Lafaz Niat: Satu Analisis Hukum

Al-Talaffuz bi Al-Niyyah Dalam Ibadah: Satu Analisis Hukum

Pendahuluan

Al-talaffuz bi al-niyyah atau perbuatan melafazkan niat merupakan sebahagian daripada amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia. Ia kebiasaannya dibacakan sejurus sebelum melakukan sesuatu ibadah khusus. Bukan sahaja pengamalannya yang meluas, malah konsep ini telah diajarkan di dalam kurikulum pendidikan dan juga diterbitkan melalui media-media terbitan.

Semua orang yang telah menjalani sistem pendidikan kerajaan di Malaysia mengetahui tentang lafaz niat, terutamanya untuk ibadah yang kerap dibuat seperti salāt dan puasa. Maka tidak hairanlah penggunaannya yang amat meluas di kalangan masyarakat Islam Malaysia. Apabila salāt di masjid kita kerap terdengar ahli jamaah di sebelah kita melafazkan niat salātnya, atau muslimin yang melafazkan niat wudu’nya ketika mengambil wudu’. Penulis juga berasal daripada suatu kampung yang masyarakat tempatannya melazimi melafazkan niat puasa Ramadan dengan kuat setiap kali habis salāt witr di masjid atau surau.

Kajian ringkas ini bertujuan untuk mengkaji dengan pendekatan yang objektif beberapa pandangan `ulama’ terhadap perbuatan al-talaffuz bi al-niyyah, dan merumuskannya sebagai satu kajian hukum.


Definisi

Niat

Menurut bahasa niat (atau bahasa Arabnya niyyah ﻧﻴﺔ) bermaksud qasad (tujuan hati) dan juga irādah (kehendak hati). Manakala daripada sudut syara` niat ialah tergerak hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari reda Allāh, dan menyatakan perasaan tunduk dan patuh kepada perintahNya[1].

Lafaz

Menurut bahasa talaffuz berasal daripada perkataan lafaza ﻟﻔﻇ yang bererti mengeluarkan, menyebut, berkata; Maka talaffuz ﺗﻠﻔﻇ bererti sebutan atau perbuatan menyebut (pronunciation, enunciation, articulation di dalam Inggeris).

Kepentingan Niat Di Dalam Amal

Niat mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam amal seseorang, kerana pada niat itu terletak kedudukan penerimaan amalnya di sisi Allāh Ta`ālā. Kepentingan niat ini digambarkan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan di dalam sahihayn:

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : ” إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ ، وَإِنَّمَا لامْرِئٍ مَا نَوَى ، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجَهَا ، فَهِجْرَتُهُ لِمَا هَاجَرَ لَهُ”

Maksudnya: Daripada `Umar bin al-Khattāb berkata, aku mendengar Rasūlullah (s) bersabda: “Sesungguhnya segala amalan itu adalah dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allāh dan RasūlNya maka hijrahnya kepada Allāh dan RasūlNya. Dan siapa yang berhijrah kepada dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang dia berhijrah kepadanya.” [al-Bukhārī, Muslim]

Ketinggian nilai agama di dalam hadith ini digambarkan apabila al-Imām al-Shāfi`ī dan imam-imam lain berpendapat hadith ini adalah sepertiga Islam[2]. Sesuatu amal itu dinilai pada niat orang yang mengerjakannya, sehinggakan para ulama’ menetapkan niat itu sebagai suatu rukun kepada amal-amal ibadah asasi seperti salāt, puasa dan sebagainya.

Di dalam kepentingan niat ini jugalah terkandungnya maksud keikhlasan di dalam beramal, dan amal itu hanya akan diterima apabila ia diniatkan dengan seikhlas hati untuk mencari reda Allāh Ta`ālā. Apabila niat itu berubah daripada keikhlasan ini, contohnya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia lain, maka amal itu walaupun baik pada zahirnya, ia tertolak di sisi agama.

Firman Allāh Ta`ālā, maksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allāh dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan yang demikian itulah agama yang benar.” [al-Bayyinah 98:5]

Pandangan Yang Membolehkan al-Talaffuz bi al-Niyyah

`Ulama’ bersepakat bahawa tempat niat itu adalah di dalam hati, tetapi persoalannya adakah dibenarkan di sudut syara` untuk melakukan al-talaffuz bi al-niyyah (atau lafaz niat) itu?

Di dalam Fiqh `Ibādah al-Muyassar, Dr Muhammad Khalaf al-Qazal ada menyebut bahawa dibenarkan melafazkan niat ketika hendak salāt:

Yang dimaksudkan dengan niat adalah menuju dan berazam untuk mengerjakan sesuatu. Tempat niat adalah hati dan disunatkan untuk melafazkan niat.’[3] [4]

Apabila ditanya tentang perbuatan al-talaffuz bi al-niyyah di dalam salāt, puasa dan haji, K. H. M. Syafi`i Hadzami[5] mengatakan ia adalah termasuk di antara perkara mustahabb ataupun sunat, berdasarkan qaul muta’akhirin al-Shāfi`ī, dan dinyatakan `illah sunatnya sebagai ‘agar lidah menolong hati’  (ﺍﻟﻘﻠﺐ ﺍﻟﻠﺴﺎﻦ ﻟﻴﻌﺎﻭﻥ).

Dengan menyebutkan dengan perkataan, ia membantu menumpukan fikiran, hujjahnya. Beliau mengumpamakan hal ini sebagai seorang penjual yang mengira barang jualannya dengan lafaz, dan lafaz itu mendatangkan faedah kepadanya untuk membantunya mengingat di dalam hati.

Perbuatan al-talaffuz sebagaimana perbuatan-perbuatan lain, akan dicatat oleh malaikat dan dinilai baik atau buruknya. Pada pandangan beliau lafaz niat – berdasarkan kesannya yang membantu menetapkan hati – termasuklah di antara perbuatan yang dicatatkan sebagai amal yang baik di sisi Allāh Ta`ālā, maksudnya: “… kepada Allāhlah naiknya segala perkataan yang baik…” [Fātir 35:10]

K. H. M. Syafi`i Hadzami tetap menyatakan bahawa perbuatan lafaz niat itu bukan sebahagian daripada hakikat ibadah itu, bahkan sesuatu yang di luar daripadanya. Walaubagaimanapun ia dikira mustahabb berdasarkan `illah yang disebutkan tadi.

K. H. M. Syafi`i Hadzami juga mengatakan terdapat dalil al-talaffuz bi al-niyyah, antaranya:

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” يُلَبِّي بِالْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ جَمِيعًا ” ، قَالَ بَكْرٌ : فَحَدَّثْتُ بِذَلِكَ ابْنَ عُمَرَ ، فَقَالَ : لَبَّى بِالْحَجِّ وَحْدَهُ ، فَلَقِيتُ أَنَسًا ، فَحَدَّثْتُهُ بِقَوْلِ ابْنِ عُمَرَ ، فَقَالَ أَنَسٌ : مَا تَعُدُّونَنَا إِلَّا صِبْيَانًا ، سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : ” لَبَّيْكَ عُمْرَةً وَحَجًّا “

Daripada Anas (r): “Aku mendengar Rasūlullāh (s) menunaikan panggilan Allāh dengan melakukan haji dan umrah bersama-sama… Baginda seraya berkata: ‘Aku datangi panggilanMu Ya Allāh, aku lakukan haji dan umrah.’ ” [al-Bukhārī, Muslim]

Manakala diriwayatkan oleh `Ā’ishah (r):

قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ : ” يَا عَائِشَةُ ، هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ ؟ ” ، قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، مَا عِنْدَنَا شَيْءٌ ، قَالَ : ” فَإِنِّي صَائِمٌ “

Maksudnya: “Rasūlullāh (s) berkata kepadaku suatu hari: “Wahai `Ā’ishah, adakah padamu sesuatu untuk dimakan?” Kata `Ā’ishah: Aku menjawab: Wahai Rasūlullāh, tiada pada kami sesuatu. Baginda bersabda: “Maka sesungguhnya aku berpuasa.” [Muslim]

Dan daripada Jābir (r):

شَهِدْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْأَضْحَى بِالْمُصَلَّى ، فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ عَنْ مِنْبَرِهِ ، فَأُتِيَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ ، وَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، هَذَا عَنِّي وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي “

Maksudnya: “Aku pernah salāt bersama Rasūlullāh (s) pada `Id al-Adha, dan apabila tamat khutbahnya baginda turun daripada mimbar dan datang seseorang membawa seekor biri-biri, baginda pun menyembelihnya sambil berkata: ‘Dengan nama Allāh, Allāh Maha Besar. Hai Tuhanku, inilah qurban daripadaku dan untuk mereka yang tidak berqurban daripada umatku.’ ” [al-Tirmidhī, al-Bayhaqī, Ibnu Khuzaimah]

Ketiga-tiga hadith ini dikatakan oleh K. H. M. Syafi`i Hadzami sebagai dalil Rasūlullāh (s) melakukan al-talaffuz bi al-niyyah.

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhajī tidak disebutkan dengan mengenai lafaz niat ketika salāt, manakala di dalam bab puasa disebutkan:

(Niat) iaitu kehendak (qasad) melakukan puasa. Tempatnya di hati, tidak cukup dengan hanya melafazkannya dengan lidah, dan tidak disyaratkan melafazkannya.’[6]

Perlu diperhatikan juga bahawa al-Imām Muhammad bin Idris al-Shāfi`ī tidak membincangkan perihal lafaz niat di dalam kitabnya al-Umm (bab Salāt ataupun Puasa). Beliau membincangkan tentang kepentingan niat, tentang orang yang tertinggal, lupa dan berubah niatnya, tetapi tidak disebutkan tentang lafaz niat.

Di dalam banyak bahan-bahan pengajaran dan terbitan di Malaysia, penggunaan lafaz niat bagi `ibadah khusus amat meluas. Walaupun tiada yang mengatakannya sebagai satu kewajipan atau rukun kepada `ibadah, tetapi ia dikatakan sebagai sesuatu yang digalakkan, kerana dengannya dapat menetapkan hati orang yang melakukannya. Contoh terbitan umum yang mengandungi konsep lafaz niat ini adalah risalah Panduan Fardhu `Ain oleh al-Ustaz Ismail Kamus dan risalah Ibadat Haji dan Umrah terbitan Lembaga Tabung Haji. Manakala contoh bahan teks pendidikan di peringkat sekolah adalah Risālah al-Fiqh wa al-Tawhīd[7] yang ditulis oleh Ghazālī bin Sirāj.

Contoh-contoh Lafaz Niat[8]

Bagi yang berpandangan dibolehkan melafazkan niat, terdapat lafaz niat tersendiri bagi semua `ibadah khusus. Sebagai contoh, lafaz niat ketika wudu’ berbunyi:

ﻧﻮﻳﺖ ﺍﻟﻮﺿﻮﺀ ﻟﺮﻓﻊ ﺍﻟﺤﺪﺙ ﺍﻷﺻﻐﺮﻓﺮﺿﺎ ﷲ ﺗﻌﺎﻟﻰ

Maksudnya: “Sahaja aku wudu’ kerana mengangkat hadath kecil fardu kerana Allāh Ta`ālā.”

Untuk salāt fardu zuhur ia berbunyi:

ﺃﺻﻠﻲ ﻓﺮﺽ ﺍﻟﻈﻬﺮﺃﺭﺑﻊ ﺭﻛﻌﺎﺕ ﻣﺳﺘﻗﺒﻞ ﺍﻟﻘﺒﻠﺔ ﺃﺩﺍﺀ ﷲ ﺗﻌﺎﻟﻰ

Maksudnya: “Sahaja aku salāt fardu zuhur empat raka`at mengadap qiblat tunai kerana Allāh Ta`ālā.”

Begitu juga akan salāt –salāt lain juga mempunyai lafaz niat yang khusus, contohnya:

ﺃﺻﻠﻲ ﺳﻨﺔ ﺍﻟﺘﺮﺍﻭﻳﺢ ﺭﻛﻌﺘﻴﻦ ﻣﺄﻣﻮﻤﺎ ﷲ ﺗﻌﺎﻟﻰ

Maksudnya: “Sahaja aku salāt sunat tarawih dua raka`at ma’mum kerana Allāh Ta`ālā.”

Dapat dilihat bahawa di dalam lafaz niat itu mengandungi jenis-jenis dan ciri-ciri `ibadah yang hendak dilakukan, dan diakhiri dengan meniatkannya untuk Allāh Ta`ālā.

Ibadah puasa juga mempunyai niat yang khusus, dibaca pada malam sebelum berpuasa. Contohnya:

ﻧﻮﻳﺖ ﺻﻮﻡ ﻏﺪ ﻋﻦ ﺃﺩﺍﺀ ﻓﺮﺽ ﺷﻬﺮ ﺭﻣﻀﺎﻥ ﻫﺬﻩ ﺍﻟﺴﻨﺔ ﷲ ﺗﻌﺎﻟﻰ

Maksudnya: “Aku berniat untuk puasa pada esok hari bagi menunaikan fardu bulan Ramadan pada tahun ini kerana Allāh Ta`ālā.”

Manakala lafaz niat bagi menunaikan haji dinyatakan sebagai:

ﻧﻮﻳﺖ ﺍﻟﺤﺞ ﻭﺃﺣﺮﻣﺖ ﺑﻪ ﷲ ﺗﻌﺎﻟﻰ

Maksudnya: “Aku berniat untuk menunaikan haji dan aku berihram dengannya kerana Allāh Ta`ālā.”[9]

Pandangan `Ulama’ Yang Tidak Membolehkan

Banyak `ulama’ yang tidak membolehkan perbuatan al-talaffuz bi al-niyyah berdasarkan teladan daripada Rasūlullah (s) dan para sahabat. Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah menerangkan salāt Nabi Muhammad (s) di dalam karyanya Zād al-Ma`ād:

Jika Rasūlullah (s) berdiri untuk salāt, maka beliau mengucapkan Allāhu Akbar, tanpa mengucapkan apa pun sebelumnya, tidak melafazkan niat dan (tidak) seorang pun di antara sahabat, tabi`in dan imam yang empat pernah melakukannya.’ [10]

Ibnu al-Qayyim juga pernah dikatakan menyebut:

Niat itu adalah matlamat dan tujuan sesuatu. Ia adalah syarat di dalam hati, dan ia tidak datang daripada lidah. Dengan sebab itu al-Nabī (s) dan sahabat-sahabat baginda tidak pernah melafazkan niat mereka. Apa yang telah diperkenalkan ke dalam perkara ini dalam perbuatan taharah dan salāt datang daripada Syaitan, dan ia adalah perangkap untuk mereka yang tidak pasti bagaimana untuk melakukannya. Engkau akan mendapati mereka melakukannya berulangkali, tetapi ia adalah bukan sekali-kali sebahagian daripada salāt.’ [11]

Pandangan yang sama dikeluarkan oleh al-Sayyid Sābiq ketika membincangkan permasalah niat ketika wudu’, salāt dan puasa dan hajj. Contohnya di dalam hal niat ketika wudu’ al-Shaykh berkata:

Ia adalah kehendak melakukan amal itu dan untuk mendapat reda Allāh dengan melakukan suruhannya. Ia adalah semata-mata perbuatan hati, kerana lidah itu tiada kena-mengena dengannya. Melafazkannya adalah bukan sebahagian daripada syari`at Islam.’ [12]

Maka berdasarkan panduan daripada al-Rasūl (s) dan para sahabat, perbuatan al-talaffuz bi al-niyyah jelas tidak mempunyai dalil. Atas dasar ini ia tidak dibolehkan pada pandangan sebahagian besar `ulama.

Kembali kepada definisi niat yang asal, ia sebenarnya adalah perbuatan hati dan bukannya perbuatan lisan. Al-Shaykh Muhammad Nāsir al-Dīn al-Albānī menaqalkan pandangan al-Imām al-Nawāwī (daripada karya Rawdah al-Tālibīn) ketika membincangkan hal niat ketika salāt:

Niat itu adalah tujuan, maka seseorang yang hendak salāt mendatangkan ke fikirannya salāt itu dan apa yang berkaitan dengannya, seperti salāt apakah ia, samaada ia wajib atau lainnya, dan dia mendatangkan semua perkara ini ke dalam niatnya bersama takbir yang pertama.’ [13]

Begitu juga pandangan al-Shaykh `Abd al-`Azīz bin `Abd Allāh bin Bāz di dalam membincangkan permasalahan niat, antaranya:

Tiada apa-apa asal dalil bagi melafazkan niat ketika memulakan sembahyang mengikut hukum syara` yang murni, dan ia juga tidak didapatinya, dihafal atau didengar daripada Nabi (s) dan juga para sahabat (r). Sesungguhnya tempat niat itu di dalam hati.’[14]

Al-Shaykh malah berpandangan perbuatan melafazkan niat ini merupakan suatu bid`ah kerana tidak terdapat dalil syara` mengenainya (untuk semua `ibadah khusus melainkan untuk ihram kerana terdapat sandaran hadith mengenainya).[15]

Pandangan al-talaffuz bi al-niyyah merupakan suatu bid`ah ini disebut juga oleh beberapa `ulama’ lain, seperti Salīm al-Hilālī dan `Alī Hasan `Alī `Abd al-Hamīd ketika membincangkan perihal puasa[16], dan Hāfiz Salāhuddīn Yūsuf ketika mensyarahkan Riyād al-Sālihīn oleh al-Imām al-Nawāwī. [17]

Di dalam karya masyhur Talbīs Iblīs, Ibnu al-Jawziyy turut menyatakan bahawa perbuatan melafazkan niat adalah di antara penipuan iblis, sebagaimana yang dibincangkan oleh al-Imām di dalam hal wudu’ dan salāt. Kata al-Shaykh:

Kerana sesungguhnya niat itu adalah dengan hati bukan dengan lafaz, dan lakonan lafaz itu adalah satu perkara yang tidak diperlukan, dan ikrar niat itu tiada punya makna apa-apa.’ [18]

Dan di dalam karya berkenaan, pentahqiq Mustafā bin al-`Adawiyy menambah lagi:

Mengucapkan kuat niat di dalam ibadah tahārah, salāt, puasa, haji dan seumpamanya itu merupakan bid`ah munkarah menurut persetujuan imam-imam Muslimin terdahulu seperti para imam yang empat dan yang lainnya. Kecuali sebahagian daripada yang terkemudian seperti pengikut (al-Imām) al-Shāfi`ī dan Abū Hanīfah dan Ahmad yang menyukai lafaz niat itu dengan senyap untuk mendatangkan keyakinan, manakala sebahagian daripada pengikut (al-Imām) Mālik dan Ahmad berkata: Bahkan ia bid`ah kerana Rasūlullah (s) atau sahabat atau seorang pun daripada tabi`in pernah melakukannya… dan inilah yang lebih tepat dan yang dipilih oleh Shaykh al-Islām (Ibnu Taymiyyah)…’ [19]

Begitulah beberapa pandangan `ulama’ terhadap isu al-talaffuz bi al-niyyah. Ramai di antara mereka yang tidak membenarkannya dan tidak menganggapnya sebahagian daripada syara` kerana nyata tidak terdapat dalil nas daripada al-Rasūl (s), para sahabat mahupun tabi`in mengenainya. Malah ada di antara mereka yang mengatakannya sebagai suatu perbuatan bid`ah yang harus dijauhi.


Kesimpulan

Nyata daripada perbincangan di atas bahawa para `ulama’ bersatu mengenai keutamaan niat di dalam ibadah dan bahawa tempat niat itu adalah di dalam hati. Walaupun ada yang berpandangan dibolehkan lafaz niat tetapi banyak `ulama’ terdahulu dan terkemudian berpandangan ia bukan daripada syari`at berdasarkan panduan sunnah al-Rasūl (s), sahabat dan tabi`in, malah ada yang menyatakannya sebagai bid`ah yang munkar.

Maka sikap kita di dalam isu ini sebaiknya adalah mengambil pandangan yang lebih sejahtera yakni yang paling hampir kepada tuntunan al-Sunnah, dan jelas sekali tuntunan al-Sunnah tidak menyifatkan perbuatan al-talaffuz bi al-niyyah sebagai sebahagian daripada syari`at Islam yang murni.

Sesungguhnya sebaik-baik panduan adalah panduan al-Rasūl (s).

ﻭﺍﷲ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﺃﻋﻠﻢ


Rujukan

`Abd al-`Azīz bin `Abd Allāh bin Bāz, Hajj, Umrah and Ziyarah (terjemahan Inggeris al-Tahqīq wa al-Idah li Kathīr min Masā’il al-Hajj wa al-`Umrah wa al-Ziyārah `ala Daw` al-Kitāb wa al-Sunnah), terjemahan oleh Ibrahim M. Kunna, Darussalam (Arab Saudi), 1996.

`Abd al-`Azīz bin `Abd Allāh bin Bāz, Fatwa-fatwa Penting Tentang Sembahyang, terjemahan oleh Masruhan bin Kyai Choteb al-Hafiz, Pustaka Muda.

Abdul Rahmān Mat, 75 Solat-solat Sunat Serta Doa dan Wirid, Darul Nu`man, 2003.

Al-Sayyid Sābiq, Fiqh al-Sunnah, Jilid 1, 2 (terjemahan Inggeris Fiqh al-Sunnah), terjemahan oleh Muhammad Sa`īd Dabas, Jamāl al-Dīn M. Zarabozo, Mujahideen Islamic Propagation Services (Pakistan).

Ghazālī bin Sirāj, Risālah al-Fiqh wa al-Tawhīd, Jabatan Agama Islam Selangor, 1990.

Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah, Zādul Ma`ād (terjemahan Melayu dan ringkasan Zād al-Ma`ād), terjemahan oleh Kathur Suhardi, Pustaka Azzam (Indonesia), 2000.

Ismail Kamus, Panduan Fardhu `Ain, Percetakan Watan, 1978.

J Milton Cowan, The Hans Wehr Dictionary of Modern Written Arabic, Spoken Language Services (New York), 1976.

Jamāl al-Dīn Abī al-Faraj ‘Abd al-Rahmān bin al-Jawziyy, Talbīs Iblīs, tahqiq oleh Mustafā bin al-`Adawiyy, Dar Ibnu Rajab, 2003.

K. H. M. Syafi`i Hadzami, Seratus Masalah Agama Jilid 1-5, Victory Agencie, 1988.

Lembaga Tabung Haji, Ibadat Haji dan Umrah, Lembaga Tabung Haji, 1995.

Muhammad bin Idris al-Shāfi`ī, Al-Umm (Kitab Induk) Jilid 1, 2 dan 3 (terjemahan Indonesia Al-Umm), terjemahan oleh H. Ismail Yakub, C. V. Faizan (Indonesia), 1982.

Muhammad Khalaf al-Qazal, Fikah Ibadat Mazhab Imām Syafi‘ī (terjemahan Melayu Fiqh `Ibādah al-Muyassar), terjemahan oleh H. M. Yūsuf Sinaga dan Norhasanuddin, Perniagaan Jahabersa, 2005.

Muhammad Nāsir al-Dīn al-Albānī, The Prophets Prayer Described (terjemahan Inggeris Sifat Salāt al-Nabī min al-Takbīr ila al-Taslīm Ka’annaka Tarāhā), terjemahan oleh Usāma ibn Suhaib Hasan, Jam`iat Ihyaa’ Minhaaj al-Sunnah (UK), 1998.

Muhyiddīn Abū Zakariyyā Yahyā bin Sharaf al-Nawāwī, Hadith 40: Terjemahan dan Syarahnya (terjemahan Melayu dan syarah kepada Matn al-Arba`īn), terjemahan dan syarah oleh Mustafā `Abd al-Rahmān, Dewan Pustaka Fajar, 1998.

Muhyiddīn Abū Zakariyyā Yahyā bin Sharaf al-Nawāwī, Riyād al-Sālihīn Vol. 1 (terjemahan Inggeris dan syarah kepada Riyād al-Sālihīn), terjemahan dan syarah oleh Hāfiz Salāhuddīn Yūsuf, Darussalam (Arab Saudi), 1998.

Mustafā al-Khin, Mustafā al-Bughā, `Alī al-Sharbajī, Kitab Fekah Mazhab Syafie Jilid 1 dan 2 (terjemahan Melayu al-Fiqh al-Manhaji), terjemahan oleh Ridzuan Hashim, Juanda Jaya, Azizi Ismail, Mohd Asri Hashim, Salehan Ayub, Pustaka Salam, 2005.

Salīm al-Hilālī, `Alī Hasan `Alī `Abd al-Hamīd, Fasting in Ramadan As Observed by The Prophet (s), (terjemahan Inggeris Sifat Sawm al-Nabī), terjemahan oleh Abū Talhah Dawūd ibn Ronald Burbank, Al-Hidayah Publishing and Distribution (UK), 1995.

Nota Akhir

[1] Mustafā `Abd al-Rahmān, p. 57.

[2] Ibid., p. 56.

[3] Muhammad Khalaf al-Qazal, p. 67.

[4] Terdapat sedikit perbezaan apabila Dr Muhammad Khalaf menyatakan pensyariatan niat di dalam bab Puasa: “Tempat niat adalah hati. Tidak disyariatkan melafazkan niat dengan lisan.” (Muhammad Khalaf al-Qazal, p. 124.)

[5] Lihat perbincangan mengenai ini di dalam K. H. M. Syafi`i Hadzami, pp. 105-109.

[6] Mustafā al-Khin, Mustafā al-Bughā, `Alī al-Sharbajī, p. 432.

[7] Diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor, buku ini menjadi buku teks untuk sekolah-sekolah rendah agama di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor Darul Ehsan.

[8] Contoh-contoh lafaz niat di sini diambil daripada rujukan seperti Ghazālī bin Sirāj, Risālah al-Fiqh wa al-Tawhīd, Abdul Rahmān Mat, 75 Solat-solat Sunat Serta Doa dan Wirid dan Ismail Kamus, Panduan Fardhu `Ain dan Lembaga Tabung Haji, Ibadat Haji dan Umrah.

[9] Lembaga Tabung Haji, p. 125.

[10] Ibnu al-Qayyim Al-Jawzi, p. 19.

[11] Al-Sayyid Sābiq, Fiqh al-Sunnah, Jilid 1, p. 119.

[12] Ibid., p. 27.

[13] Muhammad Nāsir al-Dīn al-Albānī, p. 10ff.

[14] `Abd al-`Azīz bin `Abd Allāh bin Bāz, Fatwa-fatwa Penting Tentang Sembahyang, p. 25.

[15] `Abd al-`Azīz bin `Abd Allāh bin Bāz, Hajj, Umrah and Ziyarah, p. 22.

[16] Salīm al-Hilālī, `Alī Hasan `Alī `Abd al-Hamīd, p. 24.

[17] Muhyiddīn Abū Zakariyya Yahyā bin Sharaf al-Nawāwī, Riyād al-Sālihīn Vol. 1, p. 12.

[18] Jamāl al-Dīn Abī al-Faraj `Abd al-Rahmān bin al-Jawziyy, p. 152.

[19] Ibid., pp. 152-153ff.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s