikan keadaan semulajadi persoalan `aqidah yang berupa keyakinan setelah mendapat penerangan dan pemahaman, bukannya dengan paksaan. Agama Islam meraikan penggunaan akal dan perasaan, yang mana bersama sifat-sifat fizikal melengkapi seorang manusia. Ini berbeza dengan agama lain seperti Kristian yang pernah menggunakan kekerasan untuk agama[11].

Kebebasan berfikir dan membuat keputusan oleh manusia dibahaskan oleh Sayyid Qutb sebagai bentuk kebebasan yang paling besar, dan dianggap olehnya sebagai suatu yang tertindas di abad ke-20. Ia dicontohkan dengan keadaan manusia yang dipaksa menganut suatu sistem hidup ciptaan manusia dan dihalang daripada menganut sistem Allah. Islam berbeza dengan cara ini kerana menghormati kebebasan i`tiqad sebagai hak pertama manusia yang memberinya sifat insaniyah.

Sayyid Qutb turut memberikan analisa kepada ungkapan penafian di dalam ayat ini daripada segi bahasa, dan mengatakan ia berbentuk penafian yang mutlak. Maka ayat ini bermaksud Islam menolak dan melarang segala bentuk paksaan dari awal-awal lagi. Larangan ini adalah lebih dalam maksudnya dan kuat kesannya daripada sekadar menahan daripada paksaan[12].

4. Tafhim al-Qur’an

Perkataan “al-Din” di dalam ayat 256 surah al-Baqarah ini ditafsirkan oleh Mawdudi sebagai kepercayaan kepada Allah dan sifat-sifatnya sebagaimana yang diceritakan di dalam ayat sebelumnya, iaitu ayat 255 (dikenali sebagai Ayat al-Kursi)[13] dan seluruh sistem kehidupan yang berdasarkan kepadanya. Manakala “Tiada paksaan di dalam agama” bermaksud penerimaan keseluruhan sistem Islam ini – yang mencakupi kepercayaan, akhlak dan pembawaan praktikal –dan ia tidak dapat dipaksakan penerimaannya ke atas seseorang[14].

Penerangan ini dihuraikan lagi oleh Mawdudi dalam menafsirkan Al-An`am: 35[15] dan Yunus 10:99[16]. Bukanlah Allah mengkehendaki agamaNya ini dipaksakan ke atas sekalian umat manusia (walaupun Dia mampu jika Dia mengingininya), tapi sebaliknya kebenaran ini dikehendakiNya untuk ditunjukkan kepada mereka. Jika Allah mengkehendaki penerimaan melalui paksaan ke atas umat manusia sudah tentu tiada perlunya perutusan para rasul. Tetapi sebaliknya, berdasarkan penyampaian kebenaran ini oleh para Rasul dan orang-orang Islam lain, berserta bukti-bukti dan hujah-hujah yang menyokongnya, manusia lainnya sepatutnya mengenali kebenaran itu dan menerimanya sebagai kepercayaan dan agama mereka atas kerelaan mereka sendiri. Konsep penerimaan Islam menurut kerelaan sendiri ini menepati hikmah kejadian manusia yang dilengkapi akal dan pilihan[17].

Tiada Paksaan Dalam Agama: Perbandingan Tafsir Dalam Maksud dan Metodologi

Terdapat persetujuan di dalam keempat-empat tafsir berkenaan maksud ‘Tiada paksaan dalam agama’, yakni ia adalah berkaitan dengan kemasukan manusia kepada agama Islam. Tafsir Ibnu Kathir, Fi Zilal dan Tafhim al-Qur’an menghuraikan dengan jelas kaitan pecahan ayat ‘Tiada paksaan dalam agama’ dengan bahagian ayat seterusnya ‘Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat’, yakni apabila telah dijelaskan dan dibuktikan kebenaran Islam itu kepada manusia maka ia tidak perlu kepada paksaan. Tafsir Fi Zilal menghuraikan lebih lanjut tentang sifat Islam yang menghormati institusi akal dan fikiran dalam diri manusia, dan meletakkan penekanan yang lebih dalam aspek penafian di dalam ayat ini.

Terhadap ayat 256 daripada surah al-Baqarah ini, keempat-empat tafsir menggunakan pendekatan yang agak berbeza. Tafsir Ibnu Kathir – sesuai dengan kedudukannya sebagai antara karya tafsir bi al-ma’thur yang masyhur – mengaitkan ayat ini dengan beberapa athar sahabat, yang juga menurut Ibnu Kathir menjadi asbab al-nuzul kepada ayat ini. Dinukilkan juga olehnya beberapa pandangan ulama yang mencadangkan berlakunya nasakh ke atas ayat ini oleh ayat yang lain. Tafsir Jalalain, walaupun diklasifikasikan sebagai tafsir bi al-ra’y, tidak memberikan penjelasan yang panjang lebar kepada ayat ini, memadai dengan tafsiran yang ringkas dan nukilan athar Ibnu `Abbas sebagai asbab al-nuzul.

Fi Zilal al-Qur’an dan Tafhim al-Qur’an mempunyai kelainan daripada segi pendekatan, walaupun selari daripada segi makna. Sayyid Qutb dan Mawdudi memberikan pandangan mereka di dalam tafsir masing-masing tanpa menyebut ayat al-Qur’an atau hadith yang berkaitan. Melihatkan latarbelakang yang sama bagi kedua-dua tokoh ilmu ini daripada segi zaman kehidupan dan penglibatan kedua-duanya di dalam gerakan Islam[18], mungkin boleh diandaikan mereka lebih menyukai memberikan tafsir menurut pemahaman mereka yang menyeluruh terhadap nas agama dan realiti semasa, manakala mengurangkan penyalinan semula dalil-dalil al-Qur’an dan al-Hadith di dalam karya mereka.

Penutup

Huraian mengenai ‘Tiada paksaan dalam agama’ di dalam ayat 256 surah al-Baqarah menurut karya-karya tafsir yang dirujuk di dalam kajian ini tidak berbeza daripada segi maksud, walaupun mempunyai pendekatan atau metodologi yang berbeza. Kesemuanya memberikan maksud tiada paksaan dalam pengajakan manusia kepada agama Islam, kerana sifat agama Islam itu menghormati kedudukan penggunaan akal dan penerimaan oleh hati di dalam diri manusia. Apa yang menjadi tugas al-Rasul (s) dan orang-orang beriman adalah untuk menyebarkan kebenaran Islam kepada orang lain, membantu mereka menggarap kebenaran agama Allah berserta bukti-buktinya, dan seterusnya adalah terpulang kepada Allah untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya[19].

Rujukan

`Abdul `Azeez ibn `Abdullaah ibn Baaz, Words of Advice Regarding Da`wah, traslation by Bint Feroz Deen & Bin `Abd al-Ghafoor, Al-Hidaayah Publishing and Distribution, 1998.

Abu Ameenah Bilal Philips, Usool al-Tafseer (The Methodology of Qur’aanic Explanation), Dar Al Fatah, 1997.

Ahmad von Denffer, `Ulum al-Qur’an: An Introduction to The Sciences of The Qur’an, The Islamic Foundation, 1994.

Ibnu Kathir, Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir, terjemahan oleh H. Salim Bahreisy & H. Said Bahreisy, Jilid 1, PT Bina Ilmu, 2002.

Jalaluddin al-Mahalli & Jalaluddin al-Suyuti, Tafsir Jalalain, terjemahan oleh Bahrun Abu Bakar, Jilid 1, Sinar Baru Algensindo, 2003.

Muhammad al-Ghazali, Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Qur’an (terjemahan Bahasa Malaysia Kayfa Nata`amalu Ma`a al-Qur’an), terjemahan oleh Muhammad Rivai Batubara, Angkatan Belia Islam Malaysia, 1994.

Muhammad al-Ghazali, Journey Through The Qur’an (English version of Al-Tafsir Al-Maudu`i li Suwar Al-Qur’an Al-Karim), translation by Aisha Bewley, Dar Al-Taqwa, 1998.

Sayyid Abu al-A`la Mawdudi, Towards Understanding The Qur’an (English version of Tafhim Al-Qur’an), Vol. I, The Islamic Foundation, 1988.

Sayyid Abu al-A`la Mawdudi, Towards Understanding The Qur’an (English version of Tafhim Al-Qur’an), Vol. II, The Islamic Foundation, 1992.

Sayyid Abu al-A`la Mawdudi, Towards Understanding The Qur’an (English version of Tafhim Al-Qur’an), Vol. IV, The Islamic Foundation, 1993.

Sayyid Qutb, Fi Zilal Al-Qur’an, terjemahan oleh Yusoff Zaky Haji Yacob, Jilid 2, Pustaka Aman Press, 2000.
Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an, terjemahan oleh Sheikh Abdullah Basmaih, Darulfikir, 2001.

    Nota Akhir

    [1] Muhammad Al-Ghazali, Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Qur’an p. 80

    [2] Ahmad Von Denffer p. 137

    [3] Abu Ameenah Bilal Philips pp. 66-67

    [4] Ahmad von Denffer p. 138

    [5] Terjemahan daripada ‘Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an’

    [6] Ibnu Kathir p. 504

    [7] Ibnu Kathir pp. 505-506

    [8] “Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka..” [al-Taubah 9: 73]

    [9] “Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu, dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan yang ada pada kamu.” [al-Taubah 9: 123]

    [10] Jalaluddin Al-Mahalli & Jalaluddin Al-Suyuti, p. 141

    [11] Sayyid Qutb, p. 70

    [12] Sayyid Qutb, p. 71

    [13] “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekelian makhlukNya. Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu melainkan apa yang Allah kehendaki. Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi, dan tidaklah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.” [al-Baqarah 2: 255]

    [14] Sayyid Abu al-A`la Mawdudi Vol I p. 199

    [15] “Dan sekiranya Allah mengkehendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk..” [Al-An`am 6: 35]

    [16] “Dan jika Tuhan mengkehendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi.” [Yunus 10: 99]

    [17] Sayyid Abu al-A`la Mawdudi Vol II pp 228-229, Mawdudi Vol IV pp. 68-69

    [18] Sayyid Qutb bergiat dengan gerakan Ikhwan al-Muslimin manakala Mawdudi adalah pengasas Jama`at-i-Islami.

    [19] `Abdul `Azeez ibn `Abdullaah ibn Baaz p. 111

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s