Lailatul Qadr

DSC_0049

Apa itu Lailatul Qadr dan apa kelebihannya?

Lailatul Qadr adalah suatu malam yang paling istimewa, paling utama dan paling barakah dalam setahun. Firman Allah Ta`ala mafhumnya:

Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Qur’an) pada Lailatul Qadr. Dan tahukah kamu apa Lailatul Qadr itu? Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah Al-Qadr 97: 1-3)

Atas kelebihan ini umat Islam amatlah digalakkan melakukan amal ibadah khusus sebanyak mungkin pada malam ini. Sesiapa yang melepaskan peluang bertemu malam ini sebenarnya telah terlepas peluang mendapatkan ganjaran yang amat besar.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa al-Rasul (s) bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang berdiri (di dalam qiyam) pada Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan (akan ganjaran Allah), akan dihapuskan seluruh dosanya yang telah lalu.” (al-Bukhari, Muslim)

Apa persiapan kita untuknya?

Ada beberapa amalan khusus yang boleh kita amalkan sebagai persediaan kita untuk bertemu dengan malam istimewa ini, antaranya:

Melakukan salat qiyam

Sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith Abu Hurairah di atas.

Membanyakkan berdoa

`A’ishah (r) pernah bertanya kepada al-Rasul (s): “Ya Rasulallah! Jika aku mendapati Lailatul Qadr apakah yang perlu aku baca ketikanya?” Al-Rasul (s) menyuruhnya membaca:

Du`a for Lailatul QadrMaksudnya: “Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Pengampun, Engkau menyukai keampunan maka ampunilah aku”. (Ahmad, Ibnu Majah, al-Tirmidhi, disahihkan oleh al-Albani)

Meninggalkan kenikmatan dunia untuk beribadah

`A’ishah (r) juga pernah berkata: “Apabila sepuluh (terakhir Ramadan) telah bermula, al-Rasul (s) akan menjauhi isteri-isterinya, berjaga sepanjang malam (untuk beribadat) dan membangunkan ahli keluarganya.” (Muslim)

Bila sebenarnya Lailatul Qadr?

Ulama’ berbeza pandangan mengenai kedatangan malam ini. Ada yang berkata malam ke-21, 23, 25, 27 dan 29. Ada yang berpandangan ia tidak tetap malah berubah-ubah setiap tahun tetapi sentiasa pada 10 malam terakhir.

Banyak hadith yang menyebutkan tentang bilakah Lailatul Qadr perlu dicari.

Ibnu `Umar meriwayatkan bahawa al-Rasul (s) bersabda (mafhumnya): “Carilah ia pada 10 malam terakhir. Jika ada di antara kamu yang lemah, janganlah dia meninggalkan tujuh malam terakhir.” (al-Bukhari, Muslim)

Pada hakikatnya malam ini dirahsiakan daripada pengetahuan umat.

`Ubbadah bin al-Samit berkata bahawa al-Rasul (s) memasuki masjid dan mendapat dua orang lelaki sedang bertengkar. Baginda (s) bersabda (mafhumnya): “Aku telah datang untuk memberitahu kamu tentang Lailatul Qadr, apabila dua orang lelaki ini bertengkar dan pengetahuan ini telah diangkat (diambil), dan mungkin ini lebih baik untuk kamu. Maka carilah ia pada malam ke-9, 7 dan 5 (selepas 20).” (al-Bukhari)

Dan daripada Abu Sa`id al-Khudri bahawa al-Rasul (s) pernah bersabda: “Carilah ia pada 10 terakhir, pada malam yang ganjil.” (al-Bukhari)

Maka apa yang pasti kita amat digalakkan untuk mencarinya 10 malam terakhir, terutamanya pada malam ganjil. Adapun kerahsiaan akan kedatangan malam ini adalah antara hikmah Allah Ta`ala untuk umatNya. Bukankah mungkin antara hikmah kerahsiaannya adalah untuk kita tertanya-tanya, tercari-cari dan berlumba-lumba mencarinya?

Apa hubungkait i`tikaf dengan persiapan Lailatul Qadr?

I`tikaf adalah salah satu amalan yang digalakkan pada bulan Ramadan terutamanya pada 10 malam terakhir. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh hadith-hadith al-Bukhari, Abu Daud dan Ibnu Majah, al-Rasul (s) melakukan i`tikaf pada 10 malam terakhir setiap Ramadan, dan pada tahun baginda wafat baginda melakukannya untuk 20 malam. Begitulah amalan ini juga dilakukan oleh para sahabat dan isteri al-Rasul (s) bersamanya, dan diteruskan oleh mereka setelah baginda (s) wafat.

I`tikaf adalah mengasingkan diri di masjid dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amal ibadah seperti salat, membaca al-Qur’an, berzikir, mempelajari ilmu-ilmu al-Qur’an, hadith dan seumpamanya.

Apa tanda-tanda Lailatul Qadr?

Hadith-hadith ada menyebutkan tentang tanda-tanda Lailatul Qadr yang dapat dilihat pada keesokan harinya. Antaranya:

Abu Dharr meriwayatkan bahawa al-Rasul (s) bersabda: “Pada pagi yang menuruti Lailatul Qadr matahari terbit dengan tiada sinaran, menyerupai sebuah piring yang bulat, sehingga ia naik tinggi.” (Muslim)

Sebahagian ulama menyebutkan bahawa di antara hikmah tanda ini dapat dilihat hanya setelah berlakunya Lailatul Qadr adalah agar seseorang itu tidak menjadikan pengetahuan ini sebagai sebab untuk beribadat hanya untuk satu malam dalam setahun.

Selamat mencari Lailatul Qadr.

Rujukan:

  1. Fiqh al-Sunnah, Sayyid Sabiq.
  2. The Night Prayers: Qiyam and Tarawih, Muhammad Nasiruddin al-Albani, Muhammad al-Jibali.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s