Pengajian Teks Al-Qur’an: Ayat 33-35 Surah Muhammad

Pengajian Teks Al-Qur’an: Ayat 33-35 Surah Muhammad

Pengenalan dan Latarbelakang Surah

Surah Muhammad dikenali dengan nama lain yakni Surah al-Qital. Secara keseluruhan ia adalah surah Madaniyyah (kecuali ayat 13 yang merupakan ayat Makkiyyah[1]).

Surah ini secara umumnya bertemakan janji Allah bahawa Nabi Muhammad (SAW) dan para pengikutnya akan dapat membalas kekejaman yang pernah dilakukan oleh kaum Musyrikin terhadap mereka. Keseluruhan surah ini bernada keras dan mempunyai ritma yang unik, yang mampu membangkitkan semangat di kalangan orang-orang yang beriman bahawa kemenangan akan berpihak pada mereka selagi mana perjuangan mereka itu adalah di atas jalan Allah[2].

Potongan Ayat

[text of ayat goes here]

Terjemahan Ayat

33. Wahai orang-orang yang beriman! Ta’atilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu mensia-siakan amalan-amalan kamu.

34. Sesungguhnya orang-orang kafir dan  menghalangkan (orang lain) dari jalan Allah kemudian mereka mati dalam keadaan kafir, maka Allah tidak akan mengampunkan mereka.

35. Oleh itu (wahai orang-orang Mu’min!) janganlah kamu merasa lemah dan mengajak (orang-orakg kafir) kepada perdamaian, sedangkan kamu golongan yang tertinggi dan Allah bersama kamu dan Dia tidak akan mengurangkan pahala amalan-amalan kamu.

Asbab al-Nuzul Ayat

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Muhammad al-Mawarzi sebagaimana yang diceritakan oleh sahabat Abu al-`Aliyah bahawa para sahabat Rasulullah (SAW) berpandangan tiada suatu dosa pun yang membahayakan selagi pelakunya beriman tiada Ilah selain daripada Allah, sebagaimana mereka berpandangan amalan yang baik itu tidak akan memberi manfaat apabila pelakunya musyrik. Maka turunlah ayat:

33. Wahai orang-orang yang beriman! Ta’atilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu mensia-siakan amalan-amalan kamu.

Maka mereka kemudiannya merasa khuatir bahawa amalan mereka akan terhapus oleh dosa-dosa mereka.

Huraian Ayat

33. Wahai orang-orang yang beriman! Ta’atilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu mensia-siakan amalan-amalan kamu.

Ayat 33 ini membayangkan bahawa ketika diturunkan ayat ini terdapat segolongan orang merasa keberatan untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan Allah dan RasulNya. Penurunannya memberikan kesan yang amat kuat terhadap orang-orang beriman yang takutkan akan batalnya amal-amal salih mahupun aqidah mereka akibat daripada perkara yang mereka lakukan.

Diriwayatkan daripada Ibnu `Umar (RA) bahawa para sahabat berpandangan bahawa setiap amalan kebajikan itu diterima Allah sehinggalah turun ayat: “Wahai orang-orang yang beriman! Ta’atilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu mensia-siakan amalan-amalan kamu.” Para sahabat bertanya apakah yang membatalkan amalan-amalan, lalu sebahagian daripada mereka menjawab: Itu adalah dosa-dosa besar, sehingga turun ayat:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan perbuatan syirik terhadapNya dan mengampunkan dosa-dosa selain daripada syirik kepada sesiapa yang dikehendakiNya.” [Al-Nisa’ 4:48]

Dan para sahabat seterusnya berhenti membicarakan perkara-perkara itu. Mereka bimbang terhadap orang-orang yang melakukan dosa-dosa besar dan mengharapkan keampunan bagi orang-orang yang menjauhinya.

Adapun sikap orang yang beriman terhadap ayat ini adalah perasaan takut dan bimbang, dan sentiasa di dalam keadaan berwaspada agar tidak sekali-kali terbatal segala amalan baik mereka seperti yang disebutkan di dalam ayat ini.

34. Sesungguhnya orang-orang kafir dan  menghalangkan (orang lain) dari jalan Allah kemudian mereka mati dalam keadaan kafir, maka Allah tidak akan mengampunkan mereka.

Orang-orang yang kafir dan yang menghalangi jalan Allah, dan kemudiannya mati di dalam keadaan kafir, yang dimaksudkan di sini adalah orang-orang kafir yang mati di dalam Perang Badr lalu dikuburkan di al-Qulaib[3]. Ayat ini juga bertujuan menegaskan kenyataan yang disebutkan pada ayat sebelumnya, dan menerangkan tanggapan para sahabat terhadapnya[4].

Dari suatu sudut pula dapat difahami daripada ayat ini bahawa peluang untuk mendapat keampunan Allah itu sentiasa terbuka selagi seseorang itu masih belum menemui ajalnya. Maka kepada seorang kafir ia bertujuan memberi amaran untuk bertaubat sebelum pintu taubat tertutup, manakala kepada seorang mu’min ia bertujuan sebagai peringatan agar menjauhi bahaya yang disebutkan di sini.

35. Oleh itu (wahai orang-orang Mu’min!) janganlah kamu merasa lemah dan mengajak (orang-orakg kafir) kepada perdamaian, sedangkan kamu golongan yang tertinggi dan Allah bersama kamu dan Dia tidak akan mengurangkan pahala amalan-amalan kamu.

Maksud meminta damai di sini adalah ketika bertemu orang-orang kafir di dalam perang[5], manakala al-a`lawna bermaksud berada di atas, lebih kuat[6], yang menang dan yang mengalahkan[7].

Adalah naluri semulajadi manusia yang menginginkan sesuatu jalan yang lebih mudah dan menjauhi yang payah. Maka ada segelintir umat Islam yang cenderung untuk memilih jalan perdamaian yang secara zahirnya lebih menyenangkan, daripada jalan-jalan sulit peperangan. Ada pula yang memilih jalan perdamaian dengan sebab mempunyai kepentingan-kepentingan dan perhubungan tertentu dengan musuh Islam. Perasaan-perasaan seperti ini adalah saki-baki kelemahan di dalam jiwa sesetengah umat Islam, lalu ayat ini mendidiknya dengan mengangkat martabat orang Islam melebihi orang-orang kafir. Kerana seorang mu’min lebih tinggi daripada seorang kafir daripada sudut aqidah, daripada sudut hubungan dengan Allah, daripada sudut cara hidup dan juga daripada sudut akhlak. Tidak hanya dengan itu, mu’min juga mempunyai kelebihan dengan Allah bersamanya. Maka daripada sudut kekuatan fizikal dan rohani tiada sesuatupun yang dapat menandingi sesuatu kekuatan apabila Yang Maha Kuasa ada bersamanya.

Didikan al-Qur’an di dalam ayat ini disudahi dengan berita gembira bahawa segala susah-payah seorang pejuang Islam tidak akan dihilangi atau menjadi sia-sia,sebaliknya ganjaran yang sebaik-baiknya untuk mereka yang berjuang dengan ikhlas.

Rujukan

Ibnu Kathir, Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir, terjemahan oleh H. Salim Bahreisy & H. Said Bahreisy, Jilid 7, PT Bina Ilmu, 2002.

Jalaluddin al-Mahalli & Jalaluddin al-Suyuti, Tafsir Jalalain, terjemahan oleh Bahrun Abu Bakar, Jilid 2, Sinar Baru Algensindo, 2003.

Muhammad al-Ghazali, Journey Through The Qur’an (terjemahan Inggeris Al-Tafsir Al-Maudu`i li Suwar Al-Qur’an Al-Karim), terjemahan oleh Aisha Bewley, Dar Al-Taqwa, 1998.

Sayyid Qutb, Fi Zilal Al-Qur’an, terjemahan oleh Yusoff Zaky Haji Yacob, Jilid 14, Pustaka Aman Press, 2000.

Nota Akhir

[1] Jalaluddin al-Mahalli & Jalaluddin al-Suyuti, p. 854

[2] Muhammad al-Ghazali, pp. 386-387

[3] Jalaluddin al-Mahalli & Jalaluddin al-Suyuti, p. 867

[4] Ibnu Kathir, p. 292.

[5] Jalaluddin al-Mahalli & Jalaluddin al-Suyuti, p. 867

[6] Ibnu Kathir, p. 292.

[7] Jalaluddin al-Mahalli & Jalaluddin al-Suyuti, p. 867

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s