Sinopsis Buku: ‘Capitalism, Socialism and Islam’

Sinopsis Buku: ‘Capitalism, Socialism and Islam’

Pendahuluan

Sistem ekonomi dunia pada hari ini telah diketahui ramai berasas kepada Kapitalisma dan prinsip-prinsipnya. Keadaan semasa menceritakan bahawa keadaan ekonomi dunia kini penuh dengan masalahnya, maka mereka yang kritis akan menuding jari kepada asas sistem ini yakni Kapitalisma sebagai penyebab kepada masalah ini. Dan sejarah dunia juga telah menyaksikan kebangkitan suatu ideologi ekonomi (dan politik) yang lain yang dikenali sebagai Sosialisma, tetapi malangnya ia juga tidak sepi daripada keburukan-keburukannya yang tersendiri. Maka masyarakat manusia sebenarnya berada di dalam suatu pencarian yang tidak sudah, lari daripada suatu masalah yang mereka sendiri lahirkan kepada suatu jalan penyelesaian yang membawa kepada suatu masalah yang lebih besar.

Sebenarnya pertembungan antara ideologi Kapitalisma dan Sosialisma mempunyai rentetan sejarah yang tersendiri, dan tidak banyak karya yang menceritakan hal ini melalui suatu pendekatan yang ringkas tetapi padat, adil dan objektif. Dan karya yang ingin dijadikan bahan kajian di sini adalah hasil tulisan Sayyid Abul A`la Mawdudi bertajuk ‘Capitalism, Socialism and Islam’[i]. Di samping menceritakan sejarah perkembangan dua ideologi yang sedang dominan hari ini, ia juga menceritakan penyelesaian kepada pertembungan yang tidak sudah ini, dan penyelesaian ini sudah tentu adalah Islam.

Sinopsis ‘Capitalism, Socialism and Islam’

Capitalism, Socialism and IslamTajuk: Capitalism, Socialism and Islam
Penulis: Sayyid Abul A`la Mawdudi
Penterjemah: Sharif Ahmad Khan
Penerbit: Islamic Book Publishers, Kuwait
Tahun terbit: 1987 (edisi kedua)
Bilangan mukasurat: 82

Biodata Penulis

Sayyid Abul A`la Mawdudi dilahirkan pada tahun 1903, merupakan antara tokoh pemikir dan arkitek kebangkitan Islam di benua Indo-Pakistan terkemuka abad ke-20. Beliau menghabiskan usianya berda`wah dan menghuraikan ajaran Islam sebenar, mempelopori gerakan Islam dengan tujuan untuk memuliakan Islam di atas muka bumi. Beliau mengasaskan gerakannya yang dipanggil Jama`ati Islami (yang masih aktif sehingga ke hari ini) pada 1941, dan terpaksa menghadapi banyak ujian demi menegakkan prinsipnya, termasuk dipenjarakan empat kali dan dijatuhkan hukuman mati (hukuman ini kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup). Beliau meninggal dunia pada tahun 1979.

Sayyid Mawdudi banyak menghasilkan karya bertulis di samping menyampaikan Islam melalui ceramah umum dan media radio. Banyak karya dan ceramah beliau telah diterjemahkan dan diterbitkan di dalam pelbagai bahasa, termasuk tafsir Islam kontemporari ‘Tafhim al-Qur’an’, ‘Khutubat’ (diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris sebagai ‘Let Us Be Muslims’), ‘Risalah Diniyat’ (‘Towards Understanding Islam’) dan ‘Fundamentals of Islam’.

Sinopsis dan Ulasan

Kapitalisma[ii]

Bahagian pertama buku ini menceritakan tentang perkembangan Kapitalisma daripada segi sejarah, prinsip-prinsipnya, kebaikan dan keburukannya, dan seterusnya tindakbalas kepadanya yang melahirkan ideologi Sosialisma.

Latarbelakang

Mawdudi menceritakan latarbelakang sejarah kembali ke kurun ke-5 Masihi, apabila Empayar Roman Barat berpecah kepada jajahan-jajahan kecil (feudalisma) yang mempunyai ciri-ciri yang berikut:

  • Pemilik jajahan / tanah (dan keturunannya) adalah pemerintah, sementara yang lain-lain adalah golongan pekerja, petani.
  • Kepura-puraan Gereja Kristian: Gereja Kristian tidak merujuk pada sumber wahyu yang asal, sebaliknya unsur-unsur yang dibawa oleh institusi feudal (sebagai contoh falsafah, sosiologi, politik, ekonomi) dimasukkan sebagai ajaran gereja, lalu dianggap ‘divine‘ atau bersumber wahyu. Orang lain tidak boleh pertikaikan ajaran gereja, perbuatan yang dianggap berdosa besar.
  • Industri yang setempat, kurangnya struktur dan keselamatan perhubungan menyebabkan pembangunan hanya tertumpu pada kawasan.
  • Industri keusahawanan jadi ‘specialised‘ dan ‘departmentalised‘, yakni masing-masing hanya tertumpu dengan kerja masing-masing, dan tiada perpindahan keluar-masuk. Penghasilan ikut keperluan semasa, tiada ‘pooling of resource’ atau pengumpulan sumber tenaga.

Renaissance dan Liberalisma

Kemasukan Islam dan gerakan Crusades telah membawa budaya ilmu ke Eropah, bermula di Spain dan Sicily. Kemasukan idea-idea dari luar terus membangunkan Eropah, terutamanya dalam bidang fiziks, perubatan, matematik, kejuruteraan dan teknologi percetakan. Geografi lain mula diteroka dan berlaku pertukaran barang-barang dagangan. Pusat-pusat perdagangan bertukar daripada estet Feudal ke bandar-bandar tamadun. Pembangunan meningkat dengan meningkatnya aktiviti-aktiviti industri. Segala aktiviti perdagangan, perbankan, import-eksport, semuanya diterajui oleh golongan yang dikenali sebagai Bourgeoisie[iii].

Ketika ini kemajuan pemikiran, ideologi, moral, agama, sosial, politik, ekonomi masih lagi dikekang oleh gereja dan kuasa feudal. Dalam kurun ke-16 apabila entiti-entiti feudal bergabung menjadi negara-negara, pemerintah menjadi lebih berkuasa dan mula mahukan kebebasan daripada pengaruh Gereja Catholic, maka timbullah Gereja Protestant yang dikawal oleh pemerintah.

Di sinilah di mana kebangkitan Liberalisma Kurun Pertengahan berlaku, pada suatu sudut adalah gereja dengan ajaran, dogma dan kelebihan tanpa asas bawah nama ketuhanan, manakala di sudut yang lain adalah golongan Liberalisma yang menuntut kebebasan hak dan pemikiran. Di sinilah berlakunya perceraian antara Politik dan Moral. Faedah (‘interest‘) yang asalnya tidak dibolehkan, bertukar menjadi dibolehkan, dan seterusnya dianggap sebagai satu keperluan.

Revolusi Perindustrian kurun ke-18 menyaksikan penciptaan mesin-mesin yang meningkatkan keupayaan industri, pertanian dan komunikasi. Di sinilah berkembangnya pengaruh Kapitalisma – kilang-kilang dan syarikat-syarikat besar semakin berkuasa, sedangkan industri-industri kecil, ‘craftsmen’, usahawan-usahawan runcit tidak dapat hidup mewah kerana kebanyakan keuntungan diambil oleh golongan Kapitalis atau Bourgeoisie. Yang kaya bertambah kaya, hanya kuasa pemerintah yang mengawal gereja yang menghadkan perkembangan golongan ini.

Liberalisma Moden

Golongan Kapitalisma beranggapan tidak sepatutnya ada yang boleh halang mereka, baik pihak Gereja mahupun pemerintah, mereka mahukan kebebasan budaya, ekonomi, dan tiada ikatan moral atau agama. Pada pandangan mereka golongan pemerintah tidak harus mencampuri hak mereka, sebaliknya hanya bertanggungjawab melindungi hak-hak peribadi mereka daripada dicerobohi. Menurut mereka apabila tiada sekatan dalam bidang ekonomi, hasil pengeluaran dan kekayaan akan meningkat.

Golongan Liberalis ini juga menuntut agar politik pula tidak sepatutnya menjadi hak atau keistimewaan orang-orang atau keturunan tertentu, tetapi sebaliknya mereka berhak memilih dan menukar kerajaan.

Prinsip Asas Kapitalisma

1. Hak pemilikan peribadi. Kategori pertama adalah harta-harta keperluan hidup seperti rumah, barang-barang keperluan, binatang ternakan dan hasil pertanian. Kategori kedua adalah alat-alat yang menghasilkan barang-barang keperluan, seperti mesin-mesin dan kilang-kilang. Kapitalisma mahukan hak individu terhadap pemilikan kedua-dua kategori ini.

2. Hak usaha tidak terhalang. Setiap individu sepatutnya ada kebebasan terhadap harta mereka dan apa yang mereka ingin lakukan terhadapnya, termasuk mencari keuntungan daripadanya. Untung-rugi sepatutnya juga hak sendiri dan tiada sekatan pada pengeluaran, memberi maksud mereka boleh meletak harga ikut pandangan mereka.

3. Untung adalah penggerak kerja. Garis akhir adalah keuntungan, lebih tinggi adalah lebih baik. Dan keuntungan diperoleh dengan utilisasi semua bahan mentah dan alat.

4. Saingan adalah baik untuk perniagaan. Menurut pro-Kapitalisma inilah ‘check-and-balance‘ Kapitalisma yang memastikan tiada monopoli oleh golongan tertentu. Apabila ada saingan, ada had semulajadi pada harga dan keuntungan.

5. Diskriminasi majikan dan pekerja. Majikan mempunyai hak mutlak untung-rugi. Tugas pekerja hanya bekerja dengan gaji tetapi tidak mencampuri urusan untung-rugi.

6. Mempercayai ‘natural cause of progress’. Pengeluaran dapat ditambah dan kos dapat dikurangkan dengan usaha ‘mass production‘ dalam suatu oranganisasi yang menggunakan keupayaan individu, menghasilkan lebih banyak keuntungan.

7. ‘Non-intervention of state‘ – tiada campurtangan atau kekangan pemerintah[iv].

Keburukan Kapitalisma

Walaupun menurut Mawdudi ada kebenaran dalam Kapitalisma, keburukannya juga dapat dilihat dalam beberapa segi:

1. ‘Natural cause‘ adalah sesuatu yang digembar-gemburkan. Sebenarnya kepentingan diri mereka bukanlah untuk kebaikan umum, tetapi sebaliknya golongan Bourgoisie ini bersatu ‘menentang’ orang awam yang membeli, golongan yang makan gaji dan pemerintah.

2. Pengenalan mesin melalui Revolusi Industri telah menyebabkan ramai pekerja dan ‘craftsmen‘ hilang mata pencarian.

3. Tiada ‘bargaining power‘ untuk pekerja, menyebabkan ramai yang bekerja pada gaji yang rendah dengan kerja yang teruk, waktu bekerja yang panjang dan keadaan kehidupan yang sengsara. Kapitalisma moden hanya membawa kemiskinan, baik kepada yang bekerja apatah lagi kepada yang tidak. Kesan negatifnya kepada masyarakat lebih luas meliputi kesihatan, moral dan mentaliti.

4. Hak keputusan hanya pada syarikat, yang berhak menutup kilang bila mahu. ‘Hak individu’ yang dilaung-laungkan hanya dilihat di sudut diri mereka sahaja, bukan di sudut diri pekerja.

5. Corak perniagaan lari daripada norma dan kemunasabahan, contohnya dengan golongan Kapitalis ini memonopoli keperluan hidup dan menaikkan harga sesuka hati. Orang tengah juga bertanggungjawab meningkatkan harga barang sehingga ‘profit margin‘ yang diperoleh melebihi justifikasi pembuatan dan penghantaran.

6. Penerimaan faedah sebagai asas ekonomi. Walaupun dalam kebanyakan umat manusia sepanjang zaman riba atau faedah dianggap jahat, Kapitalisma menganggap ia sebagai keperluan perniagaan dan asas pembinaan struktur ekonomi.

7. Masyarakat yang lahir daripada Kapitalisma adalah yang tidak punyai nilai-nilai prihatin, penyayang dan kerjasama. Golongan yang tertindas dan yang kehilangan kerja tidak mendapat simpati dan bantuan orang lain, hanya terbiar pada nasib mereka sendiri.

Tindakbalas Kepada Kapitalisma dan Kelahiran Sosialisma

Keburukan-keburukan yang di atas menurut Mawdudi berlaku disebabkan penyelewengan yang berlaku di dalam Kapitalisma, sebagai suatu reaksi antagonistik golongan pertengahan kepada keburukan sistem feudal dan ‘landlord‘. Dengan keburukan sistem Kapitalisma yang menindas golongan pekerja untuk waktu yang panjang, sekarang golongan ini pula yang marah dan bangkit. Di sinilah lahirnya Sosialisma, yang membangkang hak pemilikan individu dan menuntut hak samarata kepada semua.

Sosialisma[v]

Juga dikenali sebagai Kolektivisma, pelbagai teori yang berlainan dicadangkan oleh Karl Marx dan pemikir-pemikir lain yang sealiran dengannya. Kesemuanya bersetuju untuk satu tujuan yang sama iaitu penubuhan satu cara hidup yang menguntungkan masyarakat secara umum. Kebanyakan teori lain gagal direalisasikan tetapi teori Karl Marx lebih kedepan, juga dikenali sebagai Sosialisma Saintifik (‘Scientific Socialism‘), Marxisma atau Komunisma.

Golongan Sosialis menganggap segala punca kejahatan (‘the root of all evils’) adalah hak milik individu terhadap tanah, peralatan dan kilang yang mengeluarkan barang secara banyak (‘mass production‘), jadi inilah yang perlu dihalang. Menurut mereka hak milik individu adalah suatu yang datang kemudian, adalah suatu hak yang dilindungi oleh sistem agama, moral dan undang-undang manusia, yang hanya mempunyai matlamat mementingkan diri sendiri. Sistem-sistem ini dikatakan dijadikan alat oleh pemimpin-pemimpin untuk menguasai manusia, dan orang-orang yang bertanggungjawab memperkenalkan semua ini adalah para nabi, wali, guru moral dan agama, serta pembuat undang-undang! Golongan pekerja telah lama berada di bawah ‘pukauan’ mereka dan inilah masa untuk melepaskan diri!

Menurut mereka lagi, hak milik individu dan perasaan untuk mendapat untung setimpal dengan usaha bukanlah kehendak semulajadi manusia, tetapi ia adalah lahir daripada persekitaran, maka dengan mengubah persekitaran kecenderungan akan turut berubah.

Jadi untuk merealisasikan ideologi Sosialisma, semua tanah, kilang, peralatan adalah sebenarnya hak negara, keuntungan dibahagi sama rata kepada semua pekerja, dan mereka memilih siapa yang akan menguruskan keseluruhan sistem ekonomi.

Dua cara telah dicadangkan untuk melaksanakan perpindahan kuasa ini:

1. Menurut aliran pemikiran Sosialisma atau ‘Evolutionary Socialism’, dengan cukup sokongan golongan ini akan ambil alih kerajaan, dan seterusnya tanah, industri dan perdagangan akan diambil alih menggunakan undang-undang yang ada dan seterusnya dinasionalisasikan.

2. Menurut Marxisma, Bolshevisma, Komunisma atau ‘Revolutionary Socialism’ perpindahan kuasa ini tidak boleh berlaku melalui proses demokrasi, sebaliknya ia perlu kepada revolusi dan kekerasan. Kerajaan Bourgeoisie akan ditumpaskan dan kerajaan diktator ditubuhkan, seterusnya tanah dan industri akan dirampas.

Pemikiran ini perlahan-lahan menyerap masuk ke Eropah. Ia dianggap menarik oleh sesetengah orang Barat kerana merupakan idea baru dan ‘original’, dipersembahkan dengan cara ‘saintifik’, menongkah prinsip-prinsip sedia ada, walaupun sebenarnya menurut Mawdudi ia tidak masuk akal!

Sosialisma di Russia

Perang Dunia  Pertama (1914-1918) telah membawa perubahan revolusi pada Russia, yang telah meletakkan Russia di bawah corak kerajaan Komunis yang pertama di dunia.

Kesan Komunisma terhadap ekonomi negara itu dinilai daripada dua persepsi: yang mengatakan positif telah membuat perbandingan dengan zaman Czarist Russia yang secara relatifnya lebih mundur dan miskin. Manakala yang mengatakan sebaliknya membuat perbandingan antara Russia dengan negara-negara lain sezaman dengannya yang nyata lebih maju seperti USA, Japan dan Germany. Walaubagaimanapun Mawdudi menyatakan bahawa baik atau tidak bukan hanya bergantung kepada pada sistem negara, tetapi juga pada integriti pemimpin pada masa itu.

Kelebihan

Di antara kelebihan Sosialisma adalah:

1. Pembatalan hak individu pada tanah dan harta industri mengurangkan perbezaan antara kos pembuatan dan harga jualan, dan mengurangkan kesan orang tengah.

2. Pemilikan oleh negara membolehkan perancangan menyeluruh dibuat kepada penghasilan berdasarkan permintaan.

3. Perancangan menyeluruh kepada sumber manusia juga dapat dibuat, bermula daripada pendidikan dan latihan.

4. Lebihan keuntungan yang diperolehi oleh negara dapat digunakan untuk perkara-perkara kebajikan dan sosial, seperti pekerja yang kurang upaya, mengalami kemalangan dan seumpamanya.

Keburukan

Walaubagaimanapun keburukannya tetap ada, terutama dari segi:

1. Perlaksanaan Komunisma di Russia telah mengambil korban jiwa dan harta yang besar, kerana bukan mudah untuk mengambil alih hak individu.

2. Menolak hak individu bermaksud menolak undang-undang, kod-kod etika moral dan agama yang menyokongnya. Oleh itu Sosialisma menolak ketuhanan, termasuklah Islam dan agama Kristian.

3. Sistem ini sebenarnya lebih mudah melahirkan penyelewengan, rasuah dan perampasan kuasa.

4. Walaupun menurut Sosialis kehendak individu serta sifat semulajadi manusia adalah pembohongan golongan Kapitalisma, tetapi sistem Sosialisma ini gagal dari segi praktikal. Akhirnya mereka terpaksa tunduk kepada motif keuntungan dan kepentingan peribadi untuk menggerakkan sistem ini.

5. Sistem ini juga tidak berjaya memberikan keuntungan kepada negara seperti yang dicanangkan melalui teori mereka. Jurang perbezaan pendapatan antara golongan pekerja dan golongan pemerintah masih besar, malah lebih besar daripada sesetengah negara. Permusuhan yang timbul daripada negara-negara yang tidak menyokong Sosialisma menyebabkan perbelanjaan yang besar dalam persenjataan. Akhirnya sebagai kesan, hanya sedikit yang dapat dibelanjakan untuk kepentingan sosial.

Kerajaan Sosialisma adalah amat berkuasa. Segala tanah, harta menjadi milik satu entiti, yang menguasai segala ekonomi, politik dan ketenteraan. Inilah ‘dictatorship’ yang paling besar dalam sejarah manusia, yang menguasai segalanya, termasuk sistem pemilihan kerajaan, media dan pendidikan. Tiada yang boleh melawannya, kecuali akan dikenakan hukuman sekeras-kerasnya.

Kerajaan Sosialis Russia kemudiannya merasa takut pada bayang-bayang sendiri, khuatir ada tindakbalas terhadap sistem mereka. Lalu mereka wujudkan pengintip-pengintip yang ramai, di setiap pelusuk negara dan sistem dan tempat kerja, sehingga isteri atau suami menjadi pengintip kepada pasangan mereka, anak kepada ibubapa dan seumpamanya. Suara-suara tidak puas hati akan ‘hilang tanpa berita’ dalam sekelip mata, menyebabkan orang ramai tahu adalah lebih baik untuk mereka diam.

Fascisma[vi] dan Nazisma[vii]

Kedahsyatan perubahan yang berlaku di Rusia telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam suasana pemikiran politik dunia: (i) Di tempat yang mana dikesani oleh perang antara kelas dan yang mana Kapitalisma tidak pernah kukuh, lahirlah Fascisma dan Nazisma, iaitu di Italy dan Germany.  (ii) Manakala di tempat lain, perubahan dibuat dalam sistem Kapitalisma itu sendiri dengan mengkaji kelemahannya.

Kebaikan

Menurut Fascisma/Nazisma, pemilik harta (golongan Kapitalis) dan golongan pekerja bukanlah bermusuhan, tetapi sepatutnya bekerjasama untuk menghasilkan yang terbaik untuk negara.

Fascisma/Nazisma tidak menolak hak milik individu dan keinginan individu untuk berjaya, menurut mereka hak dan keinginan ini adalah berguna untuk kepentingan bersama (‘collective interest’). Walaubagaimanapun menurut mereka keinginan individu adalah di bawah kepentingan bersama. Institusi-institusi kritikal negara seperti kewangan, perlombongan dan industri ketenteraan tidak sepatutnya menjadi hak individu.

Perniagaan spekulatif dan penggunaan faedah perlu dihapuskan daripada peminjaman kewangan.

Walaubagaimanapun mereka menolak Liberalisma yang mengatakan kerajaan tidak sepatutnya masuk campur, sebaliknya kerajaan sepatutnya menjaga koordinasi antara pelbagai sektor industri dan ekonomi, menjaga keamanan antara majikan dan pekerja.

Menurut mereka masalah pengangguran dan hal-ehwal rakyat adalah masalah negara, jadi perlu ada institusi insurans sosial untuk melindungai semua termasuk kanak-kanak, orang cacat dan golongan yang tidak bekerja.

Perancangan dan koordinasi ekonomi dibuat oleh suatu entiti pusat (negara), dan perancangan sumber tenaga manusia dikoordinasi dengan ‘mass production’, sehingga dapat mengurangkan kadar pengangguran.

Keburukan

Walaubagaimanapun terdapat keburukan yang nyata di dalam ideologi ini yang telah tercatat di dalam sejarah dunia:

Dalam menghapuskan perselisihan kelas ekonomi, mereka menggantikannya dengan nasionalisma agresif, menimbulkan kebencian kepada negara-negara lain, dengan kehendak yang tinggi untuk menakluki dunia.

Untuk menjalankan program ini, suatu falsafah dicipta dan ditanamkan dalam jiwa rakyat: Setiap individu adalah bergantung kepada masyarakat keseluruhan, tanpanya individu itu tidak bermakna. Maka setiap rakyat German mestilah menjadi Nazi dan setiap rakyat Italy menganut fahaman Fascisma. Dalam sistem ini negara, kerajaan dan parti pemerintah digabung menjadi satu, sesiapa yang yang lain daripadanya adalah musuh negara!

Sistem ini memerlukan tenaga yang banyak untuk merancang jauh, bertahun-tahun lebih awal, untuk meletakkan segala-galanya menurut ‘order’, jadi ia tidak boleh terdedah kepada kritikan dan gangguan, yang hanya akan mengganggu perjalanan ‘order’ dan perancangan teliti mereka. dalam kata lain, rakyat dihilangkan kebebasan pemikiran.

Reformasi Kapitalisma

Ketika golongan Kapitalis menuntut hak individu golongan mereka dalam kepentingan ekonomi dalam kurun ke-18, pada masa yang sama mereka menuntut hak demokrasi dan kesamarataan untuk kepentingan politik. Jelas di sini ada suatu ‘pertentangan’. Pada peringkat permulaan hak demokrasi ini dituntut untuk diri mereka sendiri, tapi akhirnya mereka terpaksa menerima hakikat bahawa golongan pekerja juga menuntut hak yang sama. Maka terbentuk persatuan dan kesatuan pekerja untuk menuntut hak, melalui perbincangan, piket dan aktiviti-aktiviti lain.

Kesannya pada penghujung kurun ke-19, tiada lagi teori Kapitalisma lama yang mana hanya hak individu diambilkira, tetapi hak semua melalui proses demokrasi diterima. Ia adalah suatu sistem mengambil kira pandangan kolektif untuk kebaikan negara.

Revolusi Komunis di Rusia dan perubahan kuasa di Italy dan Germany telah memberi pengajaran kepada negara-negara Kapitalis akan perubahan yang perlu dibuat dalam sistem mereka:

1. Setiap pertubuhan pekerja di setiap sektor ekonomi perlu didengar pandangan mereka. Walaupun masih ada konflik di antara Kapitalis dan golongan pekerja ia tidak seteruk dahulu.

2. Berlaku perubahan positif pada penggajian, waktu bekerja dan imbuhan (seperti cuti sakit, perumahan dan perubatan).

3. Berlaku perubahan dalam peranan kerajaan yang menjadi badan perantara menyelesaikan perbalahan antara Kapitalis dan pekerja.

4. Hak individu mencari keuntungan dikawal agar tiada kesan buruk kepada kepentingan bersama.

5. Beberapa sektor diletakkan di bawah kerajaan, kerana: (i) ia tidak dapat dilaksanakan di bawah kawalan individu Kapitalis, atau  (ii) jika diletakkan di bawah individu ia mungkin membawa mudarat kepada kepentingan kolektif, contohnya dalam sektor komunikasi, perhubungan, taliair, tenaga dan kewangan.

6. Wujud peluang untuk pekerja berpendapatan rendah melabur di dalam syarikat mereka dengan kemudahan pembelian saham.

Keburukan Kapitalisma Yang Masih Ada

Di sebalik segala reformasi ini masih terdapat keburukan Kapitalisma yang masih wujud, sehingga ke hari ini:

1. Pengangguran masih tidak dapat dihapuskan, sebagai contoh terdapat 4 juta penganggur di USA selepas Perang Dunia Kedua.

2. Beberapa jenis barang keperluan masih banyak diperlukan oleh ramai orang, dan banyak tenaga kerja yang boleh digunakan, tetapi sebaliknya syarikat-syarikat pengeluar masih enggan mengeluarkan lebih dan mengambil lebih ramai pekerja, dengan alasan takutkan berkurangnya kuasa membeli.

3. Masih ada kawalan terhadap harga barang keperluan seperti makanan ruji, yang mana walaupun pengeluarannya banyak tetapi ia dilupuskan atau dibiar lupus daripada sampai kepada pengguna dengan harga murah.

4. Tiada penyelesaian masalah kepada mereka yang memerlukan. Golongan kurang upaya, orang-orang sakit dan anak-anak yatim tidak mendapat bantuan melainkan jika mereka ada insurans, harta peninggalan dan sumbangan orang ramai.

5. Berlaku kawalan, spekulasi dan permainan harga pasaran oleh individu-individu yang berkuasa di dalam ekonomi. Mereka boleh hasilkan apa yang mereka mahu, banyak mana, atau menahannya daripada pasaran untuk menguasai harga, tanpa menghiraukan kesannya terhadap masyarakat umum.

6. Sehingga sekarang, kuasa sebenar ekonomi negara (malah dunia) adalah ‘bankers’. Mereka menetapkan kadar faedah (‘rate of interest’), dan inilah yang menjadi sangga segala aktiviti ekonomi yang lain.

7. Berlaku suatu fenomena dalam aktiviti ekonomi dunia Kapitalisma yang dikenalis sebagai ‘Trade Cycle[viii]. Selepas beberapa tahun perniagaan baik, tiba-tiba pengeluar mendapati jualan berkurangan, jadi mereka mengurangkan pengeluaran. Apabila ‘bankers’ mengesan keadaan ini mereka pula mengurangkan pembiayaan kepada industri dan menuntut pulangan kepada kapital yang pernah dipinjamkan. Ini menyebabkan banyak syarikat dan kilang mula tutup lantas menambah pengangguran. Harga barang akan jatuh. Pemborong kurangkan tempahan kerana takutkan kejatuhan menerus harga, menyebabkan pengeluaran dari kilang terpaksa dikurangkan lebih kanjut. Pengangguran semakin bertambah, sehingga kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan mereka. Banyak syarikat dan individu bankrap. Kemudian perlahan-lahan suasana berubah, perniagaan bertambah baik dan kembali semula kepada keadaan ‘asal’.

Ini adalah bukti sistem-sistem dan struktur-struktur negara yang sedia ada (iaitu Demokrasi) gagal menghapuskan keburukan Kapitalisma.

Kenapa Tiada Perubahan?

Mawdudi membuat sedikit analisa atas persoalan mengapakah masih tidak berlaku suatu perubahan positif yang menyeluruh kepada masyarakat manusia setelah segala rentetan sejarah ini? Setelah berapa banyak ‘nasihat’ yang didengari daripada individu-individu yang dikatakan berpengetahuan tentang sistem ekonomi, seperti perancangan kolektif, revolusi sistem ekonomi, pengambilan dan pengurusan seluruh harta tanah oleh kerajaan, dan seumpamanya?

Masalahnya terletak pada pertelingkahan yang berkekalan. Suatu parti atau golongan akan berkuasa, buat seikut hati sehingga orang ramai sudah tidak tahan dengan kesan perubahan yang dibawa, maka satu golongan lagi akan naik dan melakukan perubahan, yang akhirnya membawa kepada keadaan sama. Dan beginilah seterusnya.

Mawdudi menerangkan bahawa ini bukanlah disebabkan oleh perubahan budaya semulajadi di dalam diri manusia, tetapi adalah kerana tiadanya pergantungan manusia kepada petunjuk wahyu (‘Divine Guidance‘). Agama Kristian melalui ajaran St Paul telah diceraikan daripada cara hidup (‘Code of Life‘), yang ada di dalamnya hanyalah beberapa kata nasihat, tetapi tiada panduan untuk sistem budaya, politik dan ekonomi. Begitu juga Old Testament, yang kebanyakannya adalah manipulasi manusia. Kerana inilah manusia sendiri enggan menerimanya sepenuh hati kerana tiada panduan sebenar di dalamnya.

Eropah tidak mahu melihat kepada Islam yang menerima petunjuk wahyu sebagai Kod Kehidupan (‘Code of Life‘) ini, jadi mereka sendiri yang mencorak Kod Kehidupan. Sedangkan telah terbukti manusia sebenarnya tidak mampu menilai berdasarkan keputusan rasional semata, kerana ada keburukan hawa nafsu bersamanya.

Dan bagi seorang Muslim sebenar, jawapan kepada kemelut ini adalah jelas: Islam adalah penyelesaiannya.

Penyelesaian Islam

Jadi apakah penyelesaian Islam kepada permasalahan ini? Beberapa prinsip Islam digariskan oleh Mawdudi sebelum dihuraikan penyelesaiannya:

1. Islam mengutamakan individu bukan parti, kaum atau masyarakat. Masyarakat adalah untuk individu, bukan individu untuk masyarakat. Yang dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan adalah individu bukan kumpulan. Ukuran kejayaan sesuatu sistem kemasyarakatan adalah kejayaannya membantu individu berjaya dan mengembangkan potensinya.

2. Untuk membolehkan sesuatu individu meningkat dan berkembang, Islam mempertahankan hak berfikir dan bekerja. Dia berhak mencari nafkah untuk dirinya dan saraannya melalui kerja yang jujur.

3. Moral manusia yang dibentuk oleh Islam adalah berdasar kepada taqwa dan tanggungjawabnya kepada Tuhan. Jadi tidak sepatutnya seseorang individu atau parti menanggung tanggungjawab orang ramai bersama-sama tanggungjawab dirinya. Noktah ini dicontohkan dengan kisah apabila Nabi (s) diminta mengawal harga barang ketika berlaku kemiskinan di Madinah, lalu baginda bersabda: “Aku tidak mahu bertemu Tuhanku dalam keadaan ada satu pun aduan ketidakadilan kepadaku daripada seorang sekalipun.”

4. Islam mahukan kehidupan manusia paling hampir dengan keadaan semulajadi dan sunnah alam, bukan sesuatu yang dimanipulasi oleh manusia. Manusia harus menggunakan sumber bumi dan mencari hasil daripadanya. Islam membenarkan individu tinggal di dalam masyarakat dan pada masa yang sama mengekalkan individualisma dirinya.

5. Islam tidak membenarkan cara kekerasaan atau paksaan. Sebelum kedatangan Islam, pelbagai cara digunakan untuk mencari nafkah termasuk peminjaman wang berdasarkan riba, rumah-rumah pelacuran dan perompak jalanan. Setelah kedatangan Islam, harta-harta yang dahulunya didapati melalui cara ini masih dikekalkan hak milik individunya.

Berdasarkan prinsip-prinsip ini, Mawdudi mengatakan bahawa di antara sistem-sistem ekonomi yang telah dibincangkan lebih awal, Kapitalisma Moden adalah yang paling hampir kepada prinsip sebenar ekonomi manusia, tetapi ia menjadi buruk dengan sikap pentingkan diri sendiri dan ekstrimisma golongan Bourgeoisie Barat. Jika punca kejahatan ini dapat dihapuskan, inilah sebenarnya modus operandi ekonomi Islam.

Bagaimana Bentuknya

Akhirnya diberikan garispanduan yang perlu dilaksanakan sebagai merealisasikan sistem ekonomi Islam:

1. Hak untuk memiliki tanah diperakui. Seseorang boleh memiliki sebanyak mana tanah, dia boleh menjual, menyewa atau memberi pinjam menurut kehendaknya. Tiada sekatan atau diskriminasi golongan taraf tertentu. Undang-undang pewarisan tanah adalah menurut Islam. Tanah tidak dibenarkan dibiarkan tidak diusahakan.

2. Islam tidak membataskan hak milik individu kepada barang keperluan harian, alat-alat pengeluaran juga boleh dimiliki. Dia boleh mengusahakannya sendiri atau menggaji orang lain. Walaubagaimanapun perlu ada kawalan: Mesin dan alat pengeluaran besar-besaran hanya dibenarkan setelah mengkaji sedalam-dalamnya kesannya terhadap penggunaan tenaga kerja manusia. Penggajian dan kelebihan kerja adalah kepada persetujuan bersama antara majikan dan pekerja; kerajaan hanya beri beberapa garispanduan seperti gaji minima, waktu kerja maksima, imbuhan minima untuk kemalangan dan seumpamanya. Kerajaan juga harus menjadi orang tengah menyelesaikan pertelingkahan. Aktiviti spekulasi ekonomi, penyimpanan (‘hoarding‘) dan pelupusan barangan, juga transaksi yang tidak telus hendaklah diharamkan. Saingan bebas harus dibenarkan, yakni tiada monopoli. Industri dan perdagangan yang membawa keburukan kepada masyarakat perlu diharamkan. Sebahagian daripada hasil perniagaan ini dikenakan zakat.

3. Islam membenarkan hak milik individu terhadap aset kewangannya: Dia boleh menyimpan, meminjam, melabur, walaupun Islam menggalakkan harta berlebihan diinfaqkan sebagai sedekah. Sebahagian simpanan dikenakan zakat. Pinjaman tidak dikenakan faedah, biarpun atas sebab apa duit itu digunakan, untuk peribadi atau pelaburan perniagaan. Pengambilan sekuriti atas pinjaman juga tidak dibenarkan. Dalam perkongsian kedua-dua pihak perlu terima liabiliti, untung dan rugi.

4. Islam tidak mewajibkan masyarakat atau negara untuk mempastikan setiap individu di dalamnya dapat pekerjaan, tetapi tidak juga membiarkan golongan susah pada nasib mereka sendiri. Dalam Islam menggalakkan individu memberi bantuan semampu mereka, Islam juga menyuruh ahli industri, perniagaan dan tuan tanah untuk menjalankan tugas mereka dengan memberi kerja. Sesiapa yang masih tiada kerja, kurang upaya, ditimpa kemalangan perlu dibantu oleh negara. Anak yatim adalah di bawah tanggungjawab pemerintah. Maka di bawah pemerintahan Islam sepatutnya tiada orang yang tiada makanan, perubatan, pakaian dan tempat tinggal.

Dengan ini Islam mengenakan zakat: Individu yang mempunyai sekurang-kurangnya sejumlah minima wang, pemilik tanah, pengilang dan peniaga, penternak, pengusaha lombong dan rampasan perang (jika berkenaan).

5. Islam tidak membenarkan pemerintah mengambil alih pengusaha, peniaga dan pemilik tanah. Pemerintah adalah pembimbing, penegak keadilan, penghalang kemungkaran dan untuk menjaga kepentingan kolektif. Banyak keburukan akan terjadi apabila berlaku percampuran antara kuasa politik dan perniagaan.

Garis panduan ini, jika dilaksana dengan betul, akan insha Allah bukan sahaja menamatkan keburukan feudalisma dan Kapitalisma, tetapi juga menghasilkan suatu sistem ekonomi yang seimbang antara kebebasan individu dan kepentingan kolektif, yang adil untuk semua.

Buku ini pada pandangan pengkaji, walaupun ringkas adalah padat dan komprehensif di dalam sekurang-kurangnya dua sudut:

Akan latarbelakang dan sejarah perkembangan dua ideologi ekonomi utama di dalam sejarah dunia – Kapitalisma dan Sosialisma, serta ideologi lain yang lahir daripada pertembungan kedua ini.

  • Akan sifat semulajadi sosial manusia yang sentiasa berusaha dan bangkit mahukan perubahan positif di dalam kehidupan mereka. Maka suatu sistem yang ada keburukannya akan ditentang dan dibina di atasnya sistem lain, malangnya apabila segala usaha ini tidak dibina di atas dasar petunjuk Rabbani tetapi atas kehendak hawa nafsu, maka sistem baru yang diperkenalkan itu juga punya kelemahan dan keburukan.
  • Dalam masa yang agak singkat dan pembacaan ke atas buku ini yang tidak terlalu memberatkan, pengkaji telah dapat mendapat gambaran yang jelas akan perkembangan sistem-sistem ekonomi ini, berserta kebaikan dan keburukan masing-masing. Bahasa Inggeris yang digunakan (hasil terjemahan Sharif Ahmad Khan) di dalam karya ini secara umumnya mudah difahami, walaupun beberapa rujukan (dan pembetulan ejaan) terpaksa dibuat.

Walaubagaimanapun pada pandangan pengkaji bab penyelesaian Islam yang digariskan di penghujung buku agak ringkas dan perlukan kepada huraian lebih lanjut, terutama untuk seseorang yang ingin mengkaji langkah spesifik melakukan perubahan di dalam dasar ekonomi sesebuah negara. Namun sebagai suatu pengenalan kepada tajuknya, ditambah lagi dengan kebijaksanaan Abul A`la Mawdudi memberikan analisa dan mengolah bahasanya, karya ringkas ini adalah dikira amat baik.


Rujukan

Abul A`la Mawdudi, Capitalism, Socialism and Islam, diterjemah oleh Sharif Ahmad Khan, Islamic Book Publishers (Kuwait), 1987 (edisi kedua).

Abul A`la Mawdudi, Let Us Be Muslims (terjemahan dan terbitan Bahasa Inggeris Khutubat), disunting oleh Khurram Murad, The Islamic Foundation (UK), 1982.

The Concise Oxford Dictionary, Oxford University Press (UK), 1990 (edisi kelapan).

Wikipedia Online Encyclopedia (http://en.wikipedia.orang/wiki/)



Nota Akhir

[i] Risalah ini diterbitkan semula daripada buku asal Sayyid Mawdudi bertajuk ‘Interest’ yang diterbitkan di dalam dua jilid.

[ii] Berasal daripada perkataan Latin kapitalis yang bermaksud kepala, merujuk kepada bilangan binatang yang menjadi ukuran kekayaan pada masa dahulu.

[iii] Panggilan lain kepada golongan Kapitalis atau golongan pertengahan.

[iv] Prinsip ‘tiada campurtangan kerajaan’ ini juga dikenali dengan nama laissez-faire.

[v] Berasal daripada perkataan socialis (Latin) atau social (Perancis) yang bermaksud bersekutu.

[vi] Daripada perkataan Latin fascis yang bermaksud seikat atau serumpun.

[vii] Perkataan Nazi berasal daripada perkataan Nationalsozialist (bahasa Jerman) yang bermaksud ‘sosial kebangsaan’.

[viii] Juga dikenali sebagai ‘Business Cycle‘ atau ‘Economic Cycle‘.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s