Perselisihan Di Dalam Islām

Perselisihan Di Dalam Islām: Satu Huraian Hadīth Mawdū`ī

Telah bersabda Rasūlullāh (s) yang bermaksud: “Janganlah kamu berbalah lalu menyebabkan hati-hati kamu berselisihan.” [al-Bukhārī di dalam al-Jāmi` al-Saghīr]

عَنِ ابْنِ عُمَرَ ، قَالَ : خَطَبَنَا عُمَرُ بِالْجَابِيَةِ ، فَقَالَ : يَا أَيُّهَا النَّاسُ ، إِنِّي قُمْتُ فِيكُمْ كَمَقَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِينَا ، فَقَالَ : ” أُوصِيكُمْ بِأَصْحَابِي ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ، ثُمَّ يَفْشُو الْكَذِبُ ، حَتَّى يَحْلِفَ الرَّجُلُ وَلَا يُسْتَحْلَفُ وَيَشْهَدَ الشَّاهِدُ وَلَا يُسْتَشْهَدُ ، أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ ، عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ ، مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ” ،

Daripada Ibnu `Umar, bahawa `Umar pernah menyampaikan khutbah di al-Jābiyah dan berkata: “Wahai manusia, aku berdiri di hadapan kamu di tempat berdirinya Rasūlullāh (s) di hadapan kami seraya bersabda: Aku berpesan kepada sahabat-sahabatku, kemudian generasi selepas mereka, kemudian generasi selepas mereka.. Hendaklah kamu bersama al-jama`ah dan jauhilah perpecahan (al-furqah). Sesungguhnya syaitan bersama dengan orang yang berseorangan dan ia semakin jauh daripada dua orang. Sesiapa yang mahukan tempat yang paling bagus di tengah-tengah syurga, dia hendaklah beriltizam dengan jama`ah.” [al-Tirmidhī dalam Kitāb al-Fitān dan menurutnya ia hadīth hasan sahih gharib. Menurut al-Hākim ia sahih menurut syarat al-Bukhārī dan Muslim, dan al-Dhahabi bersetuju]

Pendahuluan – Ummat Yang Di Dalam Perbezaan dan Perselisihan

Perbezaan pendapat di kalangan umat Islām dapat dilihat di sepanjang sejarah perkembangan Islām sehinggalah ke hari ini. Pada zaman Nabi Muhammad (s) sendiri para sahabat ada kalanya berbeza pendapat, sebagai contoh di dalam kisah penghantaran Nabi (s) akan para sahabatnya ke Qurayzah.

Ada pula perbezaan di dalam memahami atau mentafsir ayat-ayat al-Qur’ān, sebagaimana yang diriwayatkah oleh Ibnu `Abbâs bahawa `Umar selalu mengajaknya berhimpun bersama-sama para sahabat besar yang pernah menyaksikan al-Badr, dan ada di antara mereka yang kurang menyenanginya. Salah seorang daripada mereka membantah: “Dia tidak sepatutnya bersama kita, anak-anak kita adalah seumur dengannya.” Kata Khalifah `Umar: “Kamu semua mengenalinya.” Suatu hari dia (`Umar) memanggil mereka dan juga aku. Aku faham dia bermaksud untuk menunjukkan sesuatu. Apabila kami berhimpun Khalifah bertanya: “Apa yang kamu tahu tentang Surah إِذَا جَاءَ (Surah al-Nasr)?” Sebahagian daripada mereka berkata: “Ia mengajar kita untuk memuji Allāh dan meminta keampunannya apabila kita menerima bantuanNya dan memperoleh kemenangan.” Sebahagian daripada mereka hanya diam. Kemudian Khalifah berpaling kepadaku: “Adakah engkau berpandangan yang sama?” Aku katakan: “Tidak.” Dia bertanya: “Jadi apakah pandanganmu?” Aku berkata: “Ia memberitahu tentang pemergian al-Rasūl (s). Ia memberitahunya bahawa hayat baginda telah sampai ke penghujungnya, dan menyuruhnya memperbanyakkan pujian kepada Allāh dan meminta keampunannya.” Kata `Umar: “Aku tidak mengetahuinya lebih daripada ini.” [al-Bukhārī]

Di dalam bidang ilmu ketuhanan juga berlaku perbezaan daripada segi pemahaman dan pendekatan terhadap ayat-ayat tauhid, justeru terdapat pandangan-pandangan yang berbeza dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah seperti al-Mu`tazilah, al-Jahmiyyah, al-Qadariyyah dan al-Jabariyyah.

Terdapat pula perbezaan dalam bentuk hukum-hukum fiqh, dan sejarah menyaksikan perkembangan bidang fiqh yang amat subur pada sekitar tahun 750 Masihi sehingga 950 Masihi dengan kebangkitannya imam-imam madhhab termasuk imam-imam madhhab yang empat[1]. Sebagai contoh dalam hukum pembatalan wudu’ terdapat perbezaan pendapat di antara mereka. Merujuk kepada ayat أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا  (al-Nisā’ 4:43) al-Imām al-Shāfi`ī berpandangan bersentuhan dengan tangan atau anggota badan, samaada sengaja atau tidak. Al-Imām Mālik dan al-Imām Ahmad berpandangan wudu’ terbatal apabila persentuhan berlaku dengan disertai syahwat. Manakala al-Imām Abū Hanīfah berpendapat ‘lams’ di sini membawa maksud perhubungan jenis, dan hanya bersentuh samaada disertai syahwat atau tidak, tidak membatalkan wudu’.

Terdapat juga perbezaan di dalam uslub menyampaikan mesej da`wah Islām. Maka kita dapati lahirnya pelbagai gerakan atau harakah Islāmiyyah yang berbeza di seluruh dunia terutamanya pada awal Abad ke-20. Ikhwān al-Muslimīn mempelopori usaha kebangkitan Islām di Timur Tengah, manakala Jamaati Islāmi di benua Indo-Pakistan. Di Malaysia sendiri usaha-usaha ini digerakkan oleh beberapa NGO dan parti politik, termasuk Angkatan Belia Islām Malaysia (ABIM), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islām Malaysia (PKPIM) serta Parti Islām SeMalaysia (PAS). Penulis sendiri pernah merasai kehangatan gerakan-gerakan pelajar Islām Malaysia ketika menuntut di United Kingdom, yang rata-rata dikuasai oleh tiga gerakan utama: Hizbul Islāmi (Hizbi), Angkatan Belia Islām Malaysia (ABIM) serta Majlis Syura Muslimun (MSM). Gerakan-gerakan ini berbeza daripada pendekatan da`wah, sejarah penubuhan, corak pentarbiyahan dan peningkatan ahli serta fokus gerakan dan aktivisma.

Perbezaan pendapat juga berlaku disebabkan oleh ideologi politik. Dalam mengejar aspirasi dan idealisma politik dan kenegaraan yang berbeza, maka perbezaan fahaman politik tidak dapat dielakkan. Maka ada sebahagian masyarakat Islām di Malaysia yang menyokong perjuangan UMNO (United Malay National Organisation), ada pula yang menyokong Parti Islām SeMalaysia (PAS) ataupun Parti KeADILan Nasional, mahupun parti-parti lain.

Kajian ini tidak berhasrat membincangkan secara panjang lebar akan sebab-sebab berlakunya perbezaan pandangan, ia boleh dirujuk kepada karya lain seperti Ikhtilāf al-A’immah oleh Muhammad Zakariyyā al-Kandahlāwī atau The Evolution of Fiqh oleh Abū Ameenah Bilal Philips. Kajian ini bertujuan memberi beberapa contoh kesan-kesan negatif kepada perselisihan, saranan al-Qur’ān dan al-Hadīth kepada kesatuan, bentuk-bentuk perselisihan yang ditegah oleh syara` serta beberapa adab Islāmi di dalam berbeza pendapat.

Definisi

Ikhtilāf ﺇﺧﺘﻼﻑ didefinisikan sebagai mengambil kedudukan yang berlainan daripada orang lain daripada segi pendapat, perkataan atau perbuatan. Ia berasal daripada perkataan khalafa ﺧﻠﻑ yang bererti berlawanan atau berbeza. Dan khilāf ﺧﻼﻑ pula bererti perbezaan dan keadaan saling tidak bersetuju.

Jadal ﺟﺪﻞ bererti perdebatan atau perbalahan, yakni apabila seseorang itu berterusan atau berkeras dengan pendapatnya, dan berusaha mendapatkan orang lain menerima pendapatnya.

Shiqāq ﺷﻘﺎﻕ  bererti perpecahan, yakni apabila perbalahan itu menjadi lebih keras dan hanya bertujuan untuk mengatasi pihak lawan, tiada keinginan untuk mencari kebenaran atau kebatilan[2]. Begitu juga tafarruq ﺗﻔﺮﻕ yang bererti perpecahan, yang berasal daripada perkataan faraqa ﻓﺮﻕ yang bererti berpisah atau berpecah.

Saranan Ke Arah Kesatuan

Banyak ayat-ayat al-Qur’ān dan hadīth-hadīth Nabi (s) yang menyarankan kesatuan sesama umat Islām, dan memberi amaran sekeras-kerasnya terhadap perpecahan.

Di dalam surah al-Hujurāt Allāh menyatakan ikatan ukhuwwah Islāmiyyah ini sebagai satu ikatan persaudaraan:

Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka perdamaikanlah di antara saudara-saudara kamu, dan bertaqwalah kepada Allāh agar kamu dirahmati.’ [al-Hujurāt 49:10]

Manakala Allāh mengumpamakan kesatuan di dalam amal Islām sebagai suatu binaan yang kukuh:

Sesungguhnya Allāh menyukai orang-orang yang berperang di atas jalanNya, dalam barisan yang rapi, mereka umpama bangunan yang kukuh.” [al-Saff 61:4]

Amaran terhadap perpecahan di kalangan umat Islām diberikan dalam beberapa bentuk, antaranya:

Dan janganlah kamu menjadi seperti mereka yang berpecah-belah dan berselisih setelah apa yang telah didatangkan kepada mereka. Sesungguhnya bagi mereka itu azab yang besar.’ [Āli `Imrān 3:105]

Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan jadilah mereka berpuak-puak, tiadalah untuk engkau (wahai Muhammad) akan hal mereka, sesungguhnya hal mereka adalah untuk Allāh, dan Dialah yang kemudiannya akan memberitahu mereka apa yang telah mereka kerjakan.’ [al-An`ām  6:159]

Di antara dalil al-sunnah pula:

Rasūlullāh (s) pernah memberi amaran terhadap perselisihan yang memecah-belahkan apabila baginda bersabda: “Janganlah kamu berbalah lalu menyebabkan hati-hati kamu berselisihan.” [al-Bukhārī di dalam al-Jāmi` al-Saghīr]

Ibnu `Umar juga pernah meriwayatkan bagaimana al-Rasūl (s) sendiri pernah menghalang perselisihan di antara sahabat. Beliau berkata: “Suatu hari aku pergi berjumpa Rasūlullāh (s) ketika beliau sedang berehat pada waktu tengahari. (Ketika aku di sana) al-Rasūl (s) terdengar dua orang sedang bertengkar mengenai suatu ayat al-Qur’ān. Rasūlullāh (s) keluar dengan kemarahan tampak di wajahnya dan berkata: Orang-orang sebelum kamu musnah hanya disebabkan perselisihan mereka mengenai al-Kitāb.” [Ibnu Hazm]

Daripada Ibnu `Umar, bahawa `Umar menyampaikan khutbah di al-Jābiyah dan berkata:

Wahai manusia, aku berdiri di hadapan kamu di tempat berdirinya Rasūlullāh (s) di hadapan kami seraya bersabda: Aku berpesan kepada sahabat-sahabatku, kemudian generasi selepas mereka, kemudian generasi selepas mereka.. Hendaklah kamu bersama al-jama`ah dan jauhilah perpecahan (al-furqah). Sesungguhnya syaitan bersama dengan orang yang berseorangan dan ia semakin jauh daripada dua orang. Sesiapa yang mahukan tempat yang paling bagus di tengah-tengah syurga, dia hendaklah beriltizam dengan jama`ah.” [al-Tirmidhī dalam Kitāb al-Fitān: Hasan sahih gharib. Al-Hākim: Sahih menurut syarat al-Bukhārī dan Muslim, al-Dhahabi setuju]

Daripada Ibnu `Umar, Rasūlullāh (s): “Sesungguhnya Allāh tidak akan menjadikan umatku bersepakat di atas kesesatan. Dan tangan Allāh bersama dengan al-jama`ah, dan sesiapa yang mengasingkan diri, dia mengasingkan dirinya ke neraka.” [al-Tirmidhī]

Sesiapa yang meninggalkan jama`ah sekadar sejengkal lalu dia mati, maka dia mati di dalam jahiliyyah.” [al-Bukhārī, Muslim]

Daripada Anas bahawa Nabi: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya.” [al-Bukhārī, Muslim]

Demi Tuhanku yang diriku di dalam tanganNya, kamu tidak akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman, dan tidaklah kamu beriman sehingga kamu saling berkasih-sayang...” [Muslim]

Daripada Anas bahawa Nabi (s): “Jangan kamu benci-membenci, jangan kamu dengi-berdengki dan jangan kamu belakang-membelakangi, dan jadilah kamu hamba-hamba Allāh yang bersaudara.” [al-Bukhārī, Muslim]

Daripada Abū Hurairah daripada Nabi (s): “Pintu syurga dibuka pada Hari Isnin dan Khamis. Ketika itu dosa setiap hamba yang tidak menyekutukan Allāh diampunkan. Kecuali dosa lelaki yang bertelingkah dengan saudaranya. Lalu dikatakan: Tangguhkan keduanya sehingga mereka berdamai, tangguhkan keduanya sehingga mereka berdamai, tangguhkan keduanya sehingga mereka berdamai.” [Muslim]

Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk penduduk Tanah Arab yang salat menyembahnya, tetapi berusaha untuk merosakkan hubungan antara mereka.” [Muslim]

Daripada Jundub bin `Abdullāh daripada Nabi (s): “Bacalah al-Qur’ān selagi hati-hati kamu bersatu di atasnya. Apabila kamu berselisih, bangun tinggalkannya.” [al-Bukhārī, Muslim]

Hadīth yang terakhir ini membawa maksud perbezaan daripada segi bacaan (sebagaimana contoh `Umar dan Hishām), juga daripada segi makna sebagaimana yang diterangkan melalui hadīth lain: “Apabila kamu melihat orang-orang yang membincangkan ayat-ayat Qur’ān yang mutashabihat, maka berwaspadalah daripada mereka.” [al-Bukhārī, Muslim]

Perselisihan Sebagai Suatu Lumrah

Perbezaan pendapat adalah lumrah alam dan sunnatullah di dalam kejadianNya. Setiap makhluk Allāh yang dikurniakan akal dapat memberikan pandangan, dan makhluk-makhluk Allāh tidak dijadikan olehNya semua serupa.

Perselisihan malah berlaku di antara para malaikat di dalam kisah penciptaan Ādam:

Tidaklah aku mempunya pengetahuan mengenai malaikat-malaikat yang tinggi itu ketika mereka berselisihan.’ [Sād 38:69]

Di dalam kisah penyembahan patung lembu oleh Bani Isrā’īl, Nabi Mūsā dan Nabi Hārūn juga tidak bersependapat:

(Mūsā) Berkata: “Wahai Hārūn! Apa yang menegah engkau apabila engkau melihat mereka sesat? Tidakkah engkau menurut kata-kataku? Telahkah engkau engkar akan arahanku?” (Hārūn) Berkata: “Wahai saudaraku! Janganlah engkau menarik janggutku dan rambutku! Aku takut engkau akan berkata: Engkau telah memecah-belahkan Bani Isrā’īl, dan engkau tidak memerhatikan kata-kataku!” ‘ [Tā Hā 20:92-94]

Begitu juga di antara Nabi Mūsā dan Khidr, yang kisah mereka diceritakan di dalam Surah al-Kahf. Khidr adalah hamba Allāh yang dikurniakan pengetahuan, yang tidak sampai kepada Nabi Mūsā. Maka Nabi Mūsā tidak menyetujuai beberapa perbuatan Khidr, sedangkan perbuatannya itu adalah berdasarkan pengetahuan yang Allāh berikan khusus kepadanya:

(Khidr) Berkata: “Inilah perpisahan di antara aku dan engkau, dan aku akan beritahu engkau apakah maksud (perkara-perkara itu) yang tidak dapat engkau bersabar dengannya.” ‘ [al-Kahf 18:78]

Umat manusia dijadikan pelbagai bangsa, bahasa, kebolehan berfikir, maka mustahil untuk semuanya mempunyai pendapat yang sama. Kefahaman dan kebolehan seseorang menilai sesuatu perkara adalah berbeza dengan orang yang lain. Maka umat Islām tidak mustahil akan berbeza pendapat mengenai perkara-perkara yang tiada panduan nas secara qat`i. Malah menurut al-Qaradāwī, adalah mustahil untuk semua orang berpegang kepada satu pendapat dalam hukum-hakam ibadat, mu`amalat dan furu’-furu’ agama lainnya[3].

Perselisihan adalah rahmat dan kelapangan daripada Allāh untuk umatNya. Perkara yang didiamkan oleh Allāh di dalam KitabNya adalah bertujuan memberi ruang ijtihad dan kelapangan untuk beramal. Sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh `Umar `Abd al-`Azīz: “Aku tidak gembira sekiranya para sahabat Rasūlullāh (s) tidak berselisih pandangan. Kerana jika mereka tidak berselisih pandangan, kita tidak memiliki rukhsah (keringanan).” [al-Bayhaqī, Ibnu `Abd al-Barr]

Perbezaan pendapat sebagaimana di dalam madhhab fiqh bukanlah merupakan kekurangan kepada umat, tetapi sebenarnya adalah kekayaan perbendaharaan ilmu di dalam Islām, seperti yang pernah dikeluarkan sebagai satu resolusi Majma` Fiqh di bawah naungan Rabītah `Alam Islāmī[4].

Perselisihan Yang Dicela

Allāh mencela bentuk perselisihan seperti yang pernah berlaku di kalangan Ahli Kitab, yakni yang berselisih berdasarkan hawa nafsu dan hasad dengki:

Manusia itu adalah ummat yang satu, dan Allāh mengutuskan Nabi-nabi dengan berita gembira dan amaran, dan dengan mereka Dia menurunkan al-Kitāb yang benar untuk menghakimkan manusia dalam perkara-perkara yang mereka perselisihkan. Dan tidaklah berselisih mengenainya kecuali orang-orang yang telah diutuskan bukti-bukti yang nyata, dengan kebencian antara satu dengan yang lain.’ [al-Baqarah 2:213]

Sesungguhnya agama itu di sisi Allāh adalah al-Islām. Tidaklah orang-orang yang telah diutuskan kepada mereka al-Kitāb itu berselisihan melainkan melainkan kerana kebencian dan kedengkian antara mereka. Dan sesiapa yang engkar dengan ayat-ayat Allāh sesungguhnya Allāh itu maha pantas hisab perkiraannya.’ [Āli `Imrān 3:19]

Al-Qur’ān juga memberikan peringatan agar orang-orang beriman tidak berselisih pendapat sehingga membawa kepada perpecahan, sebagaimana yang pernah berlaku sebelum kedatangan Islām kepada masyarakat Arab Jahiliyyah:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allāh dan janganlah kamu berpecah-belah, dan ingatlah pemberian Allāh kepada kamu, ketika kamu dahulunya bermusuhan dengan yang lain dan Dia menyatukan antara hati-hati kamu, dan jadilah kamu dengan nikmatNya bersaudara, dan kamu ketika itu di tepi jurang neraka lalu Dia menyelamatkan kamu. Begitulah Allāh menerangkan ayat-ayatNya supaya kamu mendapat petunjuk.’ [Āli `Imrān 3:103]

Perselisihan yang serius juga boleh membawa kepada hilangnya semangat dan keberanian, terutamanya di dalam keadaan menghadapi musuh-musuh Islām:

Dan taatilah Allāh dan RasūlNya dan janganlah kamu berbantah-bantah antara satu sama lain, kelak kamu hilang keberanian dan kekuatan kamu, dan bersabarlah, sesungguhnya Allāh bersama orang-orang yang sabar.’ [al-Anfāl 8:46]

Kesan-kesan Negatif Perselisihan

Perselisihan yang keterlaluan boleh membawa kepada pergeseran yang serius, dalam bentuk perbalahan, pergaduhan, tuduhan-tuduhan dan kemuncaknya apabila suatu pihak bersedia menumpahkan darah pihak yang berbeza dengannya.

Contoh utama di dalam sejarah umat Islām adalah kelahiran golongan Khawārij selepas daripada zaman al-Rasūl (s). Mereka mempunyai kefahaman mereka yang tersendiri terhadap ayat-ayat al-Qur’ān, mengengkari sekeras-kerasnya dan mengkafirkan Muslim yang berbeza pendapat dengan mereka, dan juga memerangi sahabat besar seperti `Alī bin Abī Tālib. Menurut Ibnu `Abbās golongan Hārūriyyah (nama lain untuk golongan Khawārij) ini adalah sejahat-jahat orang, mereka menggunakan ayat-ayat berkaitan takfir ke atas orang-orang beriman”.

Menurut Sa`īd bin Jubayr antara ayat-ayat mutashabihat yang disalahtafsirkan oleh Khawārij adalah:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

‘Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allāh telah turunkan mereka adalah kafir‘ (al-Mā’idah 5:44) yang selalunya mereka gabungkan dengan ayat ‘kemudian orang-orang yang kafir itu menyamakan Tuhan mereka dengan yang lain.’ (al-An`ām  6:1) Maka mereka membuat keputusan bahawa sesiapa yang tidak memerintah dengan adil telah berbuat kufur, sesiapa yang berbuat kufur telah menyekutukan Allāh maka telah syirik.

Menurut Ibnu `Umar: ‘Mereka (golongan Khawārij) mengkafirkan orang Islām, menghalalkan darah mereka dan merampas harta mereka, mengahwini isteri-isteri mereka ketika di dalam `iddah, dan mengahwini perempuan yang masih bersuami dan suami mereka masih hidup. Aku tidak tahu golongan yang lebih perlu diperangi melainkan mereka.”[5]

Dalam konteks yang lebih kontemporari, terdapat gerakan-gerakan yang ingin menegakkan Islām yang jatuh ke dalam perangkap takfir ini. Antaranya yang dikenali sebagai ‘Jama`ah al-Takfir wa al-Hijrah’, sebagaimana yang diceritakan oleh Yūsuf al-Qaradāwī:

Jama’ah al-Takfir wa al-Hijrah kelihatan menurut jejak Khawārij. Mereka dengan segera mengkafirkan seseorang yang melakukan dosa dan tidak bertaubat serta-merta. Lebih dicela di sisi mereka adalah orang yang tidak menegakkan syariah, dan orang yang taat kepada kerajaan seperti ini. Malah lebih dicela lagi di mata mereka adalah ulama yang tidak secara terbuka mengkafirkan kedua-dua golongan ini...”[6]

Begitu juga perselisihan dalam isu-isu fiqhiyy yang kadangkala membawa kepada perpecahan, apabila pegangan kepada madhhab disertai dengan ta`sub dan kelampauan. Penyokong suatu madhhab akan mengingkari madhhab yang lain, sehingga menyerangnya dan ulama’nya. Malah ada pula yang mengingkari terus perbezaan madhhab ini dan menyeru agar disatukan seluruh madhhab yang ada. Di sinilah juga kita mendengar suatu kumpulan menggelarkan yang lain sebagai ahl al-bid`ah. Terlalu banyak isu yang menjadi bahan perselisihan ini: bacaan basmalah di dalam salat, perkara-perkara yang membatalkan wudu’, cara berpakaian, salat tarawih, adab-adab makan dan minum. Malah sebagaimana yang pernah disaksikan oleh Yūsuf al-Qaradāwī sendiri, ada pula yang menimbulkan isu dalam penggunaan kerusi dan bahan multimedia dalam majlis-majlis ilmu di masjid![7]

Perbezaan di dalam fahaman politik pula kerapkali menjangkau perbezaan di kertas undi semata, lalu melangkah kepada perbalahan dan tuduhan yang dizahirkan dalam bentuk lisan mahupun penulisan. Perbalahan ini kadangkala menjadi serius sehingga mengeruhkan ukhuwwah Islāmiyyah sesama mereka. Malaysia sendiri pernah menyaksikan kesan serius perbezaan ini apabila perbezaan fahaman politik menyebabkan tragedi salat tarawih dan salat Jumaat berlainan imam. Parti yang mendakwa lebih Islāmik menuduh parti yang satu lagi sebagai sekular, memisah-misahkan politik dan agama (malah dibayangkan dengan definisi ‘kafir’!), manakala parti yang satu lagi menuduh parti yang pertama sebagai ‘pelampau’.

Adab-adab Di Dalam Berbeza Pendapat

Menjaga ukhuwwah dan kasih sayang

Perbezaan pendapat tidak seharusnya mengenepikan ikatan ukhuwwah dan perasaan kasih sayang. Contoh terbaik mungkin ditunjukkan oleh para sahabat, yang tetap menjaga kemanisan ukhuwwah dan mengangkat darjat saudaranya meskipun mereka berbeza pendapat dalam beberapa hal.

`Umar dan `Abdullāh bin Mas`ūd diketahui mempunyai perbezaan pendapat dalam beberapa perkara. Di dalam I`lām al-Muwaqqi`īn Ibnu Qayyim menyebutkan mereka berdua berbeza pendapat dalam seratus isu hukum fiqh, tetapi ini tidak sekali-kali mengurangkan perasaan kasih-sayang dan hormat-menghormati di antara mereka. Ini dapat dilihat di dalam sebuah kisah di mana dua orang datang kepada Ibnu Mas`ūd. Seorang daripada mereka diajarkan membaca al-Qur’ān oleh `Umar manakala yang seorang lagi oleh sahabat yang lain. Orang yang pertama berkata: “`Umar bin al-Khattāb yang mengajar aku membaca.” Ibnu Mas`ūd lalu menangis apabila mendengarkan ini dan berkata: “Bacalah sebagaimana `Umar telah mengajarmu membaca. Dia adalah benteng Islām. Apabila orang memasuki benteng ini, mereka tidak pernah meninggalkannya. Tetapi apabila dia dibunuh, benteng ini mula retak.”[8]

Begitu juga sifat yang ditunjukkan oleh imam-imam madhhab, walaupun mereka berbeza pendapat di dalam isu-isu fiqhiyy tetapi mereka tetap mengangkat imam yang lain dengan pandangan tertinggi. Al-Layth bin Sa`d pernah diriwayatkan menemui al-Imām Mālik di Madinah sedang beliau baru kembali daripada menemui Abū Hanīfah. “Aku lihat dahimu dibasahi peluh,” kata al-Layth. “Aku berpeluh kerana pertemuanku dengan Abū Hanifah. Dia benar-benar merupakan seorang faqih, wahai orang Mesir!” kata Mālik. Kemudian al-Layth menemui pula Abū Hanīfah lalu beliau berkata kepadanya: “Betapa bagusnya kata-kata orang ini (Mālik) terhadapmu!” Dan dijawab kembali oleh Abū Hanīfah, “Belum pernah aku menemui seorang yang lebih bijaksana dan amat tajam pandangannya lebih daripada dia.”[9]

Ambil sikap pertengahan dan bukan sifat melampau

Rasūlullāh (s) pernah menggariskan satu garisan dengan tangannya seraya bersabda: “Ini adalah jalan Allāh yang lurus.” Kemudian dia membuat garisan di kanan dan kirinya, lalu bersabda: “Ini adalah jalan-jalan lain. Pada setiap jalan ini terdapat syaitan yang menyeru kepadanya.” Baginda kemudiannya membaca ayat yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu yang betul lurus maka hendaklah kamu menurutinya, dan jangalah kamu menuruti jalan-jalan yang lain (al-An`âm :153).” [Ahmad; sahih menurut Ahmad Shākir, Al-Dhahabī, al-Nasā’ī)

Hadīth ini memberi maksud bahawa al-Rasūl (s) mengingatkan kita agar mengikuti jalan pertengahan yakni jalan Islām, dan agar tidak menyeleweng ke arah jalan-jalan yang melampau.

Ibnu Mas`ūd pernah berkata bahawa Rasūlullāh (s) pernah bersabda: “Binasalah pelampau (al-mutanatta`ūn)”, dikatakannya sebanyak kali. [Muslim]

Menurut al-Nawāwī dalam syarahnya, maksud al-mutanatta`ūn di sini adalah mereka yang terlalu menteliti, melampau dan melanggar batas-batas agama dalam percakapan dan perbuatan.

Begitu juga sabda Rasūlullāh (s) sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu `Abbās: “Berwaspadalah kamu daripada al-ghuluww (sikap melampau) dalam perkara agama. Sesungguhnya orang sebelum kamu telah binasa dengan sebab sikap melampau dalam agama.” (Ahmad, al-Nasā’ī, al-Hākim, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibbān)

Jelas daripada hadīth ini bahawa yang dimaksudkan oleh sikap melampau adalah bertanyakan perkara-perkara yang apabila diterangkan akan mendatangkan kepayahan kepada kita, sebagaimana yang difirmankan oleh Allāh:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan perkara-perkara yang apabila diterangkan kepada kamu akan membawa kepayahan kepada kamu. Dan sekiranya kamu bertanyakan mengenainya ketika al-Qur’ān sedang diturunkan ia akan diterangkan kepada kamu. Dan Allāh memaafkan kamu akannya. Dan Allāh Maha Pengampun dan Maha Penyabar.’ [al-Mā’idah 5:101]

Rasūlullāh (s) bersabda lagi: “Mu’min yang paling besar kesalahannya adalah yang bertanyakan sesuatu yang tidak haram, lantas diharamkan disebabkan pertanyaaan itu.” [al-Bukhārī, Muslim]

Para sahabat tidak bertanya berlebih-lebihan, melainkan apa yang berkaitan dengan diri mereka sahaja. Diriwayatkan daripada Ibnu `Abbās (melalui Hujjah Allāh al-Bālighah oleh al-`Allāmah al-Dahlāwī): “Aku tidak mendapati satu kamu yang lebih baik daripada para sahabat Rasūlullāh (s). Mereka tidak bertanya baginda melainkan tentang 13 isu sehingga semuanya dicatatkan di dalam al-Qur’ān. Antaranya “Mereka bertanya kepadamu mengenai hukum berperang dalam bulan yang dihormati. Katakanlah: Peperangan di dalam bulan itu adalah berdosa besar. (al-Baqarah 2:217). “Dan mereka bertanya kepadamu mengenai haid.” (al-Baqarah 2:222) Kata Ibnu `Abbās lagi: Mereka hanya bertanyakan perkara yang berfaedah kepada mereka.”

Dan daripada Ibnu `Umar pula: “Jangan kamu bertanyakan sesuatu yang belum berlaku. Sesungguhnya aku mendengar `Umar bin al-Khattāb melaknat sesiapa yang bertanyakan sesuatu yang belum berlaku.”[10]

Beri tumpuan kepada ayat muhkamat bukan mutashabihat

Perbincangan mengenai ayat-ayat mutashabihat membuka ruang untuk perdebatan dan pertelagahan, maka ia perlu dijauhi. Allāh Ta`ālā berfirman:

Dialah yang telah menurunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Kitāb, di dalamnya ayat-ayat muhkamat yang merupakan asas kepada al-Kitāb, dan selebihnya ayat-ayat mutashabihat. Maka orang-orang yang di dalam hati mereka kesesatan maka mereka menuruti yang mutashabihat, mencari fitnah dan mencari ta’wilnya, dan tiadalah yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allāh, dan orang-orang yang teguh di dalam ilmu pengetahuan berkata: Kami beriman dengannya, keseluruhannya adalah daripada Tuhan kami dan tiadalah yang memahaminya kecuali orang-orang yang dikurniakan kefahaman.’ [Āli `Imrān 3:7]

Rasūlullāh (s) membaca ayat ini: [Āli `Imrān 3:7] kemudian bersabda: “Apabila kamu melihat orang-orang membincangkan ayat-ayat Qur’ān yang mutashabihat, mereka itulah orang-orang yang dinyatakan oleh Allāh. Oleh itu berwaspadalah terhadap mereka.” [al-Bukhārī, Muslim]

Jangan meletakkan kata putus dalam isu-isu ijtihadi

Penda`wah tidak seharusnya meletakkan kata putus bagi isu-isu yang mempunya lebih daripada satu pendapat atau isu-isu ijtihadi. Apabila ditanya mengenai amalan bertaqlid oleh seseorang dalam isu-isu ijtihad, Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah menjawab: “Segala pujian bagi Allāh. Sesiapa yang beramal dengan pendapat sebahagian ulama dalam isu-isu yang dibenarkan ijtihad, tindakannya tidak diingkari dan pelakunya tidak dipulau. Sesiapa yang beramal dengan salah satu pendapat ulama juga tidak diingkari. Apabila terdapat dua pendapat mengenai sesuatu isu, jika pendapat yang rajih jelas kepadanya, dia hendaklah beramal dengan pendapat tersebut. Jika tidak, dia perlu bertaqlid kepada sebahagian ulama yang boleh dirujuk untuk menjelaskan pandangan yang lebih rajih.”[11]

Maka jelas di sini tiada sebab seseorang perlu mengingkari seseorang yang lain hanya kerana dia berbeza pendapat dengannya di dalam isu-isu yang ada ijtihad di dalamnya. Kemuliaan saudaranya yang berbeza pendapat tetap dijunjung kerana dia yakin pendapatnya – sebagaimana juga pendapat saudaranya – adalah suatu ijtihad!

Memberikan keutamaan kepada masalah-masalah ummat yang besar

Di dalam kemelut umat Islām didatangi pelbagai isu-isu besar seperti isu kemunduran ilmu dan tamaddun, kezaliman sosial dan ekonomi, penguasaan politik, pencerobohan Zionis dan sebagainya, umat Islām perlulah menginsafi dan memberikan isu-isu ini keutamaan (awlawiyyāt). Lebih daripada isu-isu furu’ seperti isu membiarkan janggut, isu ta’wil ayat-ayat Allāh, bacaaan basmalah dalam salat, pakaian labuh melebihi buku lali dan yang seumpamanya!

Isu kesatuan ummah adalah lebih besar daripada isu khilafiah fiqhiyyah. Ini dapat dilihat dengan apa yang dilakukan oleh al-Imām Hasan al-Bannā dalam suatu kisah di sebuah kampung di Mesir, di mana berlaku perselisihan antara golongan yang mengatakan Tarawih 20 rakaat (menurut sunnah `Umar) dengan yang mengatakan lapan rakaat (menurut sunnah Nabi), sehingga masing-masing menuduh yang lain bid`ah. Lalu ditanyakan oleh al-Imām: ‘Apakah hukum salat tarawih?’ dan dijawab oleh mereka: ‘Sunnah, yang melakukannya mendapat pahala yang meninggalkannya tidak berdosa.’ Lalu ditanya pula oleh al-Imām: ‘Apakah hukum ukhuwwah antara Muslim?’ dan dijawab oleh mereka: ‘Fardu, dan ia adalah antara asas-asas iman.’ Maka kata al-Imām: ‘Adakah maka ia masuk akal atau dibenarkan untuk meninggalkan sesuatu fardu untuk seseuatu sunnah?’

Kata Ibnu Taymiyyah pula: ‘Mengambil kira kesatuan (ummah) adalah jalan yang benar. Bacaan basmalah boleh dibaca kuat untuk memenuhi maslahat. Adalah juga disarankan untuk meninggalkan yang afdal demi menjaga keharmonian dan keakraban.‘[12]

Bertolak ansur dalam perkara-perkara yang diperselisihkan

Menginsafi bahawa perbezaan pendapat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, para `ulama mengambil sikap memaafi akan mereka yang berbeza pendapat dengannya, sebagaimana yang diungkapkan oleh Muhammad Rashīd Ridā: “Bekerjasama di dalam perkara yang kita persetujui mengenainya, dan memaafkan di dalam perkara yang kita berbeza mengenainya.”[13]

Beginilah juga yang kemuliaan yang ditunjukkan oleh imam-imam terdahulu. Al-Imām Abū Hanīfah dan al-Imām al-Shāfi`ī menjadi ma’mum kepada imam-imam Madinah yang bermadhhab Māliki walaupun mereka tidak membaca bismillah samaada perlahan atau kuat. Begitu juga al-Shāfi`ī telah sembahyang berdekatan kubur Abū Hanifah tanpa membaca qunut kerana beradab dengan Abū Hanifah.[14]

Kalaulah imam-imam ini dapat menunjukkan ketinggian budi di sebalik perbezaan mereka, kenapa pula tidak kita?

Bersabar terhadap mereka yang mengucapkan Lâ Ilâha Illa Allāh

Islām menjaga sebaik-baiknya hak seorang yang bergelar Muslim, yakni yang telah mengucapkan kalimah shahadah. Jadi atas hak apakah seseorang Muslim yang lain dengan mudah boleh mengatakan kepadanya bahawa dia adalah seorang kafir?

Menurut sebuah hadīth marfu` Ibnu `Umar: “Apabila seseorang berkata kepada saudaranya: Wahai si kafir, panggilan tersebut menimpa salah seorang daripada mereka berdua, sekiranya dia sebagaimana yang dikatakan, jika tidak ia kembli kepada pemanggilnya.” [al-Bukhārī, Muslim, Mālik, al-Tirmidhī, Abū Daud]

Ibn `Umar juga pernah meriwayatkan Rasūlullāh (s) sebagai bersabda: ‘Bersabarlah terhadap pengucap Lā Ilāha Illā Allāh. Jangan kamu mengkafirkan mereka kerana sesuatu dosa. Sesiapa yang mengkafirkan pengucap Lā Ilāha Illā Allāh dia lebih hampir dengan kufur.” [al-Tabrānī]

Atas dasar inilah majoriti imam-imam Ahl al-Sunnah berpendapat bahawa golongan Khawārij adalah Muslim walaupun mereka sangat keras dengan Muslim yang lain. Kata al-Khattabi: ‘Walaupun Khawārij telah sesat daripada jalan yang lurus, ulama Islām bersependapat bahawa mereka adalah golongan orang Islām.’ Kata al-Ghazzālī dalam al-Tafrīqah bayn al-Imān wa al-Zindīqah: ‘Seseorang harus bersikap amat berhati-hati dalam mengatakan seseorang itu kafir. Untuk membiarkan seribu kuffar hidup adalah kurang keburukannya berbanding menumpahkan darah seorang Muslim.'[15]

Al-Imām Hasan al-Bannā menyimpulkan adab-adab terhadap perbezaan pendapat ini di dalam risalah Da`watunā (Da`wah Kami), yang di dalamnya digariskan sikap yang perlu diambil Ikhwān al-Muslimīn (malah sepatutnya oleh setiap Muslim!), termasuklah:

  • Bersatu bukan berpecah
  • Perselisihan pasti berlaku
  • Mustahil sepakat dalam isu-isu furu’
  • Keuzuran untuk mereka yang tidak bersependapat

Penutup – Sikap Kita Terhadap Perselisihan

Setelah menginsafi bahawa perbezaan pandangan adalah suatu lumrah alam dan fitrah kejadian makhluk yang mengkayakan ilmu dan kehidupan, kita juga menginsafi bahawa perbezaan di dalam perkara-perkara furu’ tidaklah lebih besar daripada kewajipan menjaga ikatan ukhuwwah dan akhlaq Muslim. Cukuplah dengan segala cabaran dan tentangan daripada luar yang tidak kunjung habis melanda umat Islām ini, kita tidak memerlukan perpecahan dari dalam yang akan lebih melemahkannya, yang datang daripada mereka yang jahil, yang mengambil sikap melampau dan yang mengutamakan pendapat dan kumpulan mereka lebih daripada ukhuwwah Islāmiyyah.

Begitu indah kata-kata al-Imām Hasan al-Bannā mengenai sikap yang sepatutnya kita ambil di dalam berbeza pandangan ini:

Ikhwān al-Muslimīn amat memahami segala aspek ini. Oleh kerana itu mereka adalah orang yang paling bersikap terbuka dengan orang yang berbeza pendapat dengan mereka. Mereka menyedari bahawa setiap orang mempunyai ilmu, juga bahawa masing-masing mungkin benar dan mungkin silap. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari kebenaran, dan berpegang teguh padanya. Dan mereka berusaha dengan penuh kesabaran dan simpati, untuk meyakinkan orang-orang yang tidak sependapat dengan mereka untuk memahami pandangan mereka. Terserahlah kepada orang itu meyakininya. Jika tidak meyakininya, mereka masih merasakannya sebagai saudara seagama. Dan kami memohon agar kita semua mendapat hidayah Allāh.”[16]

ﻭﺍﷲ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﺃﻋﻠﻢ


Rujukan

Abū Ameenah Bilal Philips, The Evolution of Fiqh, Tawheed Publications (Riyadh), 1988.

Hasan al-Bannā, Majmū`āt Rasā’il (terjemahan Inggeris Majmū`āt Rasā’il), terjemahan oleh IIFSO, IIFSO (Kuwait).

Hasan al-Bannā, Himpunan Risalah (terjemahan Melayu Majmū`āt Rasā’il), terjemahan oleh Salehan Ayub, Pustaka Salam (KL), 2003.

J Milton Cowan, The Hans Wehr Dictionary of Modern Written Arabic, Spoken Language Services (New York), 1976.

Muhammad Khalil Harras, Sharh al-`Aqīdah al-Wāsitiyyah (terjemahan Inggeris Sharh al-`Aqīdah al-Wāsitiyyah, syarah kepada al-`Aqīdah al-Wāsitiyyah oleh Shaikh al-Islām Ibnu Taymiyyah), terjemahan oleh Muhammad Rafiq Khan, Darussalam (Riyadh), 1996.

Muhammad Zakariyya al-Kandahlāwī, The Differences of The Imams (terjemahan Inggeris Ikhtilāf al-A’immah), terjemahan oleh Muhammad Kadwa, White Thread Press (USA), 2004

Tāhā Jābir al-`Alwānī, The Ethics of Disagreement (terjemahan Inggeris Adāb al-Ikhtilāf fī al-Islām), terjemahan oleh Abdul Wahid Hamid, IIIT (USA), 1993.

Yūsuf al-Qaradāwī, Kebangkitan Islām – Di Antara Perselisihan Yang Dibenarkan dan Perpecahan Yang Dicela (terjemahan Melayu Al-Sahwah al-Islāmiyyah bayna al-Ikhtilāf al-Mashrū` wa al-Tafarruq al-Madhmūm), terjemahan oleh Pustaka Salam, Pustaka Salam (KL), 2004.

Yūsuf al-Qaradāwī, Islāmic Awakening – Between Rejection and Extremism (terjemahan Inggeris Al-Sahwah al-Islāmiyyah bayna al-Juhūd wa al-Tatarruf), terjemahan oleh A.S. Al-Shaikh Ali, Mohamed Wasfy, IIIT (USA), 1991.

Yūsuf al-Qaradāwī, Fatwa Masa Kini: Jilid 5 & 6 (terjemahan Melayu Fatāwā Mu`āsirah), terjemahan oleh Zaidi Jalil, Engku Muhammad Tajuddin, Norman, Pustaka Salam (KL), 1995.


Nota Akhir

[1] Abu Ameenah Bilal Philips, p. 52

[2] Tāhā Jābir al-`Alwānī, pp. 11-13

[3] Yūsuf al-Qaradāwī, Kebangkitan Islam – Di Antara Perselisihan Yang Dibenarkan dan Perpecahan Yang Dicela, p. 71

[4] ibid. pp. 94-98

[5] Yūsuf al-Qaradāwī, Islamic Awakening – Between Rejection and Extremism, pp. 69-70

[6] ibid. p. 44

[7] ibid. p. 37

[8] Tāhā Jābir al-`Alwānī, pp. 48

[9] ibid. p. 98

[10] Yūsuf al-Qaradāwī, Kebangkitan Islam – Di Antara Perselisihan Yang Dibenarkan dan Perpecahan Yang Dicela, p. 125

[11] ibid. pp. 130

[12] Yūsuf al-Qaradāwī, Islamic Awakening – Between Rejection and Extremism, p. 125

[13] Yūsuf al-Qaradāwī, Kebangkitan Islam – Di Antara Perselisihan Yang Dibenarkan dan Perpecahan Yang Dicela, p. 184

[14] Yūsuf al-Qaradāwī, Fatwa Masa Kini: Jilid 5 & 6, pp. 209-210

[15] Yūsuf al-Qaradāwī, Islamic Awakening – Between Rejection and Extremism, p. 111

[16] Hasan al-Bannā, Majmu`at Rasa’il, pp 106-107; Hasan al-Banna, Himpunan Risalah, pp 42-43

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s